Direktori |  Hubungi Kami  |   Staf   |  Pelajar  |  Pelawat  |

.

 
.

.

English (UK)BahasaMelayuMalaysiaChinese (Simplified)

ARKIB

FPEP UMS Pergiat Penulisan Rencana

JUMAAT, 13 MEI - Seramai lebih kurang 40 orang pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah menyertai Bengkel Penulisan Rencana anjuran pejabat FPEP dengan kerjasama Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Perhubungan Korporat

Bertempat di Bilik Persidangan MBA, FPEP, bengkel setengah hari yang bermula dari jam 8.30 pagi itu menyaksikan dua orang penceramah iaitu Pegawai Bahagian Perhubungan Korporat, Che Hasruddin Che Hasan, menyampaikan ceramah bertajuk “Penulisan Rencana Mengikut Garis Panduan UMS’.

Ini disusuli dengan sesi bersama Pensyarah Komunikasi Korporat FPEP, Jakaria Dasan yang berkongsi pengalaman beliau dalam tajuk “Teknik Praktikal Menulis Rencana: TM IS OK”.

Dekan FPEP, Prof Dr Rasid Mail ketika merasmikan Bengkel berkenaan menyarankan agar para pensyarahnya melihat ruang menulis rencana sebagai satu wahana untuk mempertingkatkan budaya menulis hasil penyelidikan mengikut kepakaran masing-masing.

Menurutnya, akhbar tidak kurang pentingnya kerana masyarakat lebih peka kepada berita atau penyelidikan yang ditulis di akhbar daripada jurnal-jurnal yang ada, dan menjadikan masyarakat lebih peka mengenai kepakaran yang terdapat di UMS di samping menjadikan UMS sebagai pusat rujukan mereka pada masa akan datang.

“Pensyarah perlu melihat penulisan rencana sebagai satu keperluan memandangkan pensyarah adalah subject-expert tertentu yang boleh mengongsikan kepakaran mereka dengan masyarakat.

“Ini sekaligus akan turut membantu peningkatan hidup rakyat kesan daripada perkongsian ilmu mereka menerusi rencana di akhbar, kata beliau. Prof Dr.Rasid Hj Mail.

Dalam pada itu, Che Hasrudin dalam sesinya menekankan bahawa terdapat beberapa peraturan-peraturan tertentu yang perlu diberi perhatian oleh para pensyarah ketika menghasilkan sesebuah artikel, selain para pensyarah perlu lebih peka mengenai isu semasa ketika membuat sesebuah artikel.

“Dalam hubungan ini, sesebuah artikel itu perlu berupaya untuk menyumbang kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku. Walaubagaimana pun fokus boleh juga diberikan kepada hasil-hasil penyelidikan masing-masing yang dipercayai memberi manfaat jika diketahui umum,” ujarnya.

Jakaria Dasan dalam slotnya pula menekankan tentang beberapa perkara teknikal yang berkaitan seperti penjanaan idea dan pengolahan artikel.

Menurut beliau pembaca hanya ada masa selama 3 saat untuk membuat keputusan sama ada ingin membaca tulisan seseorang penulis atau pun tidak, justeru tajuk adalah memainkan peranan yang sangat besar.

“Tajuk yang mudah dan menarik serta ditulis sependek yang mungkin perlu dititikberatkan agar tajuk itu akan kelihatan lebih menarik.

Selain isu yang terkini dan sensasi, sesebuah rencana juga dibaca atas sebab gaya penulisan yang digunakan. Untuk itu, apabila menulis sesebuah rencana, penulis hendaklah berfikir sebagai mewakili akhbar terlibat dan bukan semata-mata mewakili organisasinya.

“Ini akan menjadikan seseorangan penulis itu sentiasa berhati-hati dalam mengupas isu dan tidak sembrono,” katanya.

Menggunakan sebuah analogi mudah, menurut Jakaria isu adalah racun, manakala artikel yang ditulis oleh pensyarah adalah penawarnya.

Bengkel Penulisan Rencana yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP, Dr Noor Fzlinda Fabeil ini antara lain menyahut saranan menyemarakkan budaya menulis rencana dalam kalangan pensyarahnya, dan akan diteruskan dalam siri 2 dalam masa terdekat dengan tumpuan akan ditumpukan kepada latihan praktikal dan sesi bersama Editor akhbar terpilih.

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP


IKUTI KAMI

ums qr150 facebook361 twitter361 utube361 flickr361 h linkedin  

CAPAIAN PANTAS

PAUTAN LUAR

mygov kpm36 mampu36