Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat sejarah apabila menerima lebih 850 pelajar mobiliti antarabangsa pada tahun ini, jumlah tertinggi sejak universiti itu ditubuhkan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kehadiran pelajar antarabangsa, termasuk pelajar sepenuh masa dan mobiliti, telah memperkayakan komuniti kampus dengan pertukaran budaya, tradisi dan perspektif global.

“Pelajar daripada pelbagai negara membawa pengalaman unik yang membantu memperkukuh persahabatan, persefahaman dan rasa hormat dalam komuniti akademik global,” katanya.

“Perbezaan budaya bukanlah penghalang, sebaliknya ia adalah kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis International Night Dinner, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi.

Beliau menambah, sambutan tahun ini turut bertepatan dengan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN, sekali gus mengingatkan kepentingan kerjasama serantau dan hubungan antara masyarakat di negara anggota.

“Kepada pelajar-pelajar dari Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam dan Timor Leste, kehadiran anda mencerminkan semangat ‘ASEAN Unity in Diversity’.

“Hubungan serantau yang kukuh bermula daripada hubungan antara komuniti, termasuk di kampus,” katanya.

Majlis pada malam itu juga katanya bukan sahaja bertujuan meraikan kepelbagaian budaya tetapi juga menghargai sumbangan pelajar antarabangsa dalam mengukuhkan hubungan pendidikan merentas sempadan.

Pada majlis tersebut, pelbagai acara kebudayaan dipersembahkan oleh pelajar antarabangsa antaranya dari Jepun, China, Indonesia, Pakistan, dan Brunei Darussalam, selain penyampaian sijil tamat program mobiliti kepada 42 pelajar dari Changsha University, China.

 

Rossita turut menyampaikan empat anugerah fakulti, iaitu anugerah Internationalisation and Mobility Engagement Program kepada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan; Anugerah Collaborative Internasional Learning Mobility Programme kepada Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan; Anugerah Global Mobility Impact Programme kepada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; dan Anugerah Global Blended Mobility Award kepada Institut Penyelidikan Bioteknologi.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pengantarabangsaan & Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.

 

Pusat U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuktikan keupayaannya sebagai peneraju pendidikan sains komuniti apabila berjaya menjadi tuan rumah utama Program Astronomi Inklusif@Sabah 2025.

Ia merupakan satu inisiatif bermakna yang bukan sekadar memperkasa bidang sains angkasa, tetapi turut memperkukuh nilai kemanusiaan dan inklusiviti dalam pendidikan sains negara.

Program berimpak tinggi tersebut menghimpunkan seramai 277 pelajar sekolah rendah dan menengah, termasuk murid berkeperluan khas dari seluruh sekolah sekitar Sabah.

Matlamat utamanya adalah untuk memperluas akses kepada pendidikan sains angkasa melalui pendekatan pembelajaran yang inklusif dan interaktif.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen tinggi UMS dalam mendukung agenda Malaysia MADANI melalui pendidikan sains berteraskan nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan.

“Kita mahu sains dan astronomi menjadi medan pembelajaran yang dapat dirasai oleh semua tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal mahupun batas geografi.

“Pelaksanaan program inklusif seperti ini memperlihatkan usaha berterusan MOSTI dan UMS dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan di sekitar kampus UMS dengan penyertaan lebih 30 sukarelawan UMS, termasuk pencerapan bintang, pelancaran roket mini, Planet VR, mini planetarium, bengkel astronomi untuk murid berkeperluan khas, dan pameran Petrosains.

Program Astronomi Inklusif@Sabah 2025 merupakan anjuran bersama MOSTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Planetarium Negara, U-Science UMS, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Hibiscus Petroleum Berhad.

Program ini secara keseluruhan menzahirkan komitmen UMS, khususnya melalui U-Science, untuk menjadikan sains lebih dekat kepada masyarakat, serta memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin kepada pembangunan ilmu dan nilai sejagat.

Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Setiausaha Tetap Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Hassan Mahali dan Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.

 

Teknologi makanan berasaskan pisang boleh menjadi satu alternatif bagi menangani kekurangan zat makanan yang menjadi satu cabaran kesihatan global yang paling mendesak dan menjejaskan lebih daripada dua bilion penduduk di seluruh dunia.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jumardi Roslan berkata, teknologi makanan memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian yang mampan, berpatutan, dan berskala besar untuk mengatasi isu ini.

“Pisang termasuk kulit, batang palsu (pseudostem), dan jantung pisang berpotensi besar sebagai bahan mentah inovatif untuk pembangunan makanan fungsian.

“Justeru itu, perlunya penyelidikan lanjut mengenai pisang khususnya bagi memastikan inovasi berasaskan pisang dapat dikembangkan dengan lebih meluas serta memberi impak positif terhadap kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertemakan “Teknologi Makanan Berasaskan Pisang untuk Menangani Kekurangan Zat Makanan” dalam satu acara syarahan jemputan di Universiti Negeri Malang, Indonesia baru-baru ini.

Dalam syarahan tersebut, beliau turut memperkenalkan beberapa prototaip produk berasaskan pisang, antaranya tepung pisang hijau untuk bubur segera berindeks glisemik rendah, biskut tinggi serat daripada tepung kulit pisang, pasta dan mi berasaskan pisang bagi kawalan glisemik, makanan terapeutik sedia guna (Ready-to-Use Therapeutic Foods, RUTF) untuk rawatan kekurangan nutrisi, dan yogurt simbiotik serta snek sihat yang diperkaya dengan serat pisang.

