SELASA, 22 DISEMBER - Amat Jutrah Haji Musnih dan Abdul Jalil Sapli kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (Kekaumas) bagi penggal 2016-2017.

Dalam pemilihan Pegawai Kekaumas yang diadakan di Bilik Bangkuasi Dewan Canselor UMS baru-baru ini menyaksikan jawatan Setiausaha telah dimenangi oleh Puan Arnah @ Zubaidah Haji Sainudin manakala Penolong Setiausaha disandang oleh Puan Salmiah Haji Tertib.

Dua muka baharu iaitu Rahmat Kasmin dan Puan Zaiton Haji Marjan masing-masing dilantik jawatan Bendahari dan Penolong Bendahari.

Enam pemimpin lama adalah antara 13 yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kekaumas untuk tempoh dua tahun iaitu Saidin Haji Marjan, Harun Tambiri, Danan Haji Masalleh, Mohd Faizal Marjus, Binik Haji Majuril dan Julius Sokodor.

Manakala jawatan tersebut turut disandang oleh enam muka baharu iaitu Abdul Nawi Ngeh, Othman Haji Rawi, Mohd. Ajirin Jail, Mokrin Haji Basrin, Machdi Wismajaya dan Alimin Awang Ali.

Pada pemilihan tersebut, lebih 200 ahli termasuk semua exco telah menghadiri Mesyuarat Agung Kekaumas kali ke-5 yang dirasmikan oleh Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

Dalam ucapan aluannya, Amat Jutrah berkata, tahun ini merupakan tahun yang paling bersejarah kerana menampilkan begitu ramai calon yang bertanding merebut jawatan dalam Exco Kekaumas Sesi 2016-2017.

Katanya, kecemerlangan pengurusan kesatuan yang telah dilaksanakan telah menampakkan keikhlasan para ahli untuk mencuba untuk berganding bahu bagi mempertingkatkan lagi gerak kerja kesatuan pada masa hadapan.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, No’man menyeru kepada semua exco yang terpilih termasuk semua ahli Kekaumas agar dapat memikirkan perkara-perkara yang terbaik untuk dicadangkan kepada pihak pengurusan universiti.

Katanya, sudah semestinya exco yang dipilih oleh ahli dapat memainkan peranan dalam memikirkan atau memberikan cadangan yang terbaik bagaimana membuat penjanaan agar peruntukan yang dikeluarkan Universiti dapat dikembalikan semula kepada pihak Kesatuan.

Tambahnya, semua pegawai Kesatuan yang dipilih oleh ahli diharap membantu Presiden dalam memberikan pendapat dan cadangan yang terbaik yang boleh dikemukakan kepada pihak atasan UMS.

“Pemilihan pegawai Kesatuan jika hanya berdasarkan kawan, terkenal, atau saja-saja bertanding atau orang lama jika tidak berdasarkan ciri-ciri perjuangan dan komitmen kepada Kesatuan akan melemahkan perjuangan walaupun kepemimpinan Kesatuan berkenaan sudah bertungkus-lumus melaksanakannya,” katanya.

No’man berkata kekuatan Kesatuan adalah bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua exco dalam apa sahaja permuafakatan yang baik yang boleh dilaksanakan.

Sumber: Azri Onn Othman

SELASA, 22 DISEMBER - Program Bakti Siswa universiti bersama masyarakat setempat mampu mendorong pembentukan siswa-siswi yang holistik dalam pelbagai bidang.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching, program-program yang melibatkan interaksi pelajar universiti  bersama masyarakat khususnya penduduk luar bandar bukan sahaja menggalakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan pelajar, malah turut membentuk pembangunan sahsiah melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Program sebegini menyediakan para pelajar untuk turun padang menyelami kehidupan bersama masyarakat setempat, sekali gus mampu mencungkil satu kesedaran kepada pelajar terhadap impak semangat kesukarelawan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

“Ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan graduan holistik melalui penaksiran terhadap elemen bukan berbentuk akademik semata-mata, tetapi turut menerapkan nilai seperti kepimpinan, komunikasi dan daya penyelesaian masalah pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bakti Siswa Perdana Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2015 di Kampung Bukit Quoin, Balung, Tawau baru-baru ini.

Beliau turut berharap agar siswa-siswi UMS yang menyertai program tersebut dapat menimba ilmu dan pengalaman berkaitan kebudayaan dan kehidupan bermasyarakat di kampung berkenaan bagi manfaat pada masa hadapan.

Program dua hari itu telah disertai oleh 100 orang pelajar dan kakitangan UMS dengan pelbagai aktiviti dijalankan antaranya membersihkan dan mengecat surau dan sekolah agama rakyat (SAR), membaiki pagar SAR, pemeriksaan kesihatan dan derma darah, senam robik dan pertandingan bola sepak serta Sepak Takraw antara penduduk kampung.

