Penganjuran Anugerah Kecemerlangan RekaCipta (EXCOCIPTA) 2024 oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat mampu menunjukkan semangat inovasi dan kreativiti yang tinggi serta komitmen terhadap pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, penganjuran EXCOCIPTA 2024 bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan keterlihatan inovasi akademik dan pelajar dan memperbaiki pemasaran dan pengkomersialan harta intelek.

“Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memupuk pendidikan inovasi awal dan meningkatkan kesedaran serta kemahiran dalam perlindungan dan pengkomersialan harta intelek,” katanya.

Selain pameran inovasi dan ceramah ilmiah, pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang berlangsungnya EXCOCIPTA kali ini seperti Pertandingan Reka Cipta (PEREKA), STEMQuest Ignite, NexGen Ventures dan LAGUCipTa 1.0.

PEREKA 2024 menyaksikan pensyarah kanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, Ts. Dr. Rovina Kobun dinobatkan sebagai pemenang "Best of the Best" melalui inovasi "Sea-Coat," sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, manakala pensyarah kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Dr. Muhammad Dawood Shah memenangi anugerah "Most Sustainable Food Innovation" melalui inovasi "Aqua Shield-Bio."

Dalam pada itu, pensyarah kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Mohamed Arif Hameed Sultan pula meraih anugerah "Best High Impact Innovation" dengan produk "Portable Thermal Cautery Circumcision Device," dan pensyarah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Mohamad Najmi Masri memenangi "Best Sustainable Technology" dengan inovasi "NSP - Innovation Design of Sublimation Machine."

Pertandingan STEMQuest Ignite menyaksikan penyertaan daripada sekolah-sekolah seluruh Sabah yang mempamerkan inovasi kreatif masing-masing.

"BUKU BIJAK MAKANAN" dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kok Wah (SJKC), Talibong memenangi kategori Inventor Junior (Tahun 1-3), manakala "SMART RECYCLE BIN SORTER" dari SK (C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu, meraih juara bagi kategori Inventor Junior (Tahun 4-6).

Sementara itu, "S2ABIOFUEL" dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin, Penampang, memenangi kategori Inventor Muda (Menengah Rendah), dan "TUHAU TRANSFORMERS" dari S.M. Lok Yuk Kota Kinabalu telah memenangi kategori Inventor Muda (Menengah Atas) serta Anugerah Inovasi Akar Umbi IDS bernilai RM2,000.

Pertandingan NexGen Ventures, menyaksikan detik kejayaan pensyarah kanan FPSK, Dr. Mohd Fariz Amri Aliaman yang meraih dua anugerah utama, iaitu "Best Venture Idea" dan "Innovative Venture Idea" melalui penyelidikannya bertajuk "Lymph Node Revealing Solution," manakala Ag Ahmad Mohd Yunus memenangi anugerah "Best Pitch" dengan inovasi "SWD Mulch."

Pertandingan LAGUCipTa 1.0 pula menyaksikan "MUSARUNGANG" dinobatkan sebagai juara sekali gus menerima anugerah khas untuk Susunan Muzik Terbaik, manakala Mixsimus Jumi dari kumpulan yang sama menerima anugerah Vokal Terbaik, sementara "JOGET ALAM" memenangi anugerah Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Pada majlis penutupan, Anugerah Harta Intelek, Pengkomersialan, dan Perundingan (AHIPP) 2024, beberapa syarikat telah diberi penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pengkomersialan dan perundingan.

Antara syarikat yang menerima pengiktirafan adalah Denim Code Sdn. Bhd., Hafiz Feed Sdn. Bhd., Villaco Sdn. Bhd., dan Wong Aquaculture Sdn. Bhd.

Sementara itu, anugerah "Most Outstanding Royalty Contributor" telah diberikan kepada Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri; Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Prof. Dr. Jidon @ Adrian Janaun, dan Pengarah Pusat EcoFarm UMS, Ts. Dr. Januarius Gobilik.

Anugerah "Technology Licensing" pula dianugerahkan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Pengarah PPIP, Prof. Dr. Jidon @ Adrian Janaun, dan penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee.

Majlis ini ditaja oleh pelbagai organisasi termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Institute for Development Studies Sabah (IDS), AJ Productions, Wong Aquaculture Sdn. Bhd., Uncle Bob, Adastra IP (M) Sdn. Bhd., D'Alawa, Kejuruteraan Jutakaya Sdn. Bhd., Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), dan beberapa lagi.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

 

KOTA KINABALU - Pakar bedah otak dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan pakar bius otak Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik (TBI), baru-baru ini.

Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Bedah Saraf HQE2, Dr. Mohd Sofan Zenian dalam satu kenyataan berkata, pesakit lelaki itu mengalami kecederaan tersebut apabila terjatuh ketika berjalan kaki di taman perumahannya dua minggu lalu dan mengalami pendarahan subdural kronik kiri yang besar (SDH).

“Akibatnya, beliau mengalami sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.

“Memandangkan fungsi sarafnya yang semakin merosot, kami segera menghantarnya ke dewan bedah untuk menjalani mini kraniotomi bagi mengalirkan darah beku yang lama,” katanya.

Beliau menambah, tujuan melakukan pembedahan tersebut secara sedar adalah untuk menilai fungsi sarafnya secara intraoperatif, yang bertambah baik berikutan pengaliran kira-kira 30ml bekuan darah, dan pesakit difahamkan telah pulih sepenuhnya.

Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanaestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat memaklumkan pembedahan mini kraniotomi secara sedar pada pesakit tersebut, yang juga mengalami penyakit kardio-pernafasan, adalah tepat pada masanya.

“Prosedur ini akan mengelakkan dari kesan sampingan pembiusan secara tidur dan mengurangkan keperluan pesakit untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Ini juga penting untuk mengurangkan kadar jangkitan penyakit nosokomial di ICU,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan ke atas HQE2 atas kepercayaan yang diberikan kepada UMS untuk bekerjasama dalam pembedahan otak tersebut.

“Pihak UMS amat teruja dan berterima kasih kepada pasukan neurosurgeri dari HQE2 atas kerjasama yang baik dengan UMS untuk memastikan kemajuan dalam pembedahan otak, saraf dan pembiusan dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Saya difahamkan bahawa ini merupakan kali ketiga UMS berjaya bekerjasama dengan pasukan HQE2 dalam melakukan pembedahan otak secara sedar di Sabah dengan dua pembedahan terdahulu merupakan pesakit dengan ketumbuhan di otak (brain tumor),” katanya.

Senada dengan beliau ialah Dekan FPSK UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof Haji Ibrahim.

“Diharapkan lebih banyak kemajuan dalam penjagaan neurosurgikal dan neurokritikal, seperti brain suite, dapat diberikan kepada hospital tertiari di Sabah, khususnya Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), untuk memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” ujarnya.

 

Penganjuran Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) kali ke-45 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan antara staf UMS bersama staf dari 19 Universiti Awam (UA) yang menyertai kejohanan tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejohanan tersebut memberi peluang kepada para atlet yang terlibat untuk mengeratkan hubungan, bertukar idea, dan dapat meningkatkan gaya hidup sihat.

“Melalui sukan, semangat perpaduan dalam kalangan staf universiti terutamanya dalam membangunkan mutu sukan dan pendidikan peringkat universiti seterusnya negara dapat disemai dan dikekalkan bagi melahirkan generasi yang ceria dan harmoni.

“Saya yakin dan percaya, SUKUM mampu memartabatkan sukan seiring dengan pendidikan di negara ini.

“Penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontinjen masing-masing amat membantu dalam pembangunan sukan negara melalui pembangunan prasarana, fasiliti sukan dan persediaan atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena merasmikan Kejohanan SUKUM kali ke-45 di Stadium UMS.

Menurut Arifin, sektor pendidikan tinggi negara harus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara dengan lebih bermakna.

“Ini kerana kita sedar, selain kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.

“Saya berharap dengan adanya kejohanan SUKUM ini, para atlet dari semua kontinjen dapat menghayati semangat kesukanan yang tinggi dalam persaingan memburu kejuaraan.

“Syabas dan tahniah kepada warga UMS atas usaha menggalas tanggungjawab selaku tuan rumah penganjuran SUKUM untuk tahun ini, yang saya turut dimaklumkan buat kali ke-2 dianjurkan di UMS selepas pertama kali pada tahun 2003,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya menyeru para atlet yang bertanding bagi setiap kontinjen untuk bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi.

“Dalam usaha meraih pingat, setiap kontinjen harus bersaing dengan semangat kesukanan tinggi, adil dan berdisiplin agar kejohanan ini dapat membentuk permuafakatan dalam kalangan setiap pasukan.

“Di gelanggang, kita adalah seteru. Namun di luar gelanggang, kita bersahabat,” ujar beliau.

Kejohanan SUKUM edisi ke-45 ini menyaksikan sebanyak 20 kontinjen UA yang bertanding dengan menghimpunkan seramai 2,303 atlet dan mempertandingkan sebanyak 23 acara sukan yang menawarkan 139 pingat emas.

 

Hadir sama pada acara perasmian tersebut Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Naib-naib Canselor Universiti Awam Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff; Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKUM ke-45, Luqman Ridha Anwar; dan Pendaftar Universiti Putra Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam Malaysia, Muazam Mansor.

