ISNIN, 8 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) memandang serius isu yang dilaporkan di media massa baru-baru ini tentang kecurangan akademik berkaitan dengan isu plagiarisme.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ahli akademik dan pelajar UMS telah sedia maklum akan peraturan dan garis panduan mengenai kecurangan akademik tersebut yang telah dititikberatkan sejak dahulu.

“Perkara pokok dalam isu ini adalah berkaitan dengan soal integriti iaitu dengan erti kata lain, hal ini boleh dianggap sebagai satu bentuk jenayah yang boleh mencemar integriti ahli akademik dan pelajar secara keseluruhannya.

“Ia sekali gus boleh mencemarkan imej universiti khasnya dan pengajian tinggi negara amnya jika tidak ditangani dengan telus dan penuh keadilan,” katanya dalam satu kenyataan berhubung amalan plagiarisme yang berlaku di institusi pengajian tinggi.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, UMS telah mempunyai mekanisme dalaman dalam mengatasi hal ini yang mana prosedur operasi standard akan segera dilaksanakan jika perkara ini berlaku.

Malah di UMS katanya, proses memperkukuhkan ekosistem berkaitan kawalan integriti adalah satu proses yang berterusan.

“Usaha ini telah diperkukuhkan menerusi penekanan kepada nilai Integriti yang merupakan salah satu daripada lima nilai utama dalam memacu kecemerlangan UMS.

“Manifestasi UMS dalam hal integriti ini juga tampak jelas dengan penubuhan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU) UMS yang juga mengambilberat akan kes-kes plagiarisme ini.

“Jika terdapat laporan mengenai hal seumpama ini, maka pejabat ini boleh berperanan sebagai badan berautoriti untuk mempastikan kecurangan akademik seperti plagiarisme ini dapat segera disiasat dan diadili sewajarnya,” jelas Prof. Datuk Dr. D Kamarudin.

Amnya plagiarisme ialah perbuatan mencedok kata-kata, idea atau karya orang lain tanpa persetujuan penulis asal.

Dalam konteks institusi pengajian tinggi, ia juga merujuk kepada aktiviti penulisan ilmiah seperti penulisan tesis atau artikel jurnal dengan mengguna pakai hasil kerja pihak lain sebagai hasil kerja sendiri tanpa persetujuan, pengetahuan atau pengiktirafan mereka.

           

ISNIN, 8 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus menggalakkan lebih banyak kolaborasi strategik dan lestari dengan pihak industri pada masa hadapan, selain mahu kerjasama sedia ada yang terjalin antara industri pada masa kini sentiasa berlanjutan untuk tempoh yang panjang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, jaringan kerjasama antara universiti dan industri ini bukan sahaja akan memberikan impak dan faedah yang baik kepada kedua-dua pihak malah akan dapat melestarikan pembangunan negeri dan masyarakat secara berterusan terutamanya di negeri Sabah.

“Seiring dengan pembangunan UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di Sabah, adalah menjadi keperluan universiti untuk meluaskan jaringan dengan pelbagai pihak melalui libatsama industri dan komuniti yang mana ia akan dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi di negara ini terutamanya di negeri Sabah dalam pelbagai bidang penyelidikan, pemindahan ilmu, pembangunan bakat dan sebagainya.

“Kerjasama ini juga bukan sahaja dapat membantu universiti dalam memantapkan keupayaannya sebagai sebuah institusi pendidikan yang berinovatif dan relevan malah akan turut membantu dalam menghasilkan graduan yang mampu berdepan dengan keperluan pekerjaan masa hadapan (future-proof graduate),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam UMS bersama Industri di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.

Menurut beliau, libatsama universiti dengan industri ini amat penting dan menjadi salah satu elemen utama dalam Pelan Strategik UMS 2018-2022 dalam UMS-KRA 6 yang mana menggariskan keterlibatan industri dan komuniti dalam membangunkan negeri dan negara.

“Setakat ini, UMS telah mempunyai kira-kira 105 rakan industri “rasmi” yang aktif iaitu industri yang bekerjasama dengan UMS melalui Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA) dan Surat Niat Kerjasama (LoI).

“Manakala lebih daripada 500 industri yang telah mempunyai hubungan berpotensi dengan UMS sama ada melalui perbincangan dan mesyuarat awal potensi kerjasama, kunjungan hormat, penghantaran pelajar menjalani latihan industri dan sebagainya,” katanya.

Tambah Datuk Prof. Dr. D Kamarudin, UMS telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menggalakkan industri untuk bekerjasama dengan UMS antaranya seperti program industri dalam kampus (Industry@Campus) yang memberi peluang kepada mana-mana syarikat untuk membuka cawangan kecil mereka di dalam universiti dengan mengambil pelajar-pelajar untuk menjalani latihan industri mahupun bekerja dengan mereka.

