FPEP UMS Azam Tingkat Kualiti Graduan Menerusi iCGPA

KHAMIS, 27 OKTOBER - Ke arah membentuk graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara maka graduan perlu memiliki disiplin ilmu yang relevan, akhlak dan penetapan minda yang sesuai, tingkah laku terpuji serta beradab untuk memajukan diri bagi membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemajuan keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global. 

Enam atribut utama atau domain; iaitu, etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir, dan pengetahuan, dikenalpasti perlu dimiliki oleh setiap graduan. 

Pembangunan atribut pelajar dan graduan dalam enam domain ini boleh dicapai menerusi pelaksanaan modul Rubrik PNGK Bersepadu atau, ringkasnya iCGPA (integrated Cummulative Grade Point Average) Rubric.

Modul ini adalah satu lagi mekanisma terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan agar graduan yang dilahirkan oleh Universiti-Universiti awam kelak mampu memenuhi kriteria pilihan majikan.

Sebagaimana dijelaskan dalam Buku Panduan Pentaksiran Hasil Pembelajaran Rubrik PNGK Bersepadu terbitan Kementerian Pendidikan Tinggi, PNGK Bersepadu (iCGPA) berperanan untuk memacu amalan penjajaran konstruktif bagi memastikan reka bentuk kurikulum, pelaksanaan kurikulum dan proses pentaksiran pada peringkat kursus dan program adalah berkualiti.

PNGK Bersepadu (iCGPA) adalah satu sistem atau mekanisme pentaksiran dan pelaporan mengenai peningkatan dan pembangunan bersepadu pelajar dari segi adab (etika dan nilai murni), pengetahuan deklaratif dan fungsional serta kemahiran teknikal mereka dalam bidang disiplin yang diceburi. Pelaporan iCGPA akan memperlihatkan pencapaian atribut pelajar untuk enam aspirasi yang digariskan dalam PPPM (PT) yang juga terkandung dalam lapan domain hasil pembelajaran Kerangka Kelayakan Malaysia. Mekanisme ini bertujuan membantu pihak berkepentingan merancang dan menentukan langkah penambaikan yang paling sejajar.

Oleh itu, pelaporan iCGPA pelajar memperlihatkan pencapaian holistik pelajar dan juga pencapaian mereka bagi setiap hasil pembelajaran program di sepanjang tempoh pengajian (sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi 2016).

Sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan Universiti Awam ini, maka Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan UMS telah mengadakan Bengkel iCGPA di bawah kendalian Dr Mohd Ruslim Mohamed, Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik Universiti Malaysia Pahang (UMP). Bengkel ini telah dilaksanakan selama satu hari pada 26 Oktober 2016 bertempat di bilik persidangan MBA, FPEP.

Dekan Fakulti, Prof Madya Dr Raman Noordin, menjelaskan bahawa Bengkel yang dilaksanakan itu adalah sebagai persiapan Fakulti untuk melaksanakan iCGPA menerusi program terpilih pada penawaran kursus akan datang.

Menurut Dr Raman lagi, program Perakaunan telah dicadang untuk merintis modul ini khusus dalam kalangan penuntut tahun akhirnya. Selain bengkel yang diadakan pihak fakulti juga akan melaksanakan beberapa inisiatif susulan dibawah Seksyen Akademiknya yang diketuai oleh Dr Zaiton Osman, Timbalan Dekan Akademik FPEP, bagi meningkatkan lagi pemahaman dan kesediaan para pensyarah.

Dalam bengkel yang diadakan itu, Dr Mohd Ruslim turut menekankan peri pentingnya memiliki sistem sokongan dari pentadbir sistem dan akademik universiti. Ini adalah bagi memastikan kelancaran sistem iCGPA.

Dengan sokongan jabatan-jabatan berkaitan, pensyarah tidak akan terbeban dengan tugasan pentadbiran. Malah tambah Dr Mohd Ruslim lagi, sistem baharu ini seharusnya mampu meringankan lagi pemantauan kehadiran pelajar dan sebagainya.

Sekali gus, akan meningkatkan fokus pensyarah kepada tugasan mengajar dan membuat penyelidikan. Justeru, pihak FPEP akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS dan Bahagian Perkhidmatan Akademik UMS bagi memastikan kesediaan sistem sedia ada dalam kelancaran pelaksanaan iCGPA kelak.

Oleh Jakaria Dasan

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.