UMS Jana Transformasi Pembangunan Pesat Sabah

KHAMIS, 7 SEPTEMBER - Kewujudan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak 23 tahun lalu telah menjana satu transformasi pembangunan pesat di negeri Sabah dalam tempoh yang sangat pantas.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, sejak kewujudan UMS, pembangunan dan kemajuan negeri Sabah bergerak seiring demi menampung keperluan ekonomi dan sosial pelajar.

"Ini juga telah memberi nilai tambah dari segi pembangunan modal insan, peningkatan taraf hidup dan ekonomi masyarakat sekitarnya.

"Untuk itu, dalam konteks negeri Sabah, kerajaan negeri akan terus melipat gandakan usaha dan berganding bahu bersama-sama dengan kerajaan persekutuan dalam meningkatkan dan memajukan lagi tahap pendidikan tinggi khususnya di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Siswa Siswi Baharu sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2017/ 2018 di Dewan Canselor, UMS.

Ujar beliau, pembangunan modal insan melalui pendidikan amat penting agar negara mempunyai generasi pewaris dan penerus kecemerlangan yang berilmu dan berketrampilan.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya menekankan lima aspek, iaitu Dynamic, Sustainability, Integrity, Joyful dan Justice dalam menggerakkan usaha ‘Transformasi Universiti Industri 4.0’ di UMS.

Katanya, Dynamic bermaksud warga UMS perlu cepat menerima dan menyesuaikan diri dengan segala perubahan, fungsi dan tanggungjawab, manakala Sustainability memfokuskan kepada aktiviti yang dilaksanakan mampu bertahan untuk tempoh masa lama, kos efektif dan menghasilkan impak positif kepada masyarakat.

"Bagi Integrity, ini penting kerana berkait dengan kejujuran dan amanah semasa melakukan pekerjaan, dan setiap apa yang dikerjakan perlu ada rasa gembira atau Joyful dengan mengubah pemikiran kita bahawa pekerjaan yang dilakukan adalah suatu ibadah.

"Yang terakhir, Justice ialah berkaitan semua fungsi dan tanggungjawab, tugas dan aktiviti yang dijalankan hendaklah pada akhirnya mampu memberi keadilan kepada semua pihak," katanya.

Jelas Prof. D Kamarudin, sekiranya semua nilai tersebut dapat diserap dan dijadikan DNA kepada seluruh warga UMS, usaha mentransformasi UMS kepada Universiti Industri 4.0 mampu dilaksanakan lebih cepat.

Pada majlis tersebut, pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Mohd. Ezzan Roslee mengetuai bacaan lafaz ikrar dan menandatangani Aku Janji bagi siswa-siswi baharu sesi kemasukan 2017/2018.                   

 

Foto: Suzeanywati Gasinin

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.