UMS Bakal Laksana Sistem Pengurusan Pentadbiran Komprehensif Bersepadu

SELASA, 31 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal melaksanakan sistem pengurusan pentadbiran komprehensif bersepadu dan efisien yang merangkumi semua komponen pengurusan pentadbiran bermula tahun depan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ia selaras dengan usaha UMS mengorak langkah ke arah Revolusi Industri/Universiti 4.0.

"Sistem ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pengurusan organisasi dengan pelaksanaan sistem maklumat yang komprehensif dan berintegrasi.

"Ini sekali gus mampu menjamin integriti data, keseimbangan kewangan, mengurangkan duplikasi kerja, penjimatan masa dan sumber manusia serta kos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kreanova 2017 di Dewan Resital, UMS hari ini.

Tambah beliau, penganjuran program Konvensyen  Kumpulan Penggerak Inovasi (KPI) sempena bulan Kreanova merupakan platform terbaik untuk warga UMS menyumbang kepada peningkatan budaya kerja cemerlang melalui idea-idea kreatif dan inovatif.

Terdahulu, Pendaftar UMS, No'man Ahmad dalam ucapannya berkata, sebanyak 21 projek KPI telah dipersembahkan untuk empat  kategori iaitu Kategori KIK, Kategori Pengurusan Lean, Kategori EKSA dan kategori DIY (Do It  Yourself) melibatkan kakitangan akademik dan pentadbiran UMS.

"Anggaran penjimatan daripada semua projek KPI yang telah dibentangkan meliputi penjimatan kos sebanyak RM1,806,308.47, penjimatan masa bagi proses yang diinovasikan sebanyak 211 hari, penjimatan penggunaan air yang dirawat sebanyak 132.6 meter padu setahun, pengurangan penggunaan air luar sebanyak 90%, dan penjimatan kos tenaga buruh sebanyak 85%.

"Justeru, adalah wajar pihak pengurusan UMS untuk terus menyokong dan memberikan kerjasama atau bantuan yang terbaik untuk terus membangunkan kumpulan-kumpulan penggerak inovasi ini di masa hadapan, kerana impaknya yang amat signifikan kepada kecemerlangan Universiti," ujar beliau.

Pada majlis itu, turut berlangsung pelancaran pelaksanaan MS ISO 9001:2015 yang disempurnakan oleh Prof. Datuk D Kamarudin.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, Ketua Pustakawan Dg. Rukiah Ag. Amit, dan Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC) Wilayah Sabah, Norzirin Ariffin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.