UMS Rai Pelajar Cemerlang Pascasiswazah

KHAMIS, 1 DISEMBER – Pusat Pengajian Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2016 bagi merai pelajar yang menamatkan pengajian sarjana dan doktor falsafah dengan cemerlang di sebuah hotel malam tadi.

Majlis tersebut juga dianjurkan bagi menghargai penyelia pelajar pascasiswazah yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam penyeliaan mereka.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, beliau gembira kerana Pusat Pengajian Pascasiswazah telah berjaya mencapai Key Performance Index (KPI) yang telah ditetapkan, khususnya dari segi enrolmen pelajar PhD, sasaran jumlah pelajar PhD yang bergraduat, serta graduan Sarjana dan PhD yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan (atau disebut sebagai GOT).

“Saban tahun, UMS telah mencatat peningkatan dalam jumlah pelajar pascasiswazahnya. Pada ambilan sesi 2016/2017 lalu, seramai 688 pelajar telah mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah baharu, sekali gus meningkatkan jumlah enrolmen keseluruhan pelajar pascasiswazah kepada seramai 2,341 orang.

“UMS juga telah menjadi pilihan seramai 115 orang pelajar antarabangsa, atau 6 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar pascasiswazah,” katanya yang turut berharap agar bilangan pelajar antarabangsa dapat dipertingkat pada masa akan datang.

Pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-18, seramai 307 orang pelajar pascasiswazah dari berbagai program pengajian di bawah kendalian Pusat Pengajian Pascasiswazah telah bergraduat.

Datuk Harun juga menggesa agar mempergiatkan usaha pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di samping berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan seperti melalui dana endowmen, sumbangan kebajikan, pelaburan dan penajaan, selain menarik lebih ramai pelajar pascasiswazah terutama pelajar asing, meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber universiti, menggalakkan penjimatan dan mengelakkan ketirisan.

“Bagi memastikan pencapaian output maksima daripada penyelidikan pascasiswazah, pihak fakulti, institut dan penyelia boleh membimbing pelajar memilih tajuk penyelidikan yang bertepatan dengan kehendak pemegang taruh universiti,” katanya.

Tambah beliau, Pusat Pengajian Pascasiswazah bersama fakulti dan institut juga boleh meneroka kemungkinan mengadakan hubungan kerjasama strategik dengan anak syarikat UMS, iaitu UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST), bagi melihat potensi pengkomersialan hasil penyelidikan oleh pelajar sarjana dan PhD di UMS.

“Keupayaan mengkomersialkan hasil penyelidikan universiti merupakan salah satu usaha ke arah melestarikan kewangan universiti dan mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan sebagaimana dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya yang turut merasmikan majlis dan menyampaikan anugerah.

Sebanyak 6 kategori anugerah disediakan iaitu Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Terbaik Kerja Kursus Mengikut Program, Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang Secara Penyelidikan dan Kerja Kursus.

Kategori utama iaitu Anugerah Pelajar Cemerlang Secara Penyelidikan Sains dan Sastera telah dimenangi oleh Mohammad Tamrin bin Mohamad Lal dan Ling Mei Teng. Kedua-duanya juga memenangi Anugerah Tesis Terbaik PhD sementara penyelia mereka iaitu Prof. Madya Dr. Julian Ransangan dan Prof. Dr. Vincent Pang Ah Fook dianugerahi Penyelia Terbaik.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, Ketua Pegawai Eksekutif UiNVEST, Ramlan bin Awang Ali, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Rasid Mail dan pegawai-pegawai utama dan kanan universiti.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.