Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berimpak sosial melalui pelaksanaan Program Living Lab @ Pantai Dalit sebagai satu inisiatif pemindahan ilmu yang berfungsi sebagai platform memperkasa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan pendekatan pembelajaran lapangan dan kolaborasi komuniti.

Program tersebut berjaya menarik penyertaan pelajar sekolah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran, melalui aktiviti UMS@School yang memberikan pengalaman pembelajaran interaktif menggabungkan teori dan aplikasi dunia sebenar di bawah bimbingan penyelidik serta tenaga akademik UMS.

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau, pelaksanaan Living Lab @ Pantai Dalit membuktikan komitmen UMS untuk menjadikan ilmu dan inovasi sebagai asas kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat.

“Pendekatan Living Lab ini bukan sekadar menghubungkan universiti dengan komuniti, tetapi menjadi jambatan ilmu yang menginspirasi generasi muda untuk terus meneroka potensi dalam bidang STEM.

“Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah pameran bioteknologi dan instrumentasi sains, pameran robotik, serta sesi motivasi pelajar, yang direka bagi menyemai minat terhadap bidang STEM dan membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar.

“Pendedahan ini bukan sahaja membantu pelajar memahami potensi kerjaya dalam bidang sains dan teknologi, malah menggalakkan pemikiran kreatif serta penyelesaian masalah secara inovatif,” katanya.

Tambah Jualang, program itu dilaksanakan hasil inisiatif dan idea daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

“Beliau menekankan kepentingan penglibatan universiti dalam memperkukuh kesedaran terhadap STEM dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Pelaksanaan program turut mendapat kerjasama pelbagai universiti termasuk Institut Penyelidikan Bioteknologi (Biotech UMS), Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, U-Science UMS, serta Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains,” tambahnya.

Terdahulu, UMS melalui IPB, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan serta Pusat U-Science UMS telah menganjurkan aktiviti pemindahan ilmu di SMK Badin, Tuaran, melibatkan kira-kira 200 pelajar tingkatan empat dan calon SPM.

Program tersebut disusuli dengan lawatan pelajar ke kampus UMS bagi menyertai siri aktiviti STEM yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik dan tenaga akademik universiti.

Living Lab @ Pantai Dalit menjadi manifestasi komitmen UMS dalam mendukung aspirasi nasional untuk memperkasa budaya inovasi dan sains di peringkat akar umbi.

Inisiatif ini bukan sekadar aktiviti pendidikan, tetapi lambang kesepaduan antara pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat dalam membina ekosistem pembelajaran lestari untuk masa depan.

 

Program Peningkatan Kemahiran Pembuatan Linangkit, Pakaian Tradisi dan Aksesori Etnik Komuniti Tertumpu Kampung Kiau, Kota Belud berjaya memperkasa komuniti setempat dalam usaha memelihara warisan budaya masyarakat Dusun melalui penguasaan kemahiran seni sulaman tradisional Linangkit.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Ecocampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Debbra Toria Nipo, matlamat utama program itu adalah untuk mengekalkan seni Linangkit sebagai identiti budaya tempatan, di samping memperkasa komuniti melalui latihan kemahiran dan peluang ekonomi baharu.

“Program ini bukan sekadar memperkenalkan semula seni pembuatan Linangkit, tetapi turut membuka ruang kepada wanita dan belia tempatan untuk menjana pendapatan melalui hasil tangan sendiri.

“Inisiatif ini juga selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani, khususnya dalam aspek kemampanan melalui pemulihan dan kesinambungan amalan budaya,” katanya.

Tambah Debbra, inisiatif itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui latihan praktikal dan perkongsian ilmu dalam pembuatan Linangkit, serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari melalui pengukuhan identiti komuniti, perpaduan, dan pemindahan ilmu antara generasi.

Program yang berlangsung di Walai Mitapus Kiau, Kampung Kiau mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, khususnya golongan wanita dan belia yang menunjukkan minat tinggi dalam mempelajari teknik pembuatan pakaian tradisional dan aksesori etnik.

Pelaksanaan program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Pendayaan Komuniti @ UniMADANI, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan masyarakat luar bandar.

Ia diketuai oleh Dr. Debbra Toria Nipo, bersama Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Dr. Jaratin Lily dan Marry Tracy Anak Pawan.