Hadir sama pada program itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Janau, Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong, dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Azmi Jumat. -MA-

ISNIN, 21 DISEMBER - Selepas kejayaan penganjuran sesi dialog siri pertama di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Pengajian Pascasiwazah (PPPS) terus menjelajah ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi mengadakan program sama, baru-baru ini.

Program yang dirasmikan oleh Dekan PPPS, Profesor Datin Dr. Mariam Abd. Latip itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan penjelasan berkenaan isi kandungan dan penguatkuasaan Kaedah Pengajian Pascasiswazah UMS 2015 kepada para pelajar dan pensyarah mahupun penyelia yang terlibat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPPS, penganjuran dialog tersebut juga antara lain dapat membuka ruang dan peluang kepada para pelajar, pensyarah mahupun penyelia untuk mengemukakan sebarang pandangan, isu serta cadangan yang dapat memantapkan lagi kualiti proses pengurusan dan penyeliaan.

Kenyataan itu memambah, ia selaras dengan hasrat universiti untuk meningkatkan bilangan para pelajar pascasiswazah yang bergraduat tepat pada masanya (GOT).

PPPS juga berharap agar sesi dialog ini akan dapat dimanfaatkan ke arah mengukuhkan lagi kerjasama di antara PPPS dengan Fakulti, Pusat, Institut yang sedia terjalin.

Pada sesi dialog tersebut, seramai 15 pensyarah dan 20 pelajar pascasiswazah berpeluang hadir dan mengutarakan pelbagai cadangan serta isu berkaitan pengajian dan kebajikan pelajar.

Sumber :  Pusat Pengajian Pascasiswazah , UMS

JUMAAT, 18 DISEMBER – Majlis Khatam Al-Quran Sempena Penutupan Program Kelas al-Quran dan Iqra 2015 Anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak kakitangan UMS dan masyarakat luar. Hampir 70 orang peserta yang dibimbing tenaga pengajar dari Sek. Rendah Islam Al-Hafiz, Tuaran, Ustaz Junaidi Jenny turut serta pada majlis tersebut.

Menurut Pengarah PIUMS, Dr. Muhamad Suhaimi Taat, program tersebut bukan sahaja sekadar untuk meraikan kejayaan anak-anak menamatkan pengajian membaca al-Quran tetapi yang paling penting ialah mesej yang disampaikan dan pengertiannya kepada kita.

“Program seumpama ini dapat membentuk modal insan yang cemerlang dan mengajar peserta untuk menimba dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan malah anak-anak pada hari inilah yang akan menjadi pemimpin dan penggerak pembangunan seterusnya merealisasikan agenda dan wawasan Negara dan ummah”, katanya dalam ucapan perasmian di Masjid UMS awal pagi tadi.

Turut hadir pada acara perasmian, Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Fazli Abdul Hamid, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md. Razali Saibin, Penyelaras Program Kelas al-Quran dan Iqra, Noorisah Taljid dan Pengetua Program Kelas al-Quran dan Iqra, Kartini Mail@Ismail. - SM -

 

Oleh Che Hasruddin Che Hasan

Foto: Ramdan Seleh Nain

ISNIN, 14 DISEMBER – Sebanyak 20 penyelidikan dan inovasi yang dipamerkan di Pertandingan Penyelidikan dan Reka Cipta (PEREKA) 2015 telah memenangi emas daripada sejumlah 242 penyertaan yang dihantar oleh ahli akademik Universiti Malaysia Sabah untuk dipamer dan dipertandingkan.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) UMS, Prof. Dr. Felix Tongkul, PEREKA dianjur dan dijadikan acara tahunan universiti sejak tahun 2008 bagi menganugerah dan memberi pengiktirafan atas penyelidikan dan inovasi yang telah dihasilkan kumpulan penyelidik dan akademia UMS.

“Pada tahun ini, penyertaan yang diterima bertambah iaitu sebanyak 168 bagi kategori penyelidikan dan 74 bagi kategori inovasi membuktikan penyelidik UMS bekerja bertungkus-lumus menjalankan penyelidikan bagi membolehkan mereka mendapatkan hasil penyelidikan dan seterusnya membina prototaip/produk dan lain-lain,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutupan PEREKA 2015 kelmarin.

Tambah beliau, usaha ini juga bertepatan dengan kempen kerajaan untuk menjadikan tahun 2016 sebagai tahun inovasi dan pengkomersialan.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian penyelidik UMS di pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun ini kerana daripada 45 inovasi yang menyertai pertandingan, sebanyak 37 daripadanya memenangi anugerah termasuklah 4 anugerah khas.

“Semua kejayaan ini membuktikan sekali lagi penyelidik UMS boleh bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tegas beliau lagi.

PEREKA 2015 telah dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang emas.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof.  Madya Dr Ismail Ali.