SELASA, 13 OGOS - Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe mengadakan satu lawatan ke Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Lawatan tersebut diadakan pada hari terakhir program Penilaian Prestasi Atlet Olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah yang terdiri daripada atlet-atlet olahraga yang bakal berentap di kejohanan Sukan Malaysia Johor pada tahun hadapan.

Phoong Jin Zhe sempat melawat ke Makmal Prestasi Manusia, Fakulti Psikologi dan Pendidikan di mana beliau dapat melihat sendiri segala kelengkapan dan peralatan-peralatan saintifik yang digunakan sepanjang program penilaian prestasi atlet tersebut dijalankan.

Lawatan itu kemudiannya diteruskan ke Klinik Fisiologi Senam, FPP yang mana pada masa sama program penilaian prestasi atlet sedang berlangsung.

Phoong Jin Zhe sempat beramah mesra dengan kesemua atlet yang hadir sebelum bergerak ke dewan jamuan untuk sesi taklimat dan penerangan program oleh Ketua Program Penilaian Prestasi Atlet SUKMA Sabah yang juga Pensyarah Sains Sukan UMS, Prof. Madya Dr. Dayang Maryama Ag. Daud.

Lawatan itu turut disertai Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor; Dekan FPP UMS, Prof. Dr. Ismail Ibrahim; dan Penolong Pengarah Pengurusan Acara Majlis Sukan Negeri Sabah, Valerie Wong Hsiao Hsien.

Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal telah menjadi pusat bagi program penilaian prestasi atlet-atlet SUKMA Sabah bermula pada tahun lalu untuk acara olahraga dan sukan berbasikal.

Program ini membantu menilai prestasi semasa atlet-atlet tersebut secara berperingkat dalam usaha untuk membantu para jurulatih mengoptimumkan program latihan para atlet berkenaan untuk mencapai kejayaan di Sukan Malaysia.

SELASA, 13 OGOS - Kejayaan manis diraih dua orang mahasiswa tahun dua Program Pengurusan Perhotelan HE08, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Noor Muslimah Timbul@Timbol dan Nur Ainin Aqilah Hasmat apabila berjaya menggondol pingat emas bagi produk Zea Mays Flour ( Tepung Jerami Jagung) dan pingat Gangsa bagi produk Maydis Bun Roll Filling (Bun Roti Jerami Jagung Berinti).

Pencapaian itu diperoleh ketika menyertai The UNIMAS Innovation Technology Exposition 2019 (InTEX19)  melalui kategori Sains Sosial dan Kemanusiaan yang berlangsung di Kuching, Sarawak baru-baru ini anjuran bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Bertemakan Research-Driven Innovation and Technology, program yang mempamerkan hasil produk dan inovasi ini menyaksikan dua mahasiswa UMS menjadi antara peserta yang menonjol dalam kalangan 200 peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia seperti Kolej Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Teknologi Mara, Swinburne University of Technology, Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, dan Universiti Putra Malaysia.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif penyelidikan dan inovasi tahunan yang berfungsi sebagai platform untuk ahli akademik menyertai dan mempamerkan hasil penyelidikan mereka yang inovatif dan kreatif seperti produk, idea serta reka bentuk bagi bersaing untuk mendapatkan pengiktirafan daripada juri profesional institusi dan agensi yang diiktiraf.

Menerusi penyertaan sebegini, mahasiswa dapat didedahkan dengan budaya inovasi dan kreativiti yang bertaraf lebih tinggi meliputi pelbagai kategori seperti Sains Tulen, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi dan Kejuruteraan, serta Sains Sosial dan Kemanusiaan. Di samping itu, ia sekali gus mendedahkan kepada mahasiswa untuk mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang kreatif dan inovatif daripada setiap projek inovasi yang dipamerkan pada InTEX19.

Pada masa yang sama, ia juga dapat memupuk semangat dan motivasi pada diri mahasiswa untuk bersaing secara sihat dengan mempamerkan hasil penyelidikan mereka sama ada menerusi produk, idea inovasi ataupun reka bentuk. Pertandingan seperti ini malahan dapat menggalakkan mahasiswa khususnya di FPEP dan amnya UMS untuk menyertai pertandingan seumpama itu pada masa hadapan. Tambahan lagi, ia juga lebih menggalakkan mahasiswa untuk berfikiran lebih inovatif dan kreatif dengan membangunkan idea inovasi yang lebih segar dan asli hasil daripada kreativiti mahasiswa sendiri tanpa wujudnya unsur plagiarisme daripada idea inovasi yang sebelumnya.

Dekan FPEP (FPEP), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin sewaktu menyambut kepulangan mahasiswa dan pensyarah terlibat, ternyata amat berbangga dengan penyertaan dan kejayaan sulung yang diraih dalam pertandingan seumpamanya di peringkat nasional yang nyata berjaya mencungkil bakat inovasi dan kreativiti para pelajar hasil bimbingan pensyarah program perhotelan selaku mentor projek, Ahmad Shakani Abdullah.

Turut sama berkongsi kegembiraan terhadap kejayaan itu ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Kamisah Husin yang menyifatkan kejayaan tersebut seiring dengan budaya rekacipta dan inovasi yang ditekankan dalam salah satu kluster kemahasiswaan.