Program tersebut turut dijalankan melalui kerjasama erat antara komuniti Kampung Kiau, Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, serta rakan strategik Chanteek Borneo dan Tungku Sewing Training Center.

Kejayaan pelaksanaan program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti lestari yang menggabungkan elemen warisan budaya, pendidikan, dan keusahawanan di Sabah.

 

Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan program Training of Trainers (ToT) yang melibatkan tiga pelajar PAKK sebagai fasilitator muda dalam bimbingan pembangunan Inovasi Papan Permainan Interaktif dan Buku Cerita.

Program PAKK telah menerima jemputan pemindahan teknologi pendidikan daripada Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), UMS bagi memperkukuh amalan berasaskan ilmu serta perkongsian kepakaran pendidikan.

Ia dilaksanakan melalui kursus Praktis Kerja Sosial III: Organisasi dan Komuniti, yang bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran menyampaikan latihan berkesan kepada komuniti.

Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh, menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program itu adalah sejajar dengan misi fakulti dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4.2, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti untuk memperkasakan pelatih guru prasekolah.

“Melalui program seperti ini, pelatih guru bukan sahaja memahami kandungan, tetapi juga berupaya menyampaikan pengetahuan tersebut kepada orang lain dengan efektif,” ujarnya.

Bertempat di Bilik Seminar 3, FPKS UMS, sesi ToT dikendalikan oleh Dr. Nur Suhaidah Sukor selaku tenaga pengajar dan pakar kandungan.

Melalui konsep ToT, pengajar bukan sahaja menekankan aspek teori, tetapi turut memberi bimbingan praktikal bagi membentuk pelatih fasilitator yang berkesan.

Pelaksanaan program itu juga menyaksikan pelajar PAKK membimbing seramai 65 pelajar FPKS untuk membangunkan inovasi yang seterusnya dijadikan bahan intervensi bagi praktis dengan komuniti kampung.

Menurut Pensyarah Kanan kursus Praktis Kerja Sosial III: Organisasi dan Komuniti, Dr. Wanda Kiyah George Albert, perkongsian ilmu tersebut amat bermakna dalam mempersiapkan pelajar menghadapi dunia sebenar kerja sosial.

“Kami amat menghargai komitmen panel jemputan yang sudi berkongsi kepakaran mereka.

“Setiap panel membawa keunikan dan kelebihan tersendiri dalam pembangunan bahan inovasi,” katanya.

Antara panel pelatih yang terlibat ialah Muhamad Irfan Yusran dan Nur Atirah Faridi, yang berkongsi kepakaran dalam pembangunan papan permainan Kebun Pintar Petani Cilik, inovasi yang menggabungkan konsep sains awal dan pertanian bandar.

“Inovasi ini telah meraih tiga pingat emas di pertandingan Borneo International Innovation Creation (BIIC) 2025, International Innovation Competition in Education (I-ICE) 2025, dan Entrepreneurial & Innovation Student (EIS) 2025,” katanya.

Dr. Wanda turut menambah bahawa kekuatan program ToT terletak pada pendekatan latihan berasaskan amali yang memberi peluang kepada pelajar untuk melihat demonstrasi sebenar pembangunan bahan inovasi yang berkesan untuk digunakan dalam intervensi komuniti.

Program yang dihadiri pelajar tahun tiga FPKS iitu turut menjadi persiapan penting untuk pelaksanaan projek komuniti di kampung-kampung terpilih di Sabah.

Melalui pendekatan kolaboratif, pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam membangunkan bahan intervensi yang sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.

Inisiatif ini sekaligus mencerminkan usaha berterusan UMS dalam melahirkan graduan yang holistik, berketerampilan tinggi, serta berupaya menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pendekatan pendidikan inovatif dan kreatif.

 

Seramai 39 pelajar Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Sabah Tea Sdn. Bhd. sebagai bentuk pendedahan mengenai operasi industri makanan berasaskan pertanian, baru-baru ini.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti luar kampus anjuran Kelab Teknologi Makanan UMS.

Menurut Penasihat itu, Dr. Yanty Norzianna Manaf, aktiviti seumpama ini amat penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, di samping membantu pelajar memahami realiti kerja serta cabaran sebenar dalam bidang sains makanan.