“Pada masa yang sama syarikat-syarikat ini juga dapat berinteraksi dengan para pensyarah daripada pelbagai bidang untuk pelbagai aspek kerjasama yang dapat dilaksanakan secara bersama seperti konsultasi, khidmat kepakaran, pengkomersialan dan sebagainya dalam membantu memberikan manfaat yang baik kepada universiti dan syarikat.

“Pada tahun ini juga UMS telah  menerima tiga CEO melalui pelaksanaan program AixChange: CEO@Faculty hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mereka ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) G&A Group, Dato’ George Lim; CEO Huawei Technologies Malaysia, Michael Yuan dan Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum, Prithipal Singh, dan ketiga-tiga CEO ini akan membantu akademia UMS melalui pelbagai aktiviti yang berpotensi dalam membangunkan aspek pendidikan di Sabah,” ujar Datuk D Kamarudin.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa; CEO G&A Group, Dato’ George Lim; Penasihat Repsol bagi Malaysia Timur, Datuk Eddie Abdullah; Pengarah Urusan Sofield Petroleum Sdn Bhd, Dato’ Suhaili Abdul Rahman; Presiden Federation of Sabah Industries (FSI) Datuk Ir. Chong Hon Len; dan CEO MAS Wing, Aminuddin Zakaria.

 

 

ISNIN, 8 JULAI -  Seramai 45 peserta menghadiri dua sesi bengkel anjuran Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Bilik Seminar 5 FPP baru-baru ini.

Bengkel bertajuk “Pembinaan dan Pengujian Modul” dan “Pembinaan Soal Selidik Kajian”  dikendalikan penceramah berpengalaman, Prof. Dr. Sidek Mohd Noah.

Menurut Ketua Unit UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, Bengkel Pembinaan dan Pengujian Modul antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pembinaan modul yang berkesan, strategi pembinaan modul dengan menggunakan beberapa pendekatan, “Training of Trainers” (ToT) dan penggunaan teori dalam sesebuah modul agar modul yang dibentuk bersesuaian dengan bidang kajian masing-masing. 

“Manakala Bengkel Pembinaan Soal Selidik Kajian pula adalah bagi memberi pengetahuan terhadap proses pembentukan alat ukuran, strategi pembinaan ujian psikologi dan kesahan dan kebolehpercayaan item yang bakal digunakan dalam kajian para peserta khususnya pelajar pascasiswazah.

“Penganjuran bengkel ini diharap mampu membantu peserta khususnya pelajar dalam  menyelesaikan pengajian mereka, kami berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak bengkel seperti ini pada masa akan datang,” ujar beliau.

Bengkel selama sehari itu dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada pensyarah UMS, pelajar pascasiswazah, pembantu penyelidik dan kakitangan pentadbiran UMS.

 

 

JUMAAT, 5 JULAI - Kira-kira 60 alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Majlis Sambutan Hari Raya Alumni UMS Chapter Putrajaya baru-baru ini.

Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, penganjurannya antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan alumni UMS.

“Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat berkumpul bersama dan meraikan kemeriahan  sambutan hari raya dengan para alumni UMS di sini.

“Adalah menjadi harapan saya agar majlis seumpama ini akan memberi peluang kepada kita sekalian untuk saling mengeratkan silaturahim dan secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kekeluargaan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Ujar Dr. Lai, selain membentuk kemesraan dan ikatan persaudaraan sesama alumni, majlis itu juga sebagai medan perkongsian pengalaman antara satu sama lain terutamanya dalam bidang pekerjaan dan perniagaan.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Mohd Raffie Hj. Janau dan Ketua Chapter Alumni UMS Zon Putrajaya, Mohammad Farizal Mohammad Syawal.

JUMAAT, 5 JULAI - Seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Anugerah Geran Penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) 2019 bernilai RM150,000 baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan  Bioteknologi UMS, Dr Nur Athirah Yusof menerima anugerah tersebut melalui kertas kerja penyelidikan yang berkaitan dengan kajian terhadap kulat Antartika dan respon terhadap ‘heat stress’.

Majlis penyampaian geran disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada upacara pembukaan ‘8th  Malaysian International Seminar on Antartica’ di Selangor baru-baru ini.

Ketika dihubungi Dr Nur Athirah berkata, beliau sebenarnya tidak menjangka terpilih sebagai salah seorang daripada enam penerima geran.

“Saya berterima kasih kepada YPASM atas kepercayaan yang diberikan,  penyelidikan ini akan dilaksanakan selama tiga tahun sehingga tahun 2022.

“Penyelidikan saya akan lebih memfokuskan kepada perubahan iklim iaitu tentang bio petanda dalam sampel mikrob dari Barat dan Utara Antartika bagi mengenalpasti akibat daripada perubahan iklim kepada benua Antartika,” katanya.

Untuk rekod, Dr Nur Athirah juga mempunyai pengalaman membuat penyelidikan dalam bidang kajian pola di Antartika selama sembilan tahun sejak tahun 2010.

Kredit Gambar: Facebook Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan - YPASM