RABU, 03 OGOS - Bahagian Perhubungan Korporat (BPK) Universiti Malaysia Sabah telah mengadakan jerayawara berkaitan Taklimat Penulisan Rencana Penyelidikan Akhbar dan Pembikinan Video Penyelidikan khusus kepada kakitangan akademik dan kakitangan pengurusan fakulti.
Berlangsung di Mini Auditorium Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerbitan, Che Hasruddin Che Hasan antara lain menyentuh tentang format penulisan rencana yang sesuai untuk siaran di akhbar sebagai satu medium mengetengahkan penyelidikan serta kepakaran yang ada di UMS.
"Banyak penyelidikan yang dilaksanakan oleh pensyarah UMS hanya bersandarkan kepada kegunaan akademik dan ilmiah semata-mata dan tidak mendapat pendedahan kepada masyarakat umum.
“Justeru, melalui penulisan rencana berkaitan penyelidikan, kepakaran mahu pun ulasan isu-isu semasa oleh para kakitangan akademik, masyarakat sekurang-kurangnya mendapat pendedahan dan kesedaran, sekali gus memperlihatkan manfaat universiti kepada masyarakat," katanya.
Menyentuh tentang video penyelidikan, beliau berkata setiap fakulti boleh membuat video penyelidikan berkaitan bidang tujahan masing-masing sebagai satu kaedah memperkenalkan kelebihan fakulti serta bertujuan sebagai kegunaan pengajaran dan pembelajaran.
Taklimat sama turut diadakan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan pada sebelah petang.



SELASA, 02 OGOS - Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Sandakan muncul sebagai penerima Anugerah Organisasi Paling Aktif menganjurkan kempen derma darah di Sandakan sepanjang tahun 2015.
ISNIN, 1 OGOS – Persatuan Suri dan Anggota Wanita (PUSPANITA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan kunjungan hormat ke Kelab Suri Rumah dan Kakitangan Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), pagi ini.
ISNIN, 01 OGOS – Seramai 100 peserta menjayakan Seminar Lindungi Harta Intelek untuk Kekayaan Masa Hadapan di Dewan Kuliah Podium D, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.
JUMAAT, 29 JULAI - Menyedari kepentingan sukarelawan, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), sebuah organisasi di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi menghantar 50 sukarelawan pelajar untuk mengambil bahagian dalam “Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2016”.