Persis peribahasa Melayu, “Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang”, begitulah juga intinya seperti kejayaan yang dibawa oleh pasukan yang mewakili Program Pengurusan Perhotelan ini, tidak ada jalan yang mudah untuk berjaya mendapatkan apa yang disasarkan. Konklusinya, semoga lebih banyak penyertaan dan pencapaian seperti ini daripada mahasiswa di UMS. Kejayaan yang diperolehi adalah  hasil sokongan dari segi moral dan kewangan khususnya daripada pihak fakulti, JHEP dan UMS.

Sumber: Dr. Arif @ Kamisan Pusiran

 

SELASA, 13 OGOS – Sejumlah tujuh ekor lembu dikorbankan bersempena dengan Majlis Ibadah Korban dan Akikah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Perkarangan Masjid UMS, pagi tadi.

Menurut Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul, Pusat Islam UMS telah diamanahkan untuk melaksanakan ibadah korban bagi 10 ekor lembu pada tahun ini, dengan dua ekor telah disumbangkan ke kawasan yang lebih memerlukan di Kota Marudu.

“Manakala seekor lembu hasil sumbangan Pusat Islam sendiri telah disembelih sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tujuan jamuan sempena acara ibadah korban yang telah menjadi tradisi di UMS setiap tahun.

“Objektif penganjuran program ini adalah bagi warga UMS bersama-sama untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan baik daripada UMS mahupun kepada masyarakat di luar UMS, selain bagi melaksanakan syiar Islam sebagai lambang perpaduan dan kesatuan umat Islam khususnya dalam kalangan warga UMS,” katanya ketika ditemui media pada acara tersebut.

Tambah Dr. Sarip, daging korban yang telah siap dilapah akan diagihkan kepada kakitangan UMS yang berkelayakan serta masyarakat sekitar UMS.

Pada program tersebut, lebih 60 kakitangan universiti termasuk ahli Kesatuan Kakitangan Am UMS (KEKAUMAS) telah terlibat membantu dan menjayakan kerja-kerja penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban. 

 

 

SELASA, 13 OGOS - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA) dan Persatuan Pelajar Perubatan UMS (MEDSTAS) menganjurkan program Healthy Heart Run sempena Hari Jantung Sedunia 2019 pada 29 September ini.

Pengarah acara larian itu, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, Healthy Heart Run bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyakit kardiovaskular (CVD), termasuk penyakit jantung dan strok, yang merupakan punca utama kematian 17.5 juta nyawa setiap tahun di seluruh dunia. 

“Penganjuran acara ini juga merupakan satu usaha menggalakkan penyertaan anggota masyarakat khususnya pelajar supaya bersama-sama bertanggungjawab dalam usaha menerapkan gaya hidup sihat sekali gus menyumbang ke arah pencegahan terhadap penyakit kardiovaskular.  

“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-19 sambutan Hari Jantung Sedunia yang menyaksikan tema yang berbeza akan dipilih pada setiap tahun untuk mempromosikan langkah pencegahan yang berbeza dan perubahan dalam gaya hidup bagi menghindari penyakit ini. 

“Pada tahun ini, Hari Jantung Sedunia 2019 membawa tema, Jantung Ku, Jantung Mu,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.  Prof. Dr. Mohammad Saffree yang juga Dekan FPSK berkata, antara aktiviti yang diadakan dalam acara tersebut termasuklah larian 3 km (Fun Run), larian 6 km dan 10 km.  

Selain daripada itu katanya, turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, senaman Zumba, pameran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan asas. 

“Pemenang bagi setiap kategori iaitu 6 km dan 10 km masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.  

“Selain daripada itu, basikal Mountain Bike yang merupakan hadiah utama cabutan bertuah juga bakal menjadi rebutan peserta,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dipelawa untuk mendaftar bagi menyertai program Healthy Heart Run 2019 melalui pautan https://forms.gle/pCDqELUdM8ptXf1Y7

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Rina Norgainathai di talian 0165181023 atau Marilyn Jane Yong di talian 0122437701.

RABU, 7 OGOS - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Emerald Review Writing Competition  bertempat di Bilik Multimedia Perpustakaan hari ini.

Pertandingan itu antara lain bertujuan untuk mempelbagaikan kegunaan sumber rujukan yang dilanggan oleh UMS dalam pangkalan data Emerald serta memberikan kemahiran membuat semakan artikel (review article) kepada peserta. 

Dalam masa sama pertandingan itu juga bagi meningkatkan keyakinan dan kemahiran penulisan peserta serta memastikan pihak pembekal atau penerbit memberikan perkhidmatan selepas jualan seperti yang dijanjikan.

Seramai 15 peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada pensyarah fakulti dan pelajar pascasiswazah UMS.

Terdahulu, satu sesi ceramah turut diadakan di Auditorium Perpustakaan yang bertajuk “How to Critically Evaluate a Manuscript.”

Dihadiri seramai 30 pelajar dan pensyarah, ceramah itu disampaikan Penolong Profesor Kanan Universiti Brunei Darussalam, Dr. Mamunur Rashid.

Dr. Mamunur turut menjadi juri Emerald Review Writing Competition  bersama Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Malek dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dan Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMS.