UMS Komited Jadi Pusat Rujukan Bidang Halal Serantau

KHAMIS, 17 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menempatkan nama UMS sebagai pusat rujukan bidang halal serantau.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, inisiatif tersebut antaranya memperkasakan penerbitan, promosi serta pengkomersialan produk halal tempatan terutamanya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Usaha untuk menjenamakan UMS sebagai pusat rujukan setempat berkenaan bidang halal di Borneo telah pun bermula sejak tahun 2010, dengan terbaru satu kerjasama antara UMS dan pusat penyelidikan di China, Heilongjiang Academy of Science (HAS) telah mendapat pengiktirafan Pensijilan Halal Malaysia untuk dua produk iaitu Black Garlic dan Black Fungus.

“Kerjasama ini melakar sejarah apabila UMS menjadi universiti pertama melalui anak syarikatnya, UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST) berjaya memperoleh pengiktirafan Sijil Halal Malaysia dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kedua-dua produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Prof. Dr. Sharifudin Md Shaarani sempena Program Advokasi Ilmu ‘Memperkasakan Integriti Industri Halal’ di Bilik Seminar FSMP, kelmarin.

Tambah Prof. Dr. Kamarudin, program advokasi ilmu yang dianjurkan itu juga merupakan langkah tepat bagi menyediakan platform untuk menemukan dan mewujudkan peluang kerjasama antara UMS, JAKIM, Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan para pengusaha industri dalam memperkasakan industri halal terutamanya di Sabah.

“Adalah diharapkan dengan perkongsian kepakaran dan pengalaman agensi-agensi yang terlibat pada program ini dapat memberi rangsangan dan keyakinan kepada para pengusaha industri bahawa industri halal memberi pulangan yang lumayan dan seharusnya dipelopori oleh semua pihak,” ujar beliau.

Program sehari itu mendapat penyertaan seramai 70 peserta daripada pelbagai industri yang terlibat dalam bidang halal.

Hadir sama Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Haji Mat Radzi Mat Ali, wakil Pengarah JHEAINS, Ustaz Janis Nawawi, dan Wakil MUIS, Ustazah Shazlina Abdul Rashid.

 

Foto: Nasrul Rukkung, BPK

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.