KOTA KINABALU: Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Sesi Interaksi bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, di sini kelmarin.

Pengarah BorIIS UMS, Prof. Madya Dr. Normah Abd Latip berkata, program itu antara lain bertujuan untuk membincangkan hala tuju penyelidikan UMS khususnya yang berkaitan dengan institut berkenaan.

“Pelbagai perkongsian dan pandangan diutarakan dalam usaha untuk terus memperkasakan lagi peranan institusi kajian ini.

“Antaranya termasuklah perbincangan Pemantapan Kursi Indigenous Sabah serta beberapa jalinan kerjasama yang akan diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Normah berkata, pihaknya akan menjalinkan hubungan kerjasama melalui Research Agreements (RA) Projek Pembangunan Darau River Cruise (DRC) pada 14 Ogos 2022.

“Projek ini akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.

“Kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan sebuah kerjasama antarabangsa bersama Badan Riset dan Inovasi Nasional  (BRIN) Indonesia,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Normah turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor atas kesudian hadir dan menjayakan program tersebut.

“Sudah pasti BorIIS akan terus berusaha untuk menggiatkan lagi pelbagai aktiviti khususnya dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan kebudayaan dan hal ehwal orang asal di negeri ini.

“Pada masa yang sama, kita juga mengalu-alukan penglibatan masyarakat daripada pelbagai etnik di Sabah untuk menyumbang idea dan terlibat sama dalam mengangkat martabat keunikan budaya bumi di Bawah Bayu ini,” katanya.

Pada sesi tersebut, Rosalam turut menyempurnakan Perasmian Mural Indigenous BorIIS di Bangunan Sains Sosial, UMS.

Hadir sama, Timbalan Pengarah BorIIS Dr. Jeannet Stephen, kakitangan akademik, felo dan ketua-ketua kluster penyelidikan BorIIS.

 

KOTA KINABALU: Seramai 500 peserta menjayakan Program Webinar Generational End Game Anti Rokok (GEGAR) Kampus anjuran Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, baru-baru ini.

Bertemakan Generational End-Game, para peserta didedahkan dengan peri pentingnya pembentukan generasi bebas rokok pada masa hadapan serta bahaya penggunaan rokok elektronik (Vape).

Program secara dalam talian itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Biro Pengajian Tinggi dan Kelab PEMADAM (Sektor Swasta), Dr. Juliana Rosmidah Jaafar.

Katanya, program itu bertepatan dengan salah satu objektif penganjuran iaitu pendedahan tentang impak negatif tabiat merokok dalam kalangan orang ramai khususnya golongan belia.

“Penganjuran webinar ini bertujuan memantapkan kesedaran warga kampus mengenai Generational End-Game yang bakal menamatkan generasi perokok dan penyalahgunaan dadah.

“Untuk makluman, konsep Generational-End-Game dan Dasar Dadah Negara mempunyai matlamat ke arah ‘Dadah Terkawal 2025’.

“Saya percaya matlamat ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai kerjasama daripada semua pihak,” katanya.

Webinar tersebut dihadiri pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, sekolah menengah, pelajar sekolah rendah, penjawat awam, dan orang ramai.

Ia turut menampilkan dua penceramah jemputan iaitu Ketua Penolong Sektor Kawalan Tembakau dan Urus Setia Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau  (FCTC) Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Muaz Sayuti; dan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Haazik Mohamed.

Sementara itu, Pengarah Program GEGAR Kampus, Afrina Shafri Khan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan webinar sehari tersebut.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada PEMADAM Kebangsaan, KKM, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, UMS, panel penceramah, para peserta, dan semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung,” katanya.

 

KOTA KINABALU: Pelbagai pihak terus menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dengan beraneka aktiviti termasuklah mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Di UMS, ia dimeriahkan dengan pemasangan bendera kemegahan negara dan kebanggaan Bumi Di Bawah Bayu di sekitar jalan-jalan utama seperti Jalan Perdana Puncak Ilmu, Jalan Samudera dan Jalan Canselor.

Malah, pihak Pengurusan Tertinggi UMS turut mengadakan agihan bendera kepada warga kakitangannya dalam satu acara yang berlangsung di Pintu Utama universiti baru-baru ini.

Agihan tersebut yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut dihadiri Pengawai-pegawai Utama dan Kanan universiti.

Kibaran bendera juga dilihat menghiasi sekeliling pagar dan bangunan Kampus Rahmah tersebut.

Dalam pada itu, kakitangan UMS di peringkat jabatan, akademi, fakulti, pusat, institut dan bahagian turut tidak ketinggalan mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi Pejabat Canselori, sambutan disemarakkan dengan mengadakan larian mengelilingi kampus sambil mengibarkan bendera Malaysia.

“Ia bukan sahaja sebagai satu usaha menanamkan semangat kecintaan yang tinggi terhadap tanah air, tetapi pada masa sama menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.

“Ia juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kakitangan dan mampu mengurangkan stres selepas seharian bekerja,” kata Ketua Pejabat Canselori, Stella @ Nurul Martini Gontol.

Untuk rekod, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini disambut dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama.’ 

 

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus memperbaiki kedudukan penarafan bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Terbaru, Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS telah mