Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) kali-45 menutup tirai dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan kejuaraan selepas merangkul 15 emas, 16 perak dan 14 gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, naib johan temasya SUKUM dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM), selepas berjaya merangkul 15 emas, 10 perak dan 19 gangsa, manakala tuan rumah UMS meraih tempat ketiga dengan kutipan 14 emas, 14 perak dan 29 gangsa.

Pada majlis penutupan, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua kontinjen yang telah mengambil bahagian pada temasya SUKUM ke-45.

“Tahniah kepada pengurus, jurulatih, dan atlet yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kejayaan pasukan masing-masing. Semangat juang dan kesukanan tinggi yang dipamerkan oleh semua atlet sepanjang kejohanan telah mengangkat nama dan maruah universiti.

“Saya percaya, penyertaan dalam kejohanan SUKUM ini pastinya menghadirkan kegembiraan dan kesedihan demi mendapatkan kemenangan buat semua kontinjen yang bertanding.

“Menang atau kalah, itu adat bertanding. Tiada pendekar yang tak bolos, tiada juara yang tak kalah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kejohanan SUKUM kali ke-45 yang berlangsung di Dewan Resital UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

 

Tambah Kasim, kejohanan tersebut diharap dapat memberi kenangan dan memori indah buat para atlet yang sudah berjuang sepanjang seminggu kejohanan tersebut berlangsung.

 

“Terima kasih juga kepada sukarelawan pelajar yang sanggup mengorbankan cuti semester untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pelaksana SUKUM kali ini.

 

“Saya berharap semoga tali persaudaraan dan silaturahim dalam kalangan semua Universiti Awam yang menyertai kejohanan ini terus erat dan harmoni demi kesinambungan pada kejohanan yang akan datang,” ujar beliau.

 

Majlis penutupan turut menyaksikan penyerahan bendera SUKUM kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang akan menjadi tuan rumah bagi edisi ke-46.

 

Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan sesi pemeriksaan audit ke atas keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di kolej-kolej kediaman UMS.

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, pemeriksaan audit tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan dan penambahbaikan pengurusan KKP di kolej-kolej kediaman UMS.

“Kolej kediaman adalah rumah kedua bagi para pelajar UMS. Kita mahu pastikan pelajar-pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sihat sepanjang mereka berada di sini.

“PNRF UMS juga hari ini berbesar hati kerana pemeriksaan audit ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada pihak industri iaitu Syarikat Sedafiat Sdn. Bhd. yang turut menyumbang sejumlah dana bagi membiayai sebahagian kos audit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

“UMS komited untuk sentiasa menjaga KKP khususnya berkenaan pelajar-pelajar kita.

“Penarafan bintang KKP hasil sesi pemeriksaan audit ini akan dapat meningkatkan kepercayaan para pelajar untuk tinggal dan bekerja untuk kakitangan yang berada di kolej kediaman dengan selesa dan selamat,” katanya.

Sesi audit tersebut telah dijalankan di semua kolej kediaman UMS induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Sandakan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Profesor Dr. Kamisah Awang Lukman bersama Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan rasmi ke Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Cawangan Sabah bagi memperkasa hubungan kerjasama kedua-dua pihak, baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, lawatan tersebut turut memberi peluang kepada NDRC untuk melihat proses pemantauan dan operasi sistem gempa bumi dan amaran tsunami (SEISCOMP5) yang terdapat di agensi itu.

“NDRC UMS mengadakan lawatan rasmi ke MET Sabah dan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah (POCGS) bersama-sama pelajar latihan industi dan para penyelidik NDRC.

“Lawatan ini dilihat dapat memberi pendedahan kepada para pelajar dan penyelidik kami mengenai bidang sains atmosfera, klimatologi dan penyelidikan berkaitan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir, ribut taufan serta kemarau.

“Kami juga berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peranan dan fungsi MET Malaysia, kemudahan-kemudahan pencerapan data meteorologi serta pemantauan cuaca yang lain seperti Terminal Doppler Radar (TDR), Automated Weather Station (AWS), MMD Radar Network dan Wind and Runway Visual Range yang terdapat di jabatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

Carolyn menambah, lawatan rasmi tersebut juga bertujuan memperkukuh kerjasama sedia ada di antara NDRC UMS dan MET Malaysia melalui penyelidikan berkaitan bencana alam melalui penggunaan sistem SEISCOMP3 yang telah ditempatkan di makmal NDRC UMS oleh MET Malaysia.

“Perisian SEISCOMP3 merupakan sistem pemantauan gempa bumi yang ditempatkan di Makmal NDRC UMS. Sistem ini dapat digunakan oleh para pelajar dan penyelidik di NDRC UMS untuk membuat pemantauan dengan lebih berkesan.

“Kerjasama NDRC UMS dan MET Malaysia juga akan diteruskan merangkumi penyeliaan bersama pelajar latihan industri di NDRC UMS.

Turut hadir pada lawatan tersebut Timbalan Pengarah I, POCGS/Felo Penyelidik Bersekutu NDRC, Dr. Chai Mui Fatt; Ketua Stesen Pejabat Meteorologi Kota Kinabalu, Hamiji Lariuh; Penolong Pegawai Meteorologi POCGS, Isaac Yubih serta Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri bagi memberi manfaat khususnya kepada pelajar UMS.