“Pendedahan industri seperti ini amat penting untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga memahami konteks sebenar dunia pekerjaan.

“Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang menyaksikan secara langsung proses penanaman, penuaian dan pemprosesan teh, selain memahami konsep amalan pertanian lestari (sustainable agriculture) yang diamalkan oleh syarikat berkenaan.

“Pelajar turut didedahkan kepada aspek kawalan kualiti produk, pengurusan pengeluaran dan strategi pemasaran yang digunakan dalam industri teh tempatan,” ujarnya.

Ketibaan rombongan pelajar telah disambut oleh Pengurus Ladang Sabah Tea, Mohd Durrani Dato’ Ir. Najmuddin.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Zakir Harun berkata lawatan tersebut memberikan pengalaman berharga kepada pelajar kerana mereka dapat melihat secara langsung aplikasi teori yang dipelajari di bilik kuliah dalam konteks industri sebenar.

“Lawatan ke Sabah Tea membuka minda kami tentang bagaimana penghasilan produk makanan dijalankan dari peringkat ladang hingga menjadi produk siap sedia untuk pasaran,” katanya.

Program lawatan sambil belajar itu diharapkan dapat memperkukuh jaringan kolaborasi antara FSMP UMS dengan pihak industri, serta menjadi platform berterusan bagi perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang teknologi makanan.

 

Seramai 16 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melaksanakan Projek SULAM (Service Learning Malaysia - University for Society) bertemakan “Alphabet Animal Safari” bersama kanak-kanak PASTI An-Najah, Manggatal.

Projek ini menjadi platform pelajar menerapkan teori Pengajaran Bahasa dan Literasi Awal Kanak-Kanak ke dalam situasi sebenar, di samping memperkukuh hubungan antara universiti, institusi pendidikan awal dan komuniti setempat.

Ketua Projek, Nazira Nisah Abdul Aziz, berkata program ini bertujuan membantu kanak-kanak mengenal pasti masalah bahasa dan literasi melalui pendekatan pembelajaran menyeronokkan berasaskan aktiviti interaktif.

“Melalui aktiviti ini, kanak-kanak dapat mengenal huruf, menyebut nama dan meniru bunyi haiwan serta berinteraksi aktif dengan rakan serta guru.

“Mereka juga diajar untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap haiwan sekaligus memahami peranan haiwan dalam alam semula jadi,” katanya.

Nazira turut merakamkan penghargaan kepada pihak PASTI An-Najah, rakan sekumpulan dan pensyarah yang banyak memberi bimbingan dalam menjayakan projek berkenaan.

“Kerjasama erat antara pelajar, guru dan komuniti menjadi kunci kejayaan projek ini. Kami berharap hubungan ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat berterusan kepada masyarakat,” ujarnya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk permainan literasi, kad huruf interaktif, mewarna haiwan, dan cerita bergambar yang menggabungkan elemen bahasa, kreativiti dan nilai kasih terhadap alam sekitar.

Guru PASTI An-Najah, Sofia Arqiyah Ab Rahman menzahirkan penghargaan kepada pelajar UMS atas usaha mereka menjadikan proses pembelajaran lebih ceria dan bermakna bagi kanak-kanak.

“Kami sangat berterima kasih kepada pelajar UMS yang telah melaksanakan aktiviti menarik ini.

“Mereka bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran bahasa anak-anak kami, malah membawa suasana pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

Pensyarah kursus TD20103, Dr. Juppri Bacotang, turut berbangga dengan inisiatif pelajarnya yang berjaya menggabungkan teori dengan aktiviti lapangan melalui pendekatan SULAM.

“Projek seperti ini memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar, di samping membantu mereka memahami keperluan sebenar kanak-kanak termasuk yang berkeperluan khas.

“Ia membentuk pendidik yang empati, inovatif dan berjiwa masyarakat,” katanya.

Projek Alphabet Animal Safari bukan sahaja memperkukuh kemahiran bahasa dan literasi awal kanak-kanak, malah mengasah nilai kemanusiaan dan empati dalam kalangan pelajar UMS sebagai bakal pendidik.

Inisiatif ini menjadi bukti bahawa pembelajaran berasaskan pengalaman lapangan mampu memperkasa komuniti sambil melahirkan generasi pendidik yang berilmu, prihatin dan berjiwa masyarakat.