SELASA, 6 DISEMBER – Program Khatan Perdana 2016 anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited bantu meringankan beban ibu bapa bagi membiayai mengkhatan anak mereka.
Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin berkata, Pusat Islam UMS mengenakan bayaran serendah RM60 bagi kakitangan awam berjawatan di bawah gred 26, RM85 bagi gred 27 ke atas dan percuma bagi anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
“Pada peringkat awal, program yang memasuki siri ke-6 penganjurannya merupakan aktiviti tahunan yang terbuka kepada ibu bapa kalangan kakitangan UMS sahaja, namun atas sambutan yang menggalakkan setiap tahun, pihak Pusat Islam memutuskan agar program ini turut dibuka kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu.
“Peluasan pelaksanaan ini secara tidak langsung memberi kemudahan kepada para ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Khatan Perdana yang melibatkan lebih 50 kanak-kanak di Masjid UMS baru-baru ini.
Ustaz Razali menambah, bersempena dengan program tersebut, Pusat Islam juga menawarkan khidmat rundingan kesihatan daripada aspek pemeriksaan kesihatan, kempen gaya hidup sihat dan pameran kesihatan, selain program derma darah sebagai jalinan ukhuwah pelajar dan ibu bapa dalam meningkatkan kefahaman tentang kesedaran kesihatan dan kesan mengabaikannya.
“Pusat Islam UMS dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu turut merancang untuk mengadakan program seumpama pada tahun hadapan di kampung terpilih sebagai usaha membantu mendampingi masyarakat setempat,” ujar beliau.