Kolokium Belia Sabah 2024 yang diadakan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjadi medan terbaik dalam menghimpunkan golongan belia bagi percambahan minda berkaitan isu dan cabaran semasa golongan belia.

Bertemakan “Ketahanan Kendiri Belia Dalam Mendepani Cabaran Psikososial Era Pasca Modenisasi”, kolokium anjuran Program Pembangunan Belia dan Komuniti, FPP UMS dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) itu antara lain membincangkan cabaran psikososial generasi belia serta strategi efektif dalam membantu meningkatkan ketahanan kendiri belia.

Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr. Vellapandian A/L Ponnusamy dalam ucaptama sempena program tersebut turut menekankan isu ketahanan kendiri belia dalam era pasca modenisasi.

Menurut beliau dalam era pasca modenisasi dan serba canggih ini, generasi belia berhadapan dengan cabaran psikososial yang melibatkan faktor atau pengaruh psikologi serta sosial.

“Ketahanan kendiri belia sangat dipengaruhi oleh ekosistem generasi belia yang merangkumi faktor dalaman diri belia dan faktor persekitaran,” katanya.

Turut diadakan sempena kolokium tersebut satu forum menampilkan penerima Anugerah Belia Perdana Malaysia, Kategori Wanita Peringkat Negeri Sabah, Aleysa Asah; wakil IYRES, Mohd Rizal Mohd Sham yang merupakan alumni UMS; serta wakil Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Irich Jomi.

Forum yang dikendalikan alumni UMS, Azizul Julirin itu membincangkan pengalaman dan cabaran yang dilalui serta strategi dalam membantu meningkatkan ketahanan kendiri belia.

Pada akhir program tersebut, para peserta turut disajikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian koir oleh pelajar Tahun Akhir, Program Pembangunan Belia dan Komuniti FPP dengan lagu tema kolokium yang bertajuk ‘Ketahanan Kendiri, Identiti Belia’.

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada pelajar dan wakil persatuan belia terlibat dalam menjayakan kolokium tersebut.

Hadir sama Ketua Program Pembangunan Belia dan Komuniti FPP, Dr Lailawati Md Edalan dan penyelaras kolokium, Dr. Gertrude Cosmas.

 

Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mengadakan Kejohanan Varsity Chess Championship bertempat di Dewan Bankuasi UMS pada 12 hingga 15 Jun 2024.

Menurut Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin, Varsity Chess Championship pada edisi ke-2 tersebut akan mempertandingkan dua kategori iaitu ‘Rapid & Blitz’ bagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kategori ‘Rapid’ bagi kategori sekolah menengah.

“Diharapkan dengan penganjuran ini akan mampu meningkatkan mutu sukan catur di samping melahirkan pemain-pemain catur yang cemerlang.

“Terima kasih kami ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan peluang kepada UMS sebagai penganjur.

“Diharap kerjasama erat antara universiti awam dan swasta serta sekolah-sekolah di Sabah dapat merealisasikan matlamat dan objektif kejohanan kali ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, seramai 150 peserta yang akan turut serta pada kejohanan kali ini.

Majlis perasmian penutupan kejohanan tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Datuk Dr. Pekan Ramli.

 

 

Penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti serta pencapaian baik di pelbagai peringkat pertandingan oleh siswa-siswi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadikan ASTiF sebagai antara penyumbang kepada keterlihatan UMS di peringkat nasional dan persada antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, perkembangan ASTiF yang wujud lebih 20 tahun bermula dari Sekolah Pengajian Seni kepada gabungan fakulti dan akhirnya dikenali sebagai sebuah Akademi memberikan pengalaman yang berguna kepada ASTiF sehingga mampu menghasilkan graduan dan alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“ASTiF sebagai akademi yang berteraskan seni kreatif dan inovasi sentiasa menjadi pelengkap kepada segala aktiviti yang dianjurkan oleh UMS khususnya yang melibatkan persembahan hiburan.

“ASTiF juga giat untuk terlibat dalam pertandingan seni di merata tempat, misalnya wakil ASTiF akan bertanding dalam World Championship in Performing Arts (WCOPA) 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada penghujung Jun ini.

“Justeru itu, akademi ini dilihat bukan sahaja sentiasa mengangkat citra UMS bahkan turut mengharumkan nama negeri Sabah khususnya dan negara Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sesi Lawatan Cakna ASTiF anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS di bangunan ASTiF, UMS.

