Mencapai Kesaksamaan Gender Tanggungjawab Semua Pihak

KHAMIS, 14 APRIL – Usaha dalam mencapai kesaksamaan gender dalam urusan kehidupan seharian bukan hanya terletak kepada wanita semata-mata, tetapi ianya adalah tanggung jawab semua pihak, bermula dari unit kecil dalam keluarga, sehingga kepada unit besar iaitu dalam pentadbiran kerajaan.

Usaha tersebut mampu dicapai melalui langkah awal iaitu pemahaman atau kesedaran terhadap gender dan perspektif gender oleh pelbagai lapisan dalam masyarakat.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, yang menegaskan pemahaman terhadap perkara tersebut penting terutama dalam membuat keputusan atau melaksanakan dasar-dasar tertentu dengan mengambil kira penilaian terhadap perspektif gender.

“Masyarakat awam, lelaki dan wanita, kanak-kanak mahupun orang dewasa, perlu faham bahawa disebabkan faktor biologi dan sosial, sememangnya lelaki dan wanita mempunyai perbezaan, dan dengan itu, masing-masing mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza.

“Justeru, apabila sesuatu dasar atau polisi digubal, perlu ada pemahaman terhadap kesan polisi tersebut terhadap kehidupan sama ada lelaki atau wanita.

“Hanya dengan menjadikan isu gender sebagai pusat rujukan dalam penggubalan dasar awam barulah kita mampu mencapai atau melangkah maju dalam isu kesaksamaan gender ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Wanita Asean kali ke-2 yang bertemakan ‘Gender Mainstreaming and Public Policy’ di Hotel Promenade semalam.

Beliau menambah, dalam sesebuah keluarga misalnya, kesaksamaan gender perlu diamalkan dalam norma kehidupan seharian, seperti memberi peluang atau kebebasan sama rata kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan untuk memilih minat mereka atau menyuarakan pendapat mereka.

“Anak-anak harus dididik untuk saling menghormati antara satu sama lain sejak dari kecil, dan dengan itu mereka akan membesar dengan amalan sebegitu dan lebih sensitif terhadap isu gender,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar sepanjang persidangan ini diadakan, masalah yang berkaitan dengan isu ini akan dapat dibincangkan dengan lebih teliti.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Penolong Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Basha Wir Hj Ghani, Rektor Universitas Islam Bandung Prof. Dr. M. Thaufiq Boesoirie, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dato’ Mohd Hamdan Adnan, Pengerusi Seminar Dr Rohana Yusuf, dan Pengerusi Bersama Seminar dari Kolej Yayasan Sabah, Prof. Dr. Junea-Nah Sulehan. -MA-

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.