FSSA UMS Pupuk Minat Pelajar Sekolah Dalam Bidang Sains Dan Teknologi

RABU, 3 MEI - Program Hari Terbuka Sains dan Teknologi anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memupuk minat pelajar sekolah khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, program sebegini yang turut melibatkan pelbagai agensi dan institusi pendidikan, kemahiran dan latihan secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti berkaitan sains.

“Universiti sebagai gedung ilmu berperanan untuk membantu dalam menerapkan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

“Justeru, diharapkan hasil program ini dapat memupuk minat dalam diri pelajar serta dapat memperbetulkan persepsi negatif pelajar yang beranggapan sains adalah suatu mata pelajaran yang kurang menarik dan sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Foyer Kompleks Sains, FSSA UMS, pagi tadi.

Menurut beliau, program ini juga boleh dijadikan platform kepada agensi-agensi yang terlibat dalam program ini untuk memperoleh maklumat lebih lanjut berkaitan program-program pengajian sains dan teknologi yang ditawarkan di UMS.

Program yang berlangsung selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti kepada peserta antaranya pertandingan, demonstrasi dan aktiviti berbentuk edutainment yang menerapkan elemen sains, perkongsian ilmu kepada pelajar, lawatan ke makmal dan pameran Petrosains, ceramah kerjaya oleh Alumni UMS, selain pameran dan jualan di pelbagai gerai bersempena dengan Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Ke-16 yang diadakan serentak dengan program tersebut.

Program tersebut dihadiri lebih 1,500 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah dari 40 buah sekolah sekitar Pantai Barat Sabah, dan turut mendapat sokongan dari rakan strategik antaranya Pejabat Pendidikan Daerah, Petrosains, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara, Politeknik Kota Kinabalu, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.