Direktori |  Hubungi Kami  |   Staf   |  Pelajar  |  Pelawat  |

.

 
.

.

English (UK)BahasaMelayuMalaysiaChinese (Simplified)

ARKIB

Pendidikan STEM Penting Dalam Mempersiapkan Pelajar Hadapi Cabaran Global

RABU, 19 OGOS - Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam mempersiapkan pelajar khususnya dan rakyat Sabah secara amnya bagi menghadapi cabaran global.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ini kerana negara maju misalnya memberi tumpuan kepada STEM kerana STEM merangkumi setiap aspek kehidupan serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi masa depan negara.

“Negara memerlukan bakat yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran STEM untuk mengekalkan daya saing global negara.

“Justeru, kesedaran mengenai kepentingan STEM telah mendorong perubahan besar dalam sistem pendidikan negara, dengan banyak peralihan dibuat dalam proses memperkenalkan STEM di peringkat sekolah bagi memastikan sistem pendidikan setaraf keperluan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Program STEM4ALL@SABAH Pertandingan Dalam Talian Sempena Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sabah secara maya di Bangunan Canselori, pagi tadi.

Mengulas tentang Program STEM4ALL@SABAH Pertandingan Dalam Talian, Datuk Taufiq Yap menjelaskan penganjuran program tersebut adalah bertujuan untuk melahirkan insan berinovatif dan kreatif.

“Mengangkat tema “MySTEM During Pandemic COVID-19”, peserta perlu membentangkan dengan jelas dan berkesan bagaimana menghasilkan inovasi untuk menangani Pandemik COVID-19., dengan penulisan pendek dan pembentangan direkodkan dan dimuat naik ke dalam Youtube.

“Matlamat yang disasarkan melalui program ini adalah untuk menggalakkan pelajar menghadapi cabaran, melontarkan dan menguruskan idea baharu, menyelesaikan pelbagai masalah serta mengatasi kesukaran teknikal.

“Selain itu, penggalakan STEM melalui program ini akan mendorong pelajar membina pengetahuan sains dan teknologi, dan pada masa yang sama, rasa ingin tahu dan kreativiti sangat diperlukan untuk mendorong inovasi,” katanya.

Datuk Taufiq Yap turut berharap agar pelbagai program STEM seperti itu akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kefahaman, minat dan sebaran maklumat berkaitan dunia STEM yang sangat sinonim dalam kehidupan seharian serta perkembangan arus kehidupan manusia sejagat.

Program tersebut yang berlangsung secara atas talian bermula pada 20 Ogos hingga 30 Oktober ini bukan hanya sekadar pertandingan tetapi turut diisi dengan siri bimbingan secara Webinar dalam talian kepada guru pembimbing dan peserta.

Hadir sama pada acara pelancaran program tersebut wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Rosaineh Suhaibul dan wakil dari Jabatan Meteorologi Malaysia, Ainolwady Idris yang juga merupakan Setiausaha Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sabah.

Untuk maklumat lanjut hubungi U-Science Ums ditalian 088320000 sambungan 101042/103293 dan daftar penyertaan di https://tinyurl.com/y3umdj7z


IKUTI KAMI

ums qr150 facebook361 twitter361 utube361 flickr361 h linkedin  

CAPAIAN PANTAS

PAUTAN LUAR

mygov kpm36 mampu36