RABU, 22 MAC – Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia Peringkat Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu meningkatkan kefahaman siswa-siswi UMS khususnya dalam bidang kerja sosial sebagai satu profesion.

Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Abdul Malek berkata, ini kerana ramai beranggapan kerja sosial bukan satu program yang profesional, justeru penganjuran program ini yang turut melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan mampu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai profesionalisme bidang kerja sosial yang mereka ceburi.

“Dengan pengenalan Akta Pekerja Sosial yang akan dibentangkan di kabinet tidak lama lagi, ini sekali gus menyokong usaha meningkatkan lagi tahap profesionalisme kerja sosial.

“Ahli kerja sosial umpamanya perlu ke hadapan apabila berlakunya sesuatu bencana bagi membekalkan perkhidmatan profesional berteraskan kerja sosial kepada mangsa bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis perasmian sambutan tersebut di Bilik Seminar, FPP.

Dr. Dahlan menambah, pihak FPP juga sedang berusaha untuk mendaftarkan keahlian bagi program kerja sosial di International Association of Schools of Social Work (IASSW) sebagai meningkatkan pengiktirafan program kerja sosial di UMS.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang dua hari Sambutan Hari Kerja Sosial UMS antaranya program seminar dan ceramah dari NGO, kempen derma darah, sesi refleksologi, car boot sale dan aktiviti bersama anak-anak yatim Home Tuaran.

Sambutan tersebut turut mendapat kerjasama dari Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia, Persatuan Bagi Orang-orang Pekak Sabah, Persatuan Bagi Orang-orang Buta Sabah dan Home Tuaran.

 

SELASA, 21 MAC - Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Universiti Malaysia Sabah melalui Persatuan Pegawai dan Pengurusan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) dapat membantu penduduk Kampung Taburan yang menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

CSR yang diadakan dengan kerjasama Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) itu berjaya membina sebuah telaga tiub sekali gus memberi harapan baru dan kegembiraan buat warga penduduk kampung berkenaan.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Haji Jamli yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tempasuk, Kota Belud.

Dalam ucapannya beliau berkata, pembinaan telaga tiub berkenaan memberikan banyak manfaat kepada penduduk di situ, khususnya semasa musim kemarau.
"Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya sangat mengalu-alukan pembinaan telaga tiub sebagai usaha yang mampu mempelbagaikan sumber bekalan air kepada penduduk kampung," katanya.

Musbah berkata program CSR seperti itu perlu diteruskan pada masa-masa akan datang kerana ia mampu memberi impak tinggi kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
"Saya juga berharap penduduk kampung dapat memanfaatkan dan menjaga sebaiknya kemudahan telaga tiub itu," katanya.
Turut menjadi pengisian program sehari itu termasuklah kursus pengurusan jenazah, pemeriksaan kesihatan dan ceramah motivasi selain acara sukan pada sebelah petang.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Dr. D Kamarudin D. Mudin; Pemaju Mukim Dudar, Shadar Datin; Presiden MASTI, Azri Hohad dan Presiden PPUMS, Azmi Jumat.

 

SELASA, 21 MAC - Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menyokong program berkaitan sukan dan rekreasi untuk warga universiti secara keseluruhan.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, peruntukan bajet khas kepada Pusat Sukan diberikan agar program sukan dapat dirancang dan dijalankan sepanjang tahun, termasuk penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan pengelolaan program sukan  di UMS.

“UMS mempunyai kemudahan sukan yang kondusif dan mesra pelanggan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya sama ada bersukan untuk kesihatan atau sebagai atlet yang akan bertanding di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukan Mahasiswa UMS 2017 dan Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup 2018’ di Stadium UMS baru-baru ini.

“Sukan merupakan salah satu agenda negara, maka itu pihak universiti menekankan kepentingan sukan selari dengan aspirasi negara,” ujarnya.

UMS dilengkapi kemudahan hampir semua jenis sukan termasuk yang terbaru iaitu padang bola sepak rumput tiruan yang diiktiraf FIFA telah siap sepenuhnya pada bulan Oktober tahun lalu.

