UMSKAL PSMKHAMIS, 20 OGOS - Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) perlu lebih kreatif termasuk memberikan cadangan untuk memastikan kampus tersebut mampu melahirkan individu yang berdaya saing.

Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik berkata sebagai seorang pelajar yang memiliki ilmu yang tinggi, mereka seharusnya berfikiran positif terhadap sesuatu isu termasuk berkeupayaan menangani dan menyelesaikan masalah tersebut.

Malah, katanya, mereka sewajarnya menggunakan ruang dan peluang ketika berada di universiti untuk meningkatkan kebolehan, kemahiran dan kepakaran serta daya inovasi yang akhirnya memberi manfaat kepada diri, keluarga dan organisasi pada masa akan datang.

“Marilah kita sama-sama membina UMSKAL ini melalui perkongsian ilmu, pengalaman, kemahiran dan daya kreativiti  pelajar dan warga universiti, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi ramah mesra dengan 120 peserta Kursus Induksi Pembimbing Suai Mesra (PSM) atau Perkasa sesi 2015/2016 peringkat UMS Labuandi Dewan Kuliah, Bangunan Menara kelmarin. –SS

Sumber: Azri Onn

Bahagian Media dan Citra

Oleh Faezah Mohamad Dun

Seminar NyamukKHAMIS, 20 OGOS - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meganjurkan simposium bertajuk ‘War Against Mosquito-Borne Disease 2015’ selama dua hari bermula kelmarin.

Simposium yang dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah itu membuka ruang kepada perbincangan tentang penyakit-penyakit berjangkit yang di bawa oleh nyamuk.

Menurut Datuk Edward, penganjuran simposium tersebut yang turut disertai pakar-pakar antarabangsa akan memberi ruang perbincangan dalam membantu mengawal penyakit malaria, denggi dan penyakit berkaitan di Sabah.

“Saya berharap simposium ini akan membawa pengetahuan yang lebih luas mengenai masalah penyebaran penyakit-penyakit sekali gus mengenal pasti cara terbaik bagi membasmi jangkitan nyamuk ini,” ujarnya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Mohd Harun Abdullah berkata, UMS sentiasa komited menjalankan penyelidikan mengenai penyakit-penyakit berjangkit bagi membantu usaha pembasmian.

“UMS menerima dana untuk menjalankan penyelidikan berkaitan malaria dan denggi di samping turut bekerjasama dengan London School of Hygiene and Tropical Medicine dan Universiti Malaya untuk penyakit malaria serta University of Medicine 1 Yangon Myanmar untuk penyakit denggi,” tambahnya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin.

Simposium yang diadakan di Shangri- La Tanjung Aru, Kota Kinabalu itu turut disertai oleh pakar-pakar dari England, Taiwan, Vietnam, Myanmar, Filipina dan Amerika Syarikat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Christina Rundi; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag Amit dan Pemangku Dekan FPSK, Profesor Dr. Zainal Arifin Mustapha.

Bahagian Media dan Citra

Oleh Salbinous Saribun

eksiden labuanRABU, 19 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan pengurusan jenazah pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Noor Haini Muda, yang terlibat dalam kemalangan maut di Wilayah Persekutuan Labuan semalam.

Universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) juga turut menguruskan tuntutan insurans yang dianggarkan berjumlah RM15,000 selain pembayaran khairat kematian sebanyak RM1,000 kepada waris mangsa.

Sumber menyatakan, jabatan HEP pada ketika ini juga sedang dalam perjalanan mengiringi penghantaran jenazah mangsa ke kediaman keluarganya di Felda Sahabat Lahad Datu.

Difahamkan kejadian berlaku di Jalan Kiamsam ketika mangsa bersama dua rakan dalam perjalanan menuju ke Kolej Matrikulasi Labuan.

Kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah Perodua Alza di satu simpang menyebabkan mangsa cedera parah.

Mangsa meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Labuan.

Bahagian Media dan Citra

Oleh Faezah Mohamad Dun

jpuumRABU, 19 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih menjadi penganjur bersama Forum Awam Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Malaysia (JPUUM) Siri 2 yang dikelolakan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Forum awam tersebut diadakan berikutan kejayaan penganjuran program yang sama di Sarawak pada bulan Mei lalu untuk menggalakkan penglibatan golongan awam daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam proses pembaharuan undang-undang.

Forum yang diadakan di Dewan Resital UMS kelmarin itu bertujuan mewujudkan ruang kepada masyarakat agar lebih aktif berbincang dan mengemukakan cadangan, idea atau maklum balas terhadap tajuk forum yang dibincangkan iaitu ‘20 Perkara : Kedudukannya di dalam Perlembagaan Persekutuan’.

Pada teks ucapan perasmiannya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj. Aman berkata isu-isu berkaitan Perkara 20 kini tersebar dengan mudah dan pantas menerusi laman media sosial termasuk perkara yang tidak benar dan berunsur fitnah untuk mengelirukan pemikiran rakyat.

“Perlu diakui bahawa masih ramai yang tidak mengetahui sejarah berkaitan Perkara 20 ini secara tepat dan mendalam, tetapi apabila isu-isu berkaitan perkara ini dibangkitkan, ramai pula tampil memberikan komen dan pandangan.”

“Ada kalanya tidak berlandaskan fakta sejarah malah ada yang sengaja memutarbelitkan fakta semata-mata untuk memenuhi kepentingan tertentu,” ujarnya.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Datuk Seri Musa turut menyuarakan harapan agar jawatankuasa akan dapat mencadangkan penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan isu-isu yang dibincangkan kelak.

Forum tersebut menampilkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Hajjah Mariati Robert dan Peguambela dan Peguamcara, Sukumaran Vanugopal sebagai panel manakala Penyelidik Undang-undang, Hisham Ampongou Abdullah sebagai moderator.

1MG1MC2SELASA, 18 OGOS  - Seramai 30 orang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat dalam Program 1Malaysia Green, 1Malaysia Clean (1MG,1MC) sempena Kota Kinabalu City International Folklore Parade baru-baru ini.

Sabah International Folklore Festival atau singkatan SIFF merupakan acara kebudayaan yang dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan tahun ini adalah merupakan penganjuran SIFF ke-10.

Pada perarakan tersebut, para pelajar UMS diberi peluang untuk mengiringi kumpulan-kumpulan tarian luar negara disamping melakukan kerja amal dengan membersihkan kawasan laluan perarakan.

Perarakan yang bermula dari Wisma Budaya dan berakhir di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu tersebut adalah berjaya memperkenalkan budaya negara luar kepada masyarakat tempatan.

Program tahunan itu turut dihadiri oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir dan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah, Datuk Wences Anggang.

 

Sumber: Norhana Nordin, HEPA

Foto: Wenlley Ijoy, HEPA