SELASA, 25 JULAI – Pendidikan merupakan kunci dalam membuka peluang serta mengatasi halangan-halangan yang dihadapi di sekitar Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin berkata, peranan institusi pengajian tinggi merupakan antara nadi yang mampu memangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di rantau ini.
“Menerusi pendidikan, kita boleh mencapai pemahaman budaya yang lebih tinggi, mengurangkan masalah kemiskinan dan mencapai matlamat sosial dan ekonomi untuk masyarakat di dalam kawasan BIMP-EAGA,” kata beliau ketika berucap pada Inaugural BIMP-EAGA Higher Education Summit 2017 di Pacific Sutera Hotel Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Penubuhan BIMP-EAGA bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan pertumbuhan dalam bidang pelancongan, perniagaan pertanian, perhubungan, persekitaran dan sosiobudaya serta pendidikan.
Persidangan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.
Hadir sama Pengarah Kluster Sosiobudaya dan Pendidikan BIMP-EAGA, Dr. Gaspar Gayona.
Oleh Rodzmidi Abdul Latif (Pelajar Latihan Industri BPK)