UMS Bantu Belia Semporna Jadi Usahawan Dalam Industri Rumpai Laut

JUMAAT, 11 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Pembangunan Usahawan Muda baru-baru ini dalam hasrat untuk melahirkan usahawan muda dalam kalangan belia di daerah Semporna khususnya dalam industri rumpai laut.

Bertempat di Perpustakaan Cawangan Semporna, seramai 60 orang peserta terlibat yang terdiri daripada penuntut Kolej Komuniti Semporna, Kolej RISDA dan Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Semporna.

Menurut Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) UMS, Dr. Bonaventure Boniface, hasil tinjauan awal yang dijalankan di Semporna baru-baru ini mendapati tahap penglibatan golongan muda dalam industri rumpai laut sangat rendah disebabkan kurang minat untuk menceburi industri tersebut.

Justeru, kursus ini dianjurkan sebagai memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta tentang bidang keusahawanan dan perniagaan dalam industri yang diceburi, terutama dalam industri berkaitan rumpai laut.

“Hasil kursus ini kita berjaya mencungkil potensi sekumpulan belia yang sangat komited mengikuti pembelajaran selama tiga hari dengan aplikasi Model Kanvas Perniagaan, yang mana aplikasi tersebut membantu peserta kaedah untuk menyusun rancangan perniagaan mereka dengan cara yang lebih mudah dan berkesan.

“Buktinya, dua pembentangan produk makanan yang berasaskan rumpai laut iaitu ‘Aiskrim Magic Collagen’ dan Jem Mermalade De’Lato’ telah berjaya dihasilkan oleh peserta kursus tersebut,” katanya.

Kursus ini merupakan program susulan setelah beberapa aktiviti seperti lawatan ke tapak penanaman rumpai laut di Pulau Kerindingan, Kajian Kesejahteraan terhadap Pengkultur Rumpai Laut di Kg. Terusan, Kursus Pengkulturan Rumpai Laut dan Kursus Penghasilan Makanan dari Rumpai Laut yang diberikan kepada peserta projek Pengukuhkan Industri Rumpai Laut Malaysia.

Penganjuran kursus ini adalah kesinambungan terhadap UMS yang diberi tanggungjawab menjalankan projek inisiatif kerjasama Universiti dengan Program Transformasi Luar Bandar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS 4).

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.