FPEP UMS Sedia Siswa Jadi Usahawan Berjaya

RABU, 12 APRIL – Seminar Keusahawanan “Journey To Success” anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu dijadikan platform kepada siswa-siswi untuk mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan yang bakal diceburi kelak.

Seminar yang turut mendapat kerjasama dengan beberapa institusi pendidikan tinggi seperti Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Eastern dan Kolej Mahsa itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi dan tahap pemikiran yang lebih cakna terhadap isu-isu semasa dalam pengurusan usaha niaga baru.

Timbalan Dekan FPEP, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, seminar ini turut menyasarkan jaringan kerjasama dan interaksi antara peserta dari pelbagai organisasi, selain memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia sebenar bidang keusahawanan melalui perkongsian daripada usahawan tempatan dan alumni UMS yang berjaya.

“Diharapkan seminar ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendapatkan pengetahuan berkaitan keusahawanan yang amat berguna untuk struktur perniagaan pada masa kini.

“Justeru itu, saya menggalakkan para usahawan dan bakal usahawan untuk terus menambah ilmu keusahawanan dan mengambil peluang dengan menghadiri seminar-seminar sebegini,” katanya.

Seminar sehari yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS turut memberikan gambaran jelas kepada peserta mengenai perniagaan dalam talian melalui sesi ceramah “Online Networking Business” oleh wakil agensi My Own, Afdal Naim.

Turut berlangsung sesi forum yang menampilkan dua alumni UMS, iaitu pemilik syarikat Global Bike, Zulkarnain Sulaiman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Arnab Village, Jubair Juhinin, serta usahawan tempatan yang merupakan pengasas Bonco Virgin Coconut Oil, Ronnie Onginjan.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.