Oleh Mohd Affzanizam Mohd Amin

ISNIN, 12 OKTOBER - Pelancaran Maybank@Campus di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu menjadikan universiti ini sebagai universiti awam pertama mempunyai kemudahan tersebut.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Haji Hamirullah Boorhan berkata, penyediaan kiosk Maybank di UMS adalah hasil cadangan pihak universiti yang memohon supaya Maybank menyediakan mesin ATM di kampus.

“Permintaan dari pihak UMS datang tepat pada masanya kerana pada masa yang sama Maybank baru sahaja memulakan projek Maybank@Campus,” katanya ketika berucap merasmikan Kiosk Maybank@UMS.

Jelasnya, Maybank@Campus merupakan kemudahan perbankan konsep baharu sesuai untuk generasi Gen Z dan golongan siswazah serta kakitangan universiti untuk memanfaatkan kemudahan perbankan yang lengkap disediakan.

“Melalui pelancaran Maybank@UMS, para siswazah boleh membuka akaun bank dengan deposit serendah RM10 menggunakan platform iPad.

“Selain itu, Maybank@UMS akan menjadi pusat bagi aktiviti celik kewangan seperti ‘Investment Celeb Trade’ dan ceramah bulanan mengenai perancangan kewangan daripada pakar-pakar kewangan Maybank,” tambah Haji Hamirullah.

Maybank@UMS turut menyediakan prasarana seperti iPad dan Wifi percuma kepada para pelajar yang menggunakan ruang di cawangan ini yang direka dengan susun atur perabot yang lebih santai berbanding cawangan perbankan yang sedia ada.

Foto: Ernest Berinus

ISNIN, 12 OKTOBER – Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan program Gotong Royong Perdana Kolej Kediaman, kelmarin.

Program tersebut berjalan serentak di seluruh kolej-kolej kediaman termasuk UMS kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

Acara yang bermula pukul 7.00 pagi itu disertai kira-kira 3,000 pelajar bersama kakitangan dan felo kolej kediaman serta syarikat pembersihan kolej.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Dr. Ismail Ali, program tersebut akan dimasukkan dalam takwim tahunan Jabatan HEP.

“Acara sebegini dapat menyatupadukan setiap penghuni-penghuni kolej khasnya pelajar UMS bersama pengurusan kolej sekali gus mewujudkan ikatan silaturahim yang erat di samping menyumbang kepada suasana persekitaran yang bersih dan nyaman,” katanya.

Turut diadakan, acara senamrobik sebagai pemanas badan sebelum gotong royong dimulakan.

Hadir sama Ketua Jabatan HEP, Azmi Jumat.

Sumber : Norhana Nordin HEP

ISNIN, 12 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempergiat usaha untuk menambah bilangan alumni dan pelajar antarabangsa melalui penglibatan dalam World Education Expo Indonesia 2015 (WEEI) yang berlangsung di Jakarta, baru-baru ini.

Selain UMS, pameran yang berlangsung selama dua hari itu turut disertai oleh empat universiti awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak serta 24 institusi pengajian tinggi swasta.

WEEI dianjurkan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang akademik secara global serta mempererat hubungan di antara para alumni dan universiti.

Pameran tersebut turut menyediakan bengkel dan seminar khas untuk para pelajar yang bakal meneruskan pengajian di peringkat universiti serta membantu bakal siswa siswi untuk mengembangkan pengetahuan akademik mereka.

WEEI 2015 turut menyaksikan penglibatan daripada 25 negara antaranya Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Itali, Rusia, Korea dan Jepun. – ZMD/MAH

Foto : Johaidi Ismail

Oleh Salbinous Saribun

JUMAAT, 09 OKTOBER - Sebuah Proton Saga akan menjadi hadiah utama Pertandingan Golf Amal Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dianjurkan Pusat Alumni UMS, 17 Oktober depan.

Berlangsung julung kalinya sejak penubuhan pusat itu pada 2012, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah memaklumkan, kereta tersebut merupakan tajaan The W Group untuk hadiah pemenang Pukulan Selubang.

“Sebagai makluman, kita meletakkan sasaran untuk menarik penyertaan 30 ‘flights’ atau 120 pemain, yang mana setakat ini lebih separuh daripada jumlah itu telah diisi,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS.

Ujar beliau, kejohanan bertempat di Nexus Golf Resort Karambunai itu bakal disemarakkan lagi dengan penyertaan Yang Dipertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun (Dr) Haji Juhar Haji Mahiruddin yang telah mengesahkan kehadiran untuk bermain sama.

“Bagi pihak UMS, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas sokongan padu sekali gus pasti akan memeriahkan lagi suasana pertandingan,” katanya.

Datuk Harun turut memaklumkan, sebanyak empat kategori akan dipertandingkan sepanjang kejohanan itu berlangsung.  

“Antaranya ialah kategori ‘Gross’ dan kategori ‘Nett’ yang masing-masing menawarkan lima hadiah, serta kategori Wanita dan Senior (atas umur 60 tahun) yang masing-masing menawarkan tiga hadiah.

”Pihak penganjur juga menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Motosikal sebagai hadiah utama,” tambahnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang terdiri daripada alumni UMS, syarikat-syarikat pembekal, orang perseorangan, termasuk Pengerusi Eksekutif Syarikat Pemaju Hartanah The W Group, Dato’ Tony Wong.

Penganjuran golf amal itu merupakan sebahagian inisiatif Pusat Alumni dan pihak universiti dalam usaha mengisi Tabung Dana Alumni untuk membiayai pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan universiti.

Sehubungan itu, mereka yang ingin mengambil bahagian boleh berhubung terus dengan Dayangku Rozlina Datuk Pg. Aliuddin (010-944 0388), Jane E. Ading (012-836 8698) dan Mohd. Khairuddin Ahmad (012-833 2445).

Yuran Penyertaan adalah RM1,600 untuk satu ‘flight’ manakala RM400 untuk individu.