FPP Kongsi Ilmu di SMK Tambunan

RABU, 4 MEI – Seramai 52 pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS)  menganjurkan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, baru-baru ini.

Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program tersebut antara lain bertujuan menyediakan sokongan kepada pelajar  luar bandar dengan mengikuti aktiviti-aktiviti rekacipta bagi menyelesaikan masalah setempat secara kreatif dan inovatif melalui konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Seramai 50 pelajar tingkatan empat jurusan Sains Tulen daripada SMK Tambunan dan SMK Desa Wawasan terlibat secara langsung dalam program ini yang banyak menumpukan aktiviti-aktivit berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti STEM pertama adalah berkisarkan fenomena El Nino yang menyaksikan para pelajar bekerja dalam kumpulan berlima mencipta sebuah model berkonsepkan teknologi hijau bagi mengurang kesan El Nino terhadap tanaman, persekitaran dan diri sendiri.

“Manakala, aktiviti kedua ialah membina sebuah kincir kuasa angin atau air sebagai sumber tenaga alternatif yang percuma, bersih dan lestari (tenaga boleh baharu),” tambah Dr. Siew.

Jelas beliau, setiap kumpulan menggunakan pengetahuan sedia ada dan pengalaman lepas untuk merekabentuk satu alat pengepam air bagi mengatasi masalah pengairan di tapak penanaman padi Daerah Tambunan.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima melalui temubual, para pelajar menyatakan bahawa pengalaman hidup dan perkitaran banyak mempengaruhi cara mereka menjana idea-idea sehingga mampu menghasilkan rekaan yang pelbagai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

“Melalui penglibatan diri dalam aktiviti seumpama ini, mereka lebih memahami konsep Sains dan seterusnya mengaplikasikannya dalam rekaan sekali gus meningkatkan daya kreativiti dan mengembangkan lagi daya imaginasi mereka,” katanya.

Turut hadir, wakil dari SMK Tambunan, Mohd Badrul Hisyam dan SMK Desa Wawasan, Jovinia Yulus.

Sumber: FPP

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.