RABU, 17 MEI - Lea Vitalis telah dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau Program Kaamatan@E yang dianjurkan Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ahad.

Beliau menyingkirkan pesaing terdekat, Brenda Ritchell Banaas yang muncul sebagai pemenang tempat kedua, dan Vennesa Vionie Alferd di tempat ketiga.

Farrah Norfazira Jeffers pula muncul sebagai pemenang ‘Miss Popular’ setelah mendapat undian terbanyak daripada pelajar.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili.

Berlangsung di perkarangan kafeteria kolej kediaman itu, penganjurannya telah dikendalikan Kelab E-Seni Muzik Tradisi (E-SEMTRA).

Program sehari itu turut menyaksikan Pertandingan Sugandoi (karaoke lagu Kadazandusun) serta aktiviti sukaneka yang disertai oleh pelajar-pelajar UMS.

Pertandingan Sugandoi menyaksikan Kerolfijo Osewan berjaya merangkul tempat pertama, Saini Megan Cyril Ondoi tempat kedua, manakala tempat ketiga ialah Mischellyn Masunning.

Hadir sama, Felo Penyelaras Majlis Ketua-ketua Kelab, Farah Afifah Sufyan; Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E, Mohd Syafiq Mohd Faizan dan  Pengarah Program Kaamatan@E, Muhammad Ghozali Ahmad.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

 

RABU, 17 MEI - Bidang psikologi memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kesejahteraan insan kerana bidang ini mengkhusus kepada penerokaan ilmu pengetahuan dan ilmu terapan berkaitan perilaku dan fungsi mental manusia secara ilmiah.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, pemahaman terhadap tingkah laku dan fungsi mental seseorang sangat penting untuk mewujudkan kesejahteraan sama ada pada peringkat individu ataupun masyarakat secara umumnya.

“Mengambil statistik Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2016, Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia masih berada pada tahap sederhana dengan mencatatkan nilai skor 7.33 daripada skala terbaik atau maksimum iaitu skor 10.

“Skala pada tahap sederhana ini masih memerlukan usaha keluarga-keluarga di Malaysia bagi mengekalkan atau meningkatkan skor tersebut agar menjadi lebih baik jika ingin mewujudkan masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Psikologi dan Kesihatan Sosial 2017 di Bilik Seminar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS pagi tadi.

Tambah Datuk Harun, penganjuran simposium yang bertemakan “Psikologi dan Kesejahteraan Insan” adalah sangat bersesuaian dan menepati keperluan semasa yang dapat memanfaatkan masyarakat dan rakyat negeri Sabah secara khususnya.

“Diharapkan simposium ini mampu menjadi titik-tolak membina idea bagi mengangkat hasil kajian dengan bukti-bukti yang boleh dipercayai serta diangkat menjadi wadah pembentukan kesejahteraan insan bagi negeri Sabah dan negara Malaysia pada masa hadapan,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Ketua Pustakawan UMS Dg. Rukiah Ag. Amit, Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan A. Malek dan Ketua Unit Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPKS) merangkap pengerusi simposium, Dr. Ferlis Bullare.

Foto: Johaidi Ismail

 

SELASA, 16 MEI - Penerbit UMS terus mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara (ABN) 2017 bagi Anugerah Pengajian Tinggi dalam kategori Buku Sains Sosial Terbaik baru-baru ini.

Anugerah itu dimenangi melalui  buku berjudul, “Pluralisme : Etnisiti Sabah dan Sarawak” yang disunting oleh Prof. Madya Mat Zin Mat Kib, Dr. Christina Andin dan Prof. Madya Dr. Ismail Ali dari Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan (FKSW) UMS.

Buku yang dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim sempena persaraan wajib beliau pada 5 April 2016 telah diumumkan sebagai pemenang dalam Majlis Anugerah Buku yang diadakan di Pasific Ballroom, Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Anugerah Buku Negara dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran Anugerah Buku Negara ini terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya.

Majlis Anugerah Buku itu juga turut diadakan bersempena Pesta Buku Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara.

 

Sumber: Anicius Justin Adeh, Penerbit UMS

Foto: Roslida Ramlee   

 

 

SELASA, 16 MEI - Graduan perlu mengambil peluang meningkatkan kemahiran insaniah semasa menuntut di universiti sebagai nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan kelak, kata Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings, Tan Sri (Dr) Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Beliau berkata, para graduan perlu aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum seperti pengucapan awam dan program-program kepimpinan kerana ia bakal memberi kelebihan khususnya ketika graduan dalam fasa pencarian kerja.

“Banyak graduan yang gagal dalam temu duga kerana tidak mempamerkan keyakinan walaupun mereka agak baik sewaktu di universiti.

“Mereka tidak menguasai teknik komunikasi berkesan dan tidak mampu menyampaikan idea-idea semasa proses temu duga yang akhirnya menyebabkan mereka tidak ditawarkan untuk mengisi kekosongan jawatan yang dipohon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Kinabalu, Perubahan Pola Pasaran Kerja Dalam Persekitaran Perniagaan yang Kompetitif anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), UMS.

Tan Sri Mohd Nadzmi berkata, dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, para graduan seharusnya perlu mencari kelebihan masing-masing yang tidak ada pada orang lain.

“Seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun universiti awam dan swasta termasuk kolej-kolej cawangan universiti luar negara di Malaysia akan melahirkan graduan-graduan yang menyebabkan persaingan sengit dalam mengisi pasaran kerja.

“Justeru, para graduan perlu mencari kekuatan diri masing-masing untuk kekal dalam pentas persaingan, dan tidak dinafikan kelebihan pastinya juga akan memihak bagi mereka yang mempunyai dua jenis ijazah sarjana muda dalam bidang yang berbeza,” tambahnya lagi.

Beliau turut berpesan agar graduan tidak tertumpu kepada pekerjaan di dalam negara sahaja, tetapi perlu melihat peluang yang lebih besar dalam pasaran kerja di peringkat antarabangsa.

“Misalnya, di negara seperti Dubai, Arab Saudi dan Qatar, terdapat pekerja-pekerja di sana berasal dari Filipina, Mesir dan beberapa negara Asia yang lain termasuk Malaysia.

“Kita harus berfikiran seperti itu, tidak hanya melihat kepada pasaran kerja tempatan tetapi melihat lebih jauh ke luar,” ujar Tan Sri Nadzmi.

Dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan (UPEP), serta Program Hubungan Industri, syarahan itu dihadiri hampir 500 pelajar dan kakitangan UMS.

Hadir sama, Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim dan Ketua UPEP, Prof. Madya Dr. Rosazman Hussin.

ISNIN, 15 MEI - Seramai 120 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Belia dan Komuniti V.2 ke Pantai Barat Sabah yang dianjurkan Kelab Sukarelawan (KESUWA) UMS baru-baru ini.

Program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak, antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) UMS, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Maybank dan Kolej Komuniti Beaufort.

Pengarah Belia UMS dan Komuniti V.2, Nurhidaya Syamsuddin berkata, kampung yang terlibat ialah Kampung Bamban, Kampung Baru Jumpa dan Kampung Mamaitom untuk daerah Tenom,  Kampung Kabulu untuk daerah Beaufort dan Kampung Sinapukan untuk daerah Kuala Penyu. 

“Projek sukarelawan yang dilaksanakan di lima buah kampung ini melibatkan tiga buah kluster iaitu kluster komuniti, kluster pendidikan dan kluster kesihatan.

“Objektif pelaksanaan program ini ialah untuk menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan, meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin sukarelawan UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama katanya,  program itu juga dilaksanakan untuk mendekatkan mahasiswa kepada komuniti di samping membantu membaik pulih infrastruktur yang ada serta memberi pendidikan kepada kanak-kanak kampung tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang di Kampung Bamban, Tenom.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Penyelaras KESUWA UMS, Mohd Alwi Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bamban, Aripin Kulipo.