Terbaharu, UMS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama LJ Resource Enterprise.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, kerjasama tersebut meliputi bidang penyelidikan, penerbitan, konsultasi dan projek komuniti untuk meningkatkan pengetahuan pelajar.

“Di samping itu, ia juga program latihan untuk memajukan kemahiran profesional serta perkongsian data dan bahan untuk tujuan akademik dan penyelidikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kasim berkata selain pendidikan formal, UMS komited untuk menyediakan latihan tambahan, kursus profesional, dan peluang pembangunan untuk pelajar dan masyarakat umum bagi membantu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan industri.

“LJ Resources, sebuah syarikat penyedia latihan terkemuka di Labuan yang menunjukkan komitmen dalam memberikan latihan berkualiti tinggi.

“Syarikat ini diiktiraf oleh HRD Corp., Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), menunjukkan komitmen dalam industri latihan,” ujar beliau.

Tambah Kasim, kerjasama tersebut akan menyatukan kekuatan serta kepakaran UMS bersama LJ Resources Enterprise yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

Pemilik Tunggal Syarikat LJ Resouces Enterprise, Joanita Joseph berkata MoU yang ditandatangani akan membuka ruang yang lebih cerah dan berinovatif bagi kedua-dua pihak.

“Di LJ Resources Enterprise, kami sentiasa komited untuk memajukan piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Dedikasi kami dalam menyediakan latihan berkualiti tinggi dan perkhidmatan penilaian risiko telah menjadikan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam industri ini.

“Kami berdaftar dengan DOSH, CIDB, EIMAS, dan HRD Corp, dan kami berbangga menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk penilaian risiko bunyi (NRA), penilaian risiko ergonomik (ERA), penilaian risiko kesihatan kimia (CHRA), penilaian pengudaraan ekzos tempatan (LEV), dan penilaian risiko kesihatan (HRA) mengikut keperluan industri.

“Kerjasama kami dengan UMS adalah bukti kepada visi bersama kami untuk memupuk budaya keselamatan, inovasi, dan kecemerlangan akademik. MoU ini menandakan lebih daripada sekadar perkongsian, ia mewakili komitmen kolektif untuk merapatkan jurang antara akademia dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UMS dan LJ Resources Enterprise di UMS.

Tambah Joanita, melalui inisiatif penyelidikan bersama, persidangan kolaboratif, dan sesi latihan praktikal, mereka berhasrat untuk melengkapkan generasi profesional seterusnya dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk cemerlang.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelatih dan pelajar tetapi juga akan memberi kesan mendalam kepada industri di Labuan. Penyelarasan dalam penyelidikan akademik dengan keperluan industri akan memacu inovasi, meningkatkan daya saing perniagaan tempatan, dan menyumbang kepada pembangunan lestari ekonomi Labuan.

“Untuk itu, bersama-sama kita mewujudkan platform yang kukuh untuk penglibatan industri yang lebih luas dan saya berharap perkongsian ini akan memupuk persekitaran di mana pengetahuan praktikal dan wawasan akademik bertemu, membawa kepada penyelesaian inovatif dan peningkatan piawaian industri.

“Saya yakin bahawa MoU ini akan membawa perubahan positif yang ketara untuk semua pihak yang terlibat. Ia akan memberi pengalaman praktikal yang tidak ternilai, memupuk budaya inovasi, dan menyumbang kepada pembangunan lestari industri dan komuniti,” katanya.

Pada MoU tersebut, UMS diwakili oleh Kasim dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, manakala LJ Resources Enterprise diwakili oleh Joanita dan Naib Presiden Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Labuan (LOSPHA), Denis Empalah.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Coswald Stephan Sipaut @ Mohd Nasri; Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal serta Presiden Persatuan PKS Labuan, Jefery Tan.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalankan kajian lapangan dan tinjauan kawasan bencana banjir di Penampang baru-baru ini.

Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, kajian lapangan dan pemetaan di kawasan banjir ini merupakan salah satu aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh NDRC dalam memantapkan Pangkalan Data Bencana NDRC yang telah dibangunkan oleh Pusat ini semenjak tahun 2009.

“Selain itu, aktiviti ini bertujuan untuk menganalisis punca atau sebab berlakunya sesuatu bencana alam, di samping melihat impak dan bekas peninggalan bencana tersebut”.

“Di samping itu, maklumat ini penting bagi tujuan penyelidikan bencana, khususnya kawasan banjir di Penampang, selain menjadi sebagai pusat rujukan atau focal point kepada para penyelidik yang lain,” katanya.

Dalam kajian lapangan tersebut, para penyelidik NDRC UMS telah melawat kawasan-kawasan yang terjejas dan terkesan teruk akibat bencana banjir yang telah melanda daerah Penampang pada 30 Jun yang lalu.

Kawasan-kawasan yang terkesan adalah di sekitar Pekan Donggongon, Balai Polis Penampang, Kg. Babagon, Kg. Inobong, Kg. Pukakon Inobong, Kg. Pangasakan, Kg. Pogunon, Taman Seri Vista Kiranau dan Kg. Nampasan.

Antara yang terlibat dalam kajian tersebut Ketua Kluster Banjir NDRC, Dr. Janice Lynn Ayog; Ketua Kluster Gempa Bumi NDRC, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith; Pegawai Penyelidik NDRC Eldawaty Madran; Pelajar Pascasiswazah Fakulti Kejuruteraan UMS, Rosdianah Ramli; dan wakil komuniti dari Penampang, Kenneth Chung