Skim Bantuan Pascasiswazah UMS Tingkat Kelancaran Proses Pengajian

KHAMIS, 11 MEI - Sumber kewangan merupakan motivasi penting dalam memastikan para pelajar pascasiswazah khasnya menyelesaikan pengajian mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Pengajian Pascasiswazah menawarkan Skim Bantuan Pascasiswazah kepada para pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana, khusus bagi membantu meringankan beban kewangan para pelajar yang tidak mempunyai kemudahan kewangan.

Bagi semester tahun ini, sejumlah 70 pelajar, meliputi 39 pelajar dari gugusan sains dan 31 lagi dari gugusan sastera telah terpilih untuk menerima skim bantuan tersebut.

Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dalam satu majlis penyerahan surat tawaran kepada para pelajar tersebut berkata, skim bantuan biasiswa yang ditawarkan itu adalah merupakan satu usaha murni universiti di bawah kepimpinan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah yang ingin melihat lebih ramai pelajar pascasiswazah dapat menamatkan pengajian pada masa yang ditetapkan.

“Kita menyedari bahawa salah satu faktor yang menyukarkan para pelajar pascasiswazah menjalankan penyelidikan dan seterusnya menyiapkan penulisan tesis mereka adalah berkaitan dengan sokongan kewangan.

Justeru itu, walaupun berhadapan dengan cabaran kawalan perbelanjaan, UMS tetap memperuntukkan sejumlah wang dari bajet yang terhad demi untuk melihat lebih ramai pelajarnya, khususnya pelajar pascasiswazah berjaya menamatkan pengajian mereka mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Ujar Dr. Rasid, dengan bantuan yang diterima, pihak universiti berharap agar para pelajar lebih bersemangat dalam pengajian, berkeyakinan tinggi, dan lebih fokus terhadap pengajian mereka.

Skim Bantuan Pascasiswazah UMS meliputi tiga skim bantuan yang ditawarkan iaitu Elaun Khas Pembantu Pengajar (EKPP) yang ditawarkan kepada para pelajar Sarjana yang mendapat tajaan MyMaster dari Kementerian Pendidikan Tinggi, Skim Pembantu Pengajar (SPP) yang dibuka kepada pelajar PhD dan Sarjana, serta Skim Yuran Pelajar Antarabangsa (SYPA) dikhususkan kepada pelajar antarabangsa.

Sumber: Jakaria Dasan, Pusat Pengajian Pascasiswazah, UMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.