FKJ UMS Anjur Bengkel Pelaksanaan Sistem iCGPA

KHAMIS, 17 OGOS – Bagi memastikan Sistem Purata Nilaian Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) dapat dilaksanakan secara menyeluruh ke semua program akademik pada masa terdekat, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Sistem iCGPA di Auditorium Yeoh Tiong Lay, Bangunan Yayasan UMS.

Dekan FKJ, Prof. Ir. Dr. Abd. Karim Mirasa dalam ucapan perasmiannya ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, iCGPA telah diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia untuk meningkatkan sahsiah dan kreativiti pelajar dalam melahirkan graduan yang holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang.

“Dalam usaha mendukung inisiatif yang telah digariskan oleh pihak KPT, serta menyokong aspirasi UMS, FKJ bersama Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah komited untuk melaksanakan iCGPA kepada pelajar baharu bagi sesi kemasukan September 2017/2018.

“Sebagai permulaan, dua program yang telah dipilih sebagai program rintis di UMS iaitu Program Kejuruteraan Awam – HK01 dari FKJ dan Program Perakaunan – HE02 dari FPEP,” katanya.

Beliau menambah, bagi menjayakan pelaksanaan sistem tersebut, Pihak Berkuasa Pengurusan Universiti (PBPU) telah memperuntukkan sebanyak RM250,000 yang diagihkan kepada dua fasa dengan tujuan untuk aktiviti pengenalan dan kesedaran terhadap sistem iCGPA, Pembangunan Sistem, Perolehan Perkakasan ICT dan lain-lain yang berkaitan dengan iCGPA.

“Justeru, sejak November 2016, FKJ telah menganjurkan beberapa siri bengkel dalaman iCGPA, dengan yang terbaharu satu siri Bengkel Penyediaan Manual iCGPA UMS pada 9 Ogos lalu bertujuan untuk menyediakan garis panduan dan menerbitkan manual sistem iCGPA UMS yang akan diguna pakai oleh semua pensyarah di universiti ini,” ujar Prof. Ir. Dr. Abd. Karim.

Lebih 50 peserta terdiri daripada ketua-ketua program dan pensyarah menghadiri bengkel sehari tersebut.

Turut menjayakan bengkel itu Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ir. Dr. Shahrir Abdullah; dan Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd. Ruslim Mohamed selaku penceramah jemputan.

Hadir sama, Dekan FPEP Prof. Madya Dr. Raman Noordin, dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi.

 

Oleh Mardianah Shamsudin (Pelajar Latihan Industri BPK)

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.