- Jumlah paparan: 1979
“Project Hope” Siswa UMS Bantu Atasi Masalah Dihadapi Pelajar Asrama SMK Kemabong, Tenom
RABU, 19 DISEMBER – Projek Pemasangan Sistem Tadahan dan Penapisan Air Hujan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kemabong, Tenom yang dilaksanakan oleh 12 pelajar tahun akhir dari program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini memberi sinar baru buat pelajar asrama sekolah tersebut yang mengalami masalah kekurangan bekalan air.
Ketua projek tersebut, Khor Tsu Jian berkata, “Project Hope” tersebut dijayakan hasil daripada tajaan oleh KHIND Starfish Foundation di bawah Project for Happiness dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) UMS.
“Projek ini merupakan inisiatif pelajar Kejuruteraan Awam UMS untuk menyediakan bekalan air bersih bagi kegunaan harian sekali gus membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang telah sekian lama dihadapi oleh warga SMK Kemabong, terutamanya pelajar yang tinggal di asrama sekolah.
“Selain itu, projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang aplikasi teknologi bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKJ, Profesor Madya Dr Ismail Saad berkata, beliau menyokong penuh penganjuran projek seperti ini yang memberi peluang kepada siswa-siswi untuk mencipta idea bagi melaksanakan projek yang memfokuskan tentang pendidikan dan perlindungan alam sekitar.
“Projek ini bukan sahaja memberi impak kepada pelajar yang terlibat, bahkan juga kepada komuniti setempat.
“Projek seperti ini selaras dengan seruan Revolusi Industri 4.0 yang mengetengahkan aspek kreativiti, inovasi dan keusahawanan untuk melahirkan graduan yang berkebolehan dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka apabila berhadapan dengan situasi sebenar yang jauh lebih mencabar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan program serta upacara penyerahan projek kepada warga SMK Kemabong.
Sementara itu, Pengetua SMK Kemabong, Lian Chee Foo berkata, pihak sekolah amat berbesar hati kerana pihak UMS telah memilih SMK Kemabong bagi melaksanakan projek yang memberi manfaat besar kepada sekolah tersebut.
“Saya turut gembira dan berbangga kerana salah seorang ahli kumpulan projek ini, Ekin Arot merupakan bekas pelajar SMK Kemabong, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada pelajar sekolah ini.
“Projek seperti ini juga akan memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada siswa-siswi untuk tidak hanya fokus kepada pencapaian akademik, malah turut berbakti kepada masyarakat dan komuniti setempat,” ujar beliau.
Hadir sama pada program tersebut pensyarah kursus Kejuruteraan Alam Sekitar merangkap penasihat projek, Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kemabong, Frances Stanis.



SELASA, 18 DISEMBER - Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan, Universiti Malaysia Sabah (ERDEC), telah mengadakan siri program perkongsian ilmu keusahawanan bersama Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITSA) baru-baru ini.
SELASA, 18 DISEMBER – ‘Program Beauty and Smart Workshop’ anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JAKMAS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama pelajar-pelajar Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) baru-baru mampu memberi manfaat terhadap meningkatkan keyakinan diri peserta.
SELASA, 18 DISEMBER – UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. melebarkan sayapnya dalam bidang e-Pelancongan di Negeri Sabah melalui pelancaran laman sesawang COMETOSABAH.COM yang dilancarkan dalam satu majlis di Klagan Regency Hotel, 1Borneo baru-baru ini.
ISNIN, 17 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan kehadiran pelajar-pelajar antarabangsa di UMS dalam satu majlis Malam Antarabangsa UMS 2018 yang berlangsung di Grand Ballroom, Nexus Karambunai Resort baru-baru ini.