KHAMIS, 1 JUN - Kelab Ekonomi Sumber Manusia (HUREC), Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Khidmat Masyarakat di Rumah Anak-Anak Yatim, Darul Bakti, Kota Belud baru-baru ini.
Program yang melibatkan seramai 65 siswa UMS tersebut antara lain bertujuan untuk melahirkan sifat kemasyarakatan dalam diri para peserta program sekali gus memberikan hiburan dan kegembiraan buat golongan yang kurang bernasib baik.
Beberapa aktiviti yang diadakan bersama 48 penghuni rumah kebajikan tersebut, antaranya aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Rumah Anak-anak Yatim Darul Bakti, sukaneka “main jabat” dan “pening lalat”, dan aktiviti permainan hiburan “kanda dinda” dan “arkitek bisu”.
Program tersebut diakhiri dengan satu majlis penutupan yang disempurnakan oleh Ketua Program Ekonomi Sumber Manusia, FPEP, Rostika Petrus Boroh dan turut dihadiri Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim Darul Bakti, Rahmat Lokman.