 

Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) disaran untuk terus menggiatkan pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada ahli-ahlinya serta masyarakat sekeliling. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pelaksanaan program latihan kemahiran, bengkel keusahawanan, dan seminar kesihatan wanita sangat dialu-alukan bagi menyokong usaha tersebut.

“Kewujudan KESUMBA sendiri semakin terlihat dengan pertambahan ahli iaitu daripada 578 ahli pada tahun lalu yang telah meningkat kepada 607 pada tahun ini.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kakitangan wanita dan isteri-isteri kepada kakitangan UMS untuk mendaftar sebagai ahli KESUMBA agar kelab ini boleh bergiat dengan lebih aktif secara skala yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung KESUMBA Kali Ke-27 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kasim berkata mesyuarat agung tahunan KESUMBA adalah satu platform yang penting untuk semua ahli menilai kembali perjalanan kelab sepanjang tahun lalu, dan merancang serta menetapkan hala tuju untuk tahun akan datang.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk anda semua melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dan juga cabaran yang telah dihadapi oleh kelab”.

“Peranan wanita dalam masyarakat pada hari ini tidak dapat dinafikan lagi, dengan wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, tetapi juga dalam pembangunan negara.

“Untuk itu, ucapan tahniah kepada semua ahli KESUMBA atas usaha gigih dan komitmen yang telah ditunjukkan, dan diharapkan kelab ini terus maju dan berjaya mencapai matlamat,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua KESUMBA, Datin Aidah Mohd Ali turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada ahli jawatankuasa dan ahli-ahli KESUMBA yang telah memberikan sokongan dan dorongan dalam pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun.

“Kejayaan kita adalah hasil usaha bersama, dan saya yakin dengan kerjasama yang erat, kita akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, KESUMBA turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada anak-anak ahli yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hadir sama,  Timbalan Yang Dipertua KESUMBA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KESUMBA, Dr Suraya Sintang; Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan, Nur Alliyah Ku @ Ku Chen Jung; dan Pengerusi Mesyuarat Agung Tahunan KESUMBA Kali-27, Muhajirah Muchlish.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu terus memperkukuhkan lagi kerjasama bersama kerajaan negeri Sabah dalam aspek pengurusan bencana khususnya di negeri ini.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, kerjasama tersebut khususnya adalah bagi perkongsian maklumat, penyelidikan mahupun perkhidmatan sebagai membantu agensi kerajaan negeri dalam mengurus dan menangani bencana alam. 

“Melalui kerjasama berterusan ini, NDRC mampu memainkan peranan sebagai titik pertemuan untuk semua keperluan berkaitan pengurusan bencana alam di negeri ini.

“Ini termasuk penyelidikan, perkhidmatan kepakaran dan perundingan yang berkaitan dengan bencana alam, sama ada di dalam negeri atau luar Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat NDRC UMS ke Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Carolyn memaklumkan dalam kunjungan tersebut, NDRC telah berkongsi mengenai fungsi, peranan serta beberapa penyelidikan yang telah dilakukan oleh pusat berkenaan antaranya dalam bidang gempa bumi, banjir, hakisan pantai serta perkongsian mengenai Pangkalan Data Bencana Alam.

“Beberapa isu kritikal turut dibincangkan seperti bencana alam yang sedang berlaku di Sabah pada masa kini, serta cadangan kerjasama dalam pengurusan bencana yang lebih berpusat dan bersepadu antara kerajaan negeri dan NDRC UMS, khususnya dari pihak akademia dalam usaha untuk mengurangkan impak bencana.

“Hasil pertemuan ini juga mendapat maklum balas positif dari Ketua Menteri sendiri yang menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak NDRC UMS terutamanya dalam penyelidikan dan pengurusan bencana negara,” katanya.

Beliau menambah, Ketua Menteri turut menyatakan harapan agar NDRC dapat bekerjasama dengan pengurusan bencana negeri melalui penglibatan dalam Disaster Command Centre yang akan diwujudkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuk menyumbang khidmat kepakaran yang berkaitan dengan pengurusan bencana, seperti Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di bawah Jabatan Ketua Menteri.

“Ketua Menteri turut menghargai sumbangan kepakaran penyelidik dari institusi akademik seperti NDRC UMS yang dilihat amat penting sebagai input dalam membantu membuat keputusan dalam aspek pembangunan yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan pengurusan bencana yang berlaku di peringkat negeri,” ujar beliau.

Antara delegasi NDRC UMS yang turut serta dalam kunjungan hormat tersebut Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai, Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Ketua Kluster Gempa Bumi, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith; Ketua Kluster Banjir, Dr. Janice Lynn Ayog dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Hadir sama Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shaminan Datuk Haji Ag. Sahari dan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Effendi Mohamed Sunoh.