Selain daripada nilai pemakanannya, beliau turut membincangkan cabaran utama dalam pembangunan produk tersebut, termasuk aspek keselamatan makanan, penerimaan budaya, dan Kemudahan capaian

Syarahan jemputan anjuran Program Sains Pemakanan, Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi (FMIPA), Universiti Negeri Malang itu merupakan salah satu komitmen antara universiti tersebut bersama UMS dalam memperkukuhkan kerjasama akademik antarabangsa serta memperkasa inovasi dalam bidang pemakanan dan teknologi makanan bagi menyokong pembangunan kesihatan awam yang mampan.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi dana Projek Pendayaan Komuniti @UniMADANI telah melaksanakan pemasangan sistem tenaga solar di Kampung Long Mio sebagai usaha memperkukuh kelestarian tenaga selain meningkatkan kesejahteraan komuniti pedalaman.

Projek berimpak tinggi itu diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah, dengan sokongan pasukan teknikal UMS bagi menyediakan akses tenaga lestari kepada penduduk kampung yang sebelum ini berdepan cabaran bekalan elektrik tidak stabil.

Selain pemasangan panel solar di kediaman penduduk, program tersebut turut merangkumi sesi pemindahan ilmu dan latihan teknikal mengenai pengendalian serta penyelenggaraan sistem yang dikendalikan oleh Dr. Mohd Azlan Ismail.

Menurut Nur Fadilah, inisiatif itu bertujuan memastikan penduduk memahami konsep tenaga boleh diperbaharui dan mampu mengurus sistem secara berdikari selain menambah baik infrastruktur tenaga kampung berkenaan, serta berpotensi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.

“Tenaga solar bukan hanya memberi cahaya pada waktu malam, tetapi turut membawa sinar kepada pembangunan pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat Long Mio. Penduduk kini dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih selesa dan produktif.

“Projek ini juga mendapat kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) Cawangan Sabah dan Winjaya Solar & Electrical, yang turut menyokong aspek logistik, teknikal dan koordinasi di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata program tersebut memberi impak bermanfaat secara langsung kepada penduduk Long Mio.

“Pemasangan sistem tenaga solar ini membolehkan komuniti menikmati sumber tenaga yang bersih dan lestari, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap generator diesel yang menelan kos bahan api tinggi.

“Dengan tenaga yang lebih stabil, masyarakat dapat mengurus pembelajaran anak-anak, menjalankan kegiatan ekonomi kecil seperti jahitan dan perniagaan rumah dengan lebih teratur serta selamat,” katanya.

Tambah Mohd Azlan, latihan teknikal yang diberikan kepada komuniti mampu meningkatkan keupayaan mereka melakukan penyelenggaraan asas secara kendiri.

“Inilah objektif utama kami ke sini. Bukan sekadar memasang sistem, tetapi memastikan penduduk benar-benar mampu menguruskannya.

“Secara keseluruhannya, projek ini bukan hanya membawa cahaya ke rumah-rumah penduduk Long Mio, tetapi juga membawa sinar ilmu, kemajuan dan semangat kelestarian untuk masa depan komuniti pedalaman,” jelas beliau

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Universitas Negeri Malang, Indonesia telah menganjurkan satu Forum Group Discussion (FGD) bagi projek penyelidikan bersama mengenai acar bawang putih hijau yang berpotensi dalam meningkatkan kesihatan dan mencegah penyakit.

FGD yang membincangkan tajuk penyelidikan “Kajian Kestabilan Sebatian Bioaktif dalam Acar Bawang Putih Hijau yang Digoreng Vakum bagi Mengurangkan Risiko Sindrom Metabolik” itu berlangsung di Universitas Negeri Malang baru-baru ini dan dihadiri oleh penyelidik dari kedua-dua universiti.

Antara penyelidik yang terlibat Prof. Dr. Titi Mutiara Kiranawati, Prof. Dra. Nunung Suryati, dan Cassandra Permata Nusa dari Universitas Negeri Malang, manakala UMS diwakili Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Dr. Jumardi Roslan.

Menurut Jumardi, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada perumusan metodologi penyelidikan, strategi analisis, serta kajian berkaitan kestabilan sebatian bioaktif dalam Acar Bawang Putih Hijau yang diproses menggunakan kaedah goreng vakum.

“Antara topik utama yang dibincangkan termasuk peranan sebatian bioaktif dalam meningkatkan kesihatan, khususnya dalam pencegahan sindrom metabolik seperti obesiti, hipertensi, dan diabetes mellitus.

“Selain aspek saintifik, perbincangan turut menekankan peluang untuk penerbitan bersama di peringkat antarabangsa, pemerkasaan usaha komersialisasi produk, serta pembentukan jalinan kerjasama jangka panjang dalam bidang penyelidikan makanan dan pemakanan.

“Inisiatif ini dijangka dapat menghasilkan inovasi makanan fungsian berasaskan bahan tempatan yang bukan sahaja mempunyai nilai nutrisi tinggi, malah memberi manfaat kepada kesihatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, usaha penyelidikan tersebut juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-3 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, yang menekankan usaha meningkatkan tahap kesihatan serta kualiti hidup untuk semua.

“Melalui pembangunan makanan fungsian daripada sumber tempatan, kajian ini bertujuan menyumbang kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit serta menyokong gaya hidup sihat yang lestari.

“Hasil yang diharapkan merangkumi penerbitan saintifik di peringkat antarabangsa, penghasilan prototaip makanan inovatif, serta sumbangan praktikal dalam meningkatkan kualiti hidup melalui pilihan makanan yang selamat, berkhasiat dan berfungsi,” katanya.

Ujarnya lagi, kerjasama strategik antara kedua-dua universiti bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik serantau, malah membuka peluang kepada pelajar pascasiswazah untuk turut terlibat dalam aktiviti penyelidikan rentas negara.