Karnival Kebudayaan Prasekolah Cungkil Bakat Muda

JUMAAT, 8 NOV - Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Minda Lestari menepati hasrat sebagai wadah penyuburan dan tempat terbaik mencungkil bakat-bakat muda untuk digilap menjadi permata berkualiti negara.

Menurut beliau, pengisian berbentuk permainan dan didik hibur amat penting untuk murid-murid prasekolah kerana pada peringkat umur tersebut kanak-kanak memerlukan penyuburan minat terhadap pendidikan.

“Pepatah Melayu pernah mengatakan ‘melentur buluh biar daripada rebungnya’ yang bermaksud mendidik apapun yang baik biar bermula sejak kecil kerana pada peringkat ini mereka masih mudah dilentur.

"Kanak-kanak yang digilap sedari kecil akan menjadi bakat besar yang hebat dan boleh diketengahkan di peringkat lebih tinggi termasuklah di peringkat antarabangsa. Pendedahan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti yang mencabar akan membuka minda serta menerapkan kanak-kanak dengan mentaliti yang sihat dan kuat terutama dalam mengharungi situasi pertandingan seperti hari ini,” ujarnya ketika merasmikan karnival tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik, Rapahi Edris.

Tambah Datuk Dr. Yusof, UMS merupakan salah satu tempat atau ruang untuk mencipta peluang dan mencuba bakat baharu untuk kanak-kanak menerusi inovasi dan kreativiti yang mampu membawa pulangan lumayan kepada kanak-kanak dalam menghadapi masa depan yang penuh mencabar.

“Saya menyeru agar pihak sekolah untuk peringkat awal kanak-kanak agar mencipta inovasi yang dapat mengembangkan bakat kanak-kanak dengan lebih cepat dan berkualiti. Ledakan teknologi digital mahu atau tidak kanak-kanak pasti akan menempuhi juga satu masa. Justeru itu, guru-guru perlu berkreativiti untuk mencipta inovasi untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Yap Yun Hin berkata penganjuran karnival seumpama itu adalah penting dalam memupuk kesedaran akan kepentingan ilmu dalam kalangan murid.

“Mereka perlu dilentur dan didedahkan dengan aktiviti keilmuan dan kebudayaan agar mereka dapat dibentuk dari awal sebagai ejen perubahan negeri dan negara kita.

“Dengan teradunnya jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial secara seimbang dalam kalangan murid prasekolah ini, maka tidak mustahil satu ketika nanti mereka akan menjadi pencetus perubahan,” tambahnya dalam ucapan yang dibacakan oleh Dekan FPP, Profesor Dr. Ismail Ibrahim.  

 Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah kali kedua itu disertai oleh pelbagai prasekolah di negeri ini. Antaranya Pusat Minda Lestari, Tadika Cinta Sayang, Tadika Kemas Pinolobu, Tadika Khoi Ming, Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, Prasekolah SK Kilimu dan Prasekolah SK Bongkud.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.