KPT Komited Pastikan Hospital Pengajar UMS Siap Ikut Jadual

ISNIN. 24 OGOS - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited dalam memastikan projek pembangunan Hospital Pengajar UMS atau dikenali sebagai HUMS disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Dr. Noraini Ahmad ketika mengadakan lawatan ke tapak pembangunan HUMS kelmarin (22 Ogos 2020) memberitahu, komitmen KPT diperlihatkan menerusi penyaluran dana berjumlah RM116 juta setahun bagi tempoh 27 tahun yang merangkumi bantuan kewangan bagi aktiviti pengurusan HUMS.

Selain itu KPT juga menurut Noraini akan memastikan peruntukan tambahan bagi menyokong aktiviti HUMS berfungsi.

“Antaranya termasuklah tambahan kewangan bagi projek pembinaan jalan masuk utama sepanjang 3 kilometer ke HUMS yang melalui simpang masuk bersebelahan 1Borneo dan tambahan peralatan perubatan bagi melengkapkan kemudahan klinikal hospital berjumlah RM79 juta turut diberi perhatian.

“Apabila siap kelak HUMS bukan sahaja memberi impak kepada pertambahan jumlah kemasukan pelajar perubatan tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan lainnya (fiskal multi tier) di pelbagai sektor,”katanya.

Bagi tujuan tersebut, KPT dalam usaha rundingan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapatkan tambahan seramai 2300 orang tenaga kerja untuk mengisi 1600 perjawatan pelbagai peringkat di HUMS.

Sehubungan itu, Noraini menegaskan komitmen semua pihak dalam memastikan projek HUMS ini berjaya siap dalam tempoh yang ditetapkan amat diperlukan.

“Projek ini merupakan antara pemangkin untuk melonjakkan ekonomi di Sabah, dan apa yang lebih utama HUMS diharap mampu menjadi hab pendidikan dalam melahirkan bakat dalam bidang perubatan,” kata Noraini.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada HUMS terhadap inisiatif beberapa program yang telah dilaksanakan bagi mendekatkan HUMS dengan masyarakat.

Lawatan tersebut merupakan lawatan kali kedua Noraini bersama rombongan KPT ke UMS bagi memantau perkembangan pembangunan hospital tersebut dengan lebih terperinci.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memaklumkan projek pembinaan HUMS dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2022.

“Apabila mula beroperasi nanti HUMS akan menjadi sebuah hospital pintar dan mempunyai kemudahan terkini dengan kapasiti 400 buah katil, 22 buah wad pembedahan dan 145 buah klinik termasuk klinik pakar,” katanya.

Projek pembinaan Hospital UMS menelan kos sejumlah RM652,981,402 juta, merupakan projek Public Private Partnership dengan menggunakan kaedah Private Finance Initiative (PFI).

Pembinaan HUMS ini mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi menyokong hasrat HUMS sebagai sebuah hospital pintar, pihak pengurusan HUMS kini sedang giat membangunkan sebuah aplikasi program promosi kesihatan dan pencegahan melalui jenama HUMS yang dinamakan OHIDAS-Wellness.

HUMS juga sedang melaksanakan Klinik Kesihatan Bergerak (Portable Health Clinic) dengan kerjasama Universiti Kyushu Jepun, Grameen Communications untuk memperkasa masyarakat mengenai kesihatan.

Hadir sama pada sesi lawatan tersebut pegawai-pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi, pegawai-pegawai UMS, serta pihak pengurusan HUMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.