“Saya menggalakkan agar mahasiswa menyertai atau melibatkan diri dalam pelbagai sukan melalui pelbagai kejohanan atau pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Sukan.

“Melalui program sebegini, mahasiswa akan dapat berinteraksi dan membina jati diri melalui kepimpinan di samping mendapat manfaat secara langsung untuk kesihatan diri," ujar beliau.

Sukan Mahasiswa dan Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup’ itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,000 mahasiswa.

Sukan Mahasiswa merangkumi liga sukan membabitkan sukan bola sepak, futsal, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, bola jaring, bola baling, badminton, ping pong, tenis dan catur.

Manakala Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup’ pula melibatkan pelajar antarabangsa yang mewakili negara masing-masing iaitu Brunei, China, India, Indonesia, Timor-Leste dan Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut, Konsul Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, Cahyono Rustam; Konsulat Brunei di Kota Kinabalu, Pengiran Haji Yussof; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali serta pegawai-pegawai kanan UMS.

ISNIN, 20 MAC - Program Rakan Borneensis 2017 anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dengan kerjasama Japanese International Cooperation Agency  - Sustainable Development For Biodiversity and Ecosystem Conservation (JICA-SBDEC) dan South East Asia Rainforest Research Programme (SEARRP) mampu melahirkan generasi menghargai kepentingan alam sekitar.

Menurut Pengarah IBTP, Prof. Dr. Charles S. Vairappan, program selama tiga hari itu memperlihatkan kefahaman peserta apabila mereka dengan lantang mengetengahkan pendapat masing-masing.

“Ini adalah satu sikap yang sangat baik dan saya amat berharap agar mereka sentiasa dapat memikirkan secara mendalam serta membuahkan pendapat yang bernas dalam memastikan khazanah biodiversiti di Sabah diberi keutamaan dalam usaha kita memajukan negara.

“Saya sangat gembira kerana IBTP dapat memberikan sumbangan keilmuan yang dijana dan dicanai di UMS kepada masyarakat generasi muda di Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada majlis perasmian epnutupan Rakan Borneensis UMS 2017 di Tapak Perkhemahan, Lembah Ex-Situ IBTP kelmarin.  

Melalui program ini katanya para peserta dapat berinteraksi dengan pakar-pakar yang terkemuka dalam bidang kajian masing-masing.

Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta tentang kewujudan kepelbagaian biodiversiti serta langkah pemuliharaannya.  

Kira-kira 30 pelajar dari SM All Saints, SM St Micheal Penampang dan SMK Tebobon menyertai program ini.

KHAMIS, 16 MAC – Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) 2018 bakal memfokuskan terhadap usaha memperkembangkan sistem tadbir urus lautan dan sumber marin secara holistik.

Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Rossita Shapawi berkata, perkhidmatan dalam ekosistem marin semakin meningkat namun peningkatan tersebut tidak seiring dengan tahap pengurusan.

“Lautan turut menerima impak daripada  pelbagai aktiviti di darat, maka satu pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh perlu bagi mengkaji semua isu-isu yang berkaitan dalam perkara ini.

“Justeru, ICOMSA 2018 adalah platform yang sesuai bagi mengajak individu-individu yang bekerja atau terlibat dengan persekitaran laut, sungai, tasik, pantai dan sebagainya untuk bersama-sama berkongsi maklumat,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam satu majlis makan malam sempena meraikan peserta-peserta ICOMSA 2017 di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Tambah Prof. Rossita, dengan penyertaan yang lebih luas pada ICOMSA akan datang, pelbagai maklumat mengenai hubungan antara kepelbagaian sistem marin dan bidang yang berhubung kait dengan laut dan tanah seperti biologi, budaya, politik dan sosio ekonomi dapat dibincangkan.

“Dengan adanya ahli sains, ahli sains sosial, pakar ekonomi, jurutera, dan pakar-pakar dalam disiplin ilmu yang lain berinteraksi dalam satu platform, kita harap agar budaya perkongsian pengetahuan dan penjanaan ilmu dapat dipupuk,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis makan malam tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan pengerusi persidangan ICOMSA, Prof. Madya Dr. Julian Ransangan.