Menerusi sesi lawatan tersebut, Kasim berkata prasarana yang sedia ada di ASTiF perlu dipertingkatkan kepenggunaannya bagi memastikan motivasi para pensyarah dan pelajar untuk proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Pada masa yang sama beliau percaya bahawa dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah menerusi pewujudan Kerusi BajauSama yang diselaraskan oleh pihak ASTIF akan membolehkan program-program seni dari ASTIF turut sama membantu memartabatkan dan memperkasakan adat budaya tempatan.

“Sabah negeri yang sarat dengan khazanah budayanya dengan terdapat lebih 40 etnik yang mempunyai produk berteraskan citra masing-masing.

“UMS menerusi ASTIF adalah satu-satunya universiti awam di Sabah yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menjaga dan memulihara khazanah ini,” katanya.

Terdahulu, wakil MPP ASTiF, Mohammad Azmir Misnani selaku pengerusi penganjur bagi sesi lawatan tersebut memaklumkan selain daripada tinjauan terhadap fasiliti di ASTiF, bersempena dengan sesi lawatan tersebut turut diadakan pameran hasil karya penulisan buku-buku pelajar ASTiF dan hasil karya kreatif pelajar Teknologi Seni Visual, serta pratonton teater Munchausen.

“Selain itu, satu sesi khas Naib Canselor bersama enam pelajar ASTiF yang akan bertanding di WCOPA 2024 turut diadakan di Studio Mozart.

“Melalui sesi lawatan cakna Naib Canselor ini, harapan kami adalah agar usaha siswa-siswi ASTiF untuk terus menempa nama dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan akan terus mendapat sokongan dari semua pihak,” katanya, selain turut mengharapkan sokongan dari Naib Canselor UMS sendiri agar hasil karya lukisan pelajar yang bermotifkan Bajau Sama mendapat tempat untuk dipamerkan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Tuaran.

Hadir sama pada sesi lawatan tersebut Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md Dawam dan Pengarah Galeri Azman Hashim UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Pu’ad Bebit.

 

Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program “The Shining Stars" di Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Tanjung Aru, di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Program PAKK UMS, Dr. Juppri Bacotang, program tersebut bertujuan menjalankan aktiviti intervensi terhadap kanak-kanak berkeperluan khas, dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang hak kanak-kanak berkeperluan khas.

Katanya ia juga memberi peluang kepada pelajar UMS untuk memupuk sikap kepimpinan, pengurusan masa dan gerak kerja, dan seterusnya saling bekerjasama dalam menjayakan program tersebut.

“Program ini melibatkan 30 pelajar PAKK (Semester 6) sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksana program yang diketuai oleh Sunita George dan Sunriani Abd Jutup, ibu bapa, petugas PDK, dan 30 orang kanak-kanak berkeperluan khas dari PDK Tanjung Aru.

“Pada program ini, sesi ceramah tentang Hak Kanak-kanak Berkeperluan Khas telah diadakan yang disampaikan oleh Ketua Pusat Pembelajaran Persatuan Sindrom Down Kota Kinabalu, Petty Paul Lisa.

“Beliau telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau sendiri kepada ibu bapa tentang kanak-kanak yang mengalami Sindrom Down dan Attention-Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD),” jelasnya.

Antara pengisian menarik pada program tersebut termasuklah aktiviti senamrobik dan sukaneka seperti bola ping pong dalam sudu, lari dalam gelung, isi air dalam botol, dan sambut belon berair menggunakan kain sarung yang disertai oleh kanak-kanak berkeperluan khas.

Menurut Petty, ibu bapa harus melatih anak-anak agar mereka mempunyai keberanian dan boleh berdikari.

“Ibu bapa perlu mempunyai kesabaran yang tinggi dalam mendidik anak-anak. Jangan terlalu manjakan mereka sehingga mereka tidak dapat berdikari sendiri.

“Saya juga suka menyeru kepada ibu bapa agar terus bekerjasama dengan guru dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan menjaga anak-anak kepada para guru sahaja.

“Kerjasama ini penting untuk anak-anak terus berkembang dengan lebih baik lagi,” ujar Petty.

Hadir sama Penyelia PDK Tanjung Aru, Valentina Sho.