UMS Terima RM5.4 Juta Biaya 49 Projek Penyelidikan Pada 2016

RABU, 27 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sejumlah RM5.4 juta pada tahun lalu bagi membiayai 49 projek penyelidikan baharu.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, sejumlah RM3.6 juta daripada geran tersebut diperoleh dari agensi kerajaan, selain RM558,000 dari pihak swasta dan RM1.2 juta dari institusi antarabangsa.

“Selain itu, menyedari betapa pentingnya perlindungan harta intelek bagi setiap produk yang dihasilkan melalui penyelidikan, UMS merekodkan sebanyak 15 produk telah dilindungi iaitu merangkumi Pemfailan Paten – Kebangsaan (4 produk), Utilili Inovasi (1 produk), Cap Dagangan (7 produk) dan Hak Cipta – Notification of Works (3 produk). 

“Dari segi pengkomersialan, sepanjang tahun lalu UMS telah berjaya mengkomersialkan tiga teknologi iaitu LAMB Biomass Dryer hasil inovasi Dr. Jidon @ Adrian Janaun dari Fakulti Kejuruteraan, Garoupa-1 dan Garoupa-2 hasil inovasi Pengarah Insitut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidik UMS (APUMS) 2016 di Dewan Bankuasi, pagi tadi.

Menurut beliau, selain memberi pengiktirafan kepada para penyelidik terhadap usaha mereka mengharumkan nama universiti seperti penganjuran Majlis APUMS, pengurusan universiti juga sentiasa memberi sokongan untuk menyuburkan budaya penyelidikan dalam kalangan pensyarah.

“Sebagai contoh, setiap tahun, universiti memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk geran penyelidikan dalaman UMS yang dikenali sebagai Skim Geran Penyelidikan UMS (SGPUMS).

“Skim ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Skim Pensyarah Lantikan Baru (SPLB) untuk penyelidik muda dan Skim Penyelidikan Bidang Keutamaan (SPBK) yang memberi fokus kepada bidang tujahan utama universiti,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Prof. D Kamarudin menyampaikan beberapa anugerah utama dalam APUMS, antaranya Anugerah Penyelidik Cemerlang Muda yang diberikan kepada Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Eko Prayitno Joko bagi bidang Sains Sosial, dan Pensyarah IPMB, Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah bagi bidang Sains.

Turut menerima anugerah ialah Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan bagi Anugerah Penyelidik Cemerlang kategori Sains Sosial, dan Prof. Madya Dr. Kenneth Francis Rodrigues dari Institut Penyelidikan Bioteknologi yang turut menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang kategori Bidang Sains.

Anugerah Penyelidik Cemerlang – Malim pula diberikan kepada Prof. Dr. Awang Bono dari Fakulti Kejuruteraan, dan Prof. Dr. Felix Tongkul dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, dengan masing-masing menerima sijil penghargaan dan geran penyelidikan bernilai RM50,000.

 

Foto: Musaab Umair, BPK

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.