FPSK UMS Turut Jayakan Majlis Khatan Beramai-Ramai Di Hospital Pitas

RABU, 18 DISEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut sama menjayakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai yang telah diadakan di Jabatan Pesakit Luar, Hospital Pitas baru-baru ini.

Program anjuran Hospital Pitas dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Perubatan Sabah (PERKIPS) itu merupakan acara tahunan PERKIPS untuk aktiviti berkhatan kanak-kanak di daerah Pitas, dengan acara tahun ini melibatkan pakar-pakar bedah dan pegawai-pegawai perubatan yang dijemput khas daripada Jabatan Pembedahan Am, Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan FPSK.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) FPSK UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd. Hayati yang merupakan salah seorang wakil dari FPSK menyertai program tersebut, program tersebut diadakan untuk memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk setempat melalui aktiviti kemasyarakatan seperti berkhatan yang dilakukan secara percuma terutama kepada pelajar sekolah.

“Dalam program ini turut diadakan ceramah Continuous Medical Education (CME) dan aktiviti Credential and Priviledging (C&P) kepada Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan di hospital dan klinik kesihatan di sekitar daerah Pitas, yang bertujuan untuk memberikan maklumat yang tepat tentang teknik berkhatan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kebanyakan komplikasi seperti pendarahan dan jangkitan kuman adalah disebabkan oleh teknik dan prosedur yang tidak menepati garis panduan, justeru dengan adanya aktiviti ini, kita harapkan Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan di daerah Pitas dapat melakukan prosedur dengan selamat dan komplikasi berkhatan dapat dielakkan” ujar Dr. Mohd Firdaus.

Majlis berkhatan tersebut telah disertai oleh 60 kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur, dan turut dihadiri oleh Pengarah Hospital Pitas, Dr. Gerald Marcus dan Pengerusi PERKIPS cawangan Pitas, Awang Nasran Harun.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.