Pelajar Universiti Dinasihat Tidak Terpengaruh Kegiatan Pengganas

SELASA, 18 APRIL – Pelajar universiti di negara ini dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan pengganas atau aktiviti-aktiviti yang boleh menggugat keamanan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun pembabitan penuntut dalam aktiviti keganasan tidak serius di Sabah, namun pihak polis tidak akan sambil lewa dalam soal mengambil langkah-langkan pencegahan bagi membendung penuntut universiti daripada terbabit dengan kegiatan tersebut.

 “Dalam hal ini, pencegahan adalah langkah terbaik yang kita boleh lakukan dan universiti juga turut memainkan peranan penting dalam membendung pelajar daripada terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Pihak polis sentiasa memantau sebarang kegiatan siswa-siswi terutama melibatkan ancaman keganasan dan perhimpunan haram yang menggugat keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan “Ancaman Keselamatan Semasa” di hadapan lebih 500 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena program Syarahan Perdana CEO@Faculty di Dewan Resital UMS.

Mengenai program CEO@Faculty, beliau sangat teruja kerana berpeluang untuk menyampaikan pandangan dan nasihat beliau sebagai Ketua Polis Negara kepada anak-anak muda, selain dapat berkongsi maklumat berkenaan isu-isu keselamatan negara pada masa kini.

“Saya dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai CEO bagi Universiti Sains Islam Malaysia, yang mana kami dikehendaki memberi ceramah mengenai bidang masing-masing di semua universiti, dan terima kasih kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah kerana menjemput saya memberikan ceramah kepada pelajar UMS,” kata beliau yang juga merupakan Profesor Adjung UMS.

Terdahulu, Datuk Harun berkata, program sebegini secara tidak langsung dapat menjadi pencetus semangat kepada semua betapa pentingnya keselamatan negara dijaga dan seterusnya dapat menanamkan perasaan cintakan negara.

“UMS akan memainkan peranan penting membentuk minda, emosi dan tingkah laku pelajar supaya tidak terjebak dengan keganasan dan jenayah.

“Diharapkan, melalui jalinan hubungan antara pihak universiti dan PDRM, hal ini dapat menguatkan lagi usaha murni membanteras penularan ancaman-ancaman ini kepada para pelajar di universiti” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato’ Razarudin Husan, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr Ismail Ali.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.