UMS Bantu Mangsa Kebakaran Kg. Tg. Kapor, Kudat

SELASA, 5 JULAI – Berikutan insiden kebakaran yang berlaku di Kg. Tg. Kapor, Kudat pada pagi 25 Jun lalu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Pendidikan Perubatan Desa, Sikuati, Kudat (PERDESA) dan Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS 4WDVC) merintis usaha mengumpul dan mendapatkan sumbangan daripada warga UMS dan orang ramai untuk membantu mangsa yang terlibat baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang mengetuai program ini berkata, dalam tempoh 4 hari sahaja mereka dapat mengumpulkan sumbangan berbentuk pakaian, makanan, keperluan dapur serta keperluan bayi dan kanak-kanak.

“Selain daripada itu, kita juga berjaya mengumpulkan wang tunai sebanyak RM31,204 yang didermakan oleh orang perseorangan dan organisasi yang bermurah hati untuk melakukan amal terutamanya pada bulan Ramadan ini.”

“Duit itu dibahagikan kepada ketua keluarga supaya beban kewangan yang ditanggung dapat diringankan, tambahan pula hari raya juga hampir tiba,” katanya.

Tambah Shahril lagi, semua sumbangan yang didermakan dibawa menggunakan dua buah lori dan 17 buah kenderaan pacuan 4 roda.

“Selain sumbangan material berbentuk barangan, kita juga membawa sekali para doktor dan jururawat FPSK untuk merawat dan memeriksa tahap kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan menyediakan ubat-ubatan sesuai bagi kegunaan mereka.”

“Penduduk yang terlibat pasti trauma dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka. Justeru, UMS juga akan menghantar pakar psikologi agar trauma yang dihadapi dapat dipulihkan,” jelasnya.

Menurut Shahril juga, bantuan berbentuk bukan fizikal seperti ini merupakan salah satu kepakaran yang ada di UMS dan UMS akan menggunakannya untuk kemaslahatan dan kebaikan kepada masyarakat terutamanya di Sabah.

“Saya berterima kasih dengan semua staf UMS yang terlibat termasuk juga pelajar kerana mereka secara sukarela mahu terlibat dalam program seperti ini. Kerjasama sebegini akan sentiasa ditagih demi memastikan kelancaran program dan sumbangan serta objektif penganjuran dapat dilunaskan.”

Turut menyertai penghantaran sumbangan ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamaruddin D Mudin dan Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.