Seramai 437 kakitangan dan pesara Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2023 yang berlangsung di Pusat Islam UMS, di sini, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 165 orang adalah penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 70 penerima Anugerah Inovasi, dan 27 pesara penerima Anugerah Jasamu Dikenang.
Majlis AKU 2023 turut meraikan 70 kakitangan yang genap berkhidmat selama 25 tahun dengan memberi Anugerah Sanjungan Budi, 94 penerima Anugerah Jasa Setia (berkhidmat 20 tahun) dan 80 penerima bagi Anugerah Jasa Bakti (berkhidmat 10 tahun).
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor.
Kasim dalam ucapannya berkata kakitangan UMS perlu menghayati konsep Negara MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan dapat menelaah, mempelajari dan memahami bahawa wujud suatu konsep atau ciri-ciri sumber manusia yang cekap dan berwibawa.
“Ini adalah kerana MADANI itu mempunyai enam nilai teras yang unggul kualitinya, mendalam maknanya, yakni kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Selaku institusi ilmu, kita di universiti perlu turut sama menghayati maksud MADANI ini dan dengan sebaik mungkin menerapkannya ke dalam gerak kerja dan tindakan yang kita lakukan,” katanya.
Tambah Kasim, beliau percaya dengan pengalaman, kepakaran dan kemahiran yang ada pada diri kakitangan, mereka mampu untuk terus mencurah khidmat bakti kepada komuniti dan masyarakat.
“Bak kata bidalan, ‘Dibuang ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang, dilempar ke hutan menjadi gunung’.
“Teruskan usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan menjadikan UMS sebagai institusi pengajian tinggi yang terus melakar pelbagai kejayaan pada masa hadapan,” jelasnya.
Kasim turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah pada majlis tersebut.
“Semoga penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan dapat menyuntik semangat tuan-tuan dan puan-puan untuk terus berkhidmat dengan lebih berdedikasi, berintegriti dan penuh iltizam demi kecemerlangan universiti kita yang tercinta ini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut juga, Kasim turut melancarkan Pelan Transformasi UMS 2050 dan Pelan Strategik UMS 2023 - 2027.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis AKU 2023, Luqman Ridha Anwar.



Training Course on Tourism 2023 University Malaysia Sabah (UMS)-MTCP equip knowledge and skills to champion sustainable and responsible tourism.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui penubuhan Pusat Dialisis UMS-YKN bagi membantu pesakit end stage renal disease (ESRD) atau penyakit buah pinggang kronik bagi mendapatkan rawatan.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK23) di Theatrette Ahmad Nisfu, ASTiF baru-baru ini.
Dalam usaha untuk terus menyemai dan menyuburkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama komuniti pustakawan di negeri Sabah telah menjayakan Program Kembara Merdeka 2023 baru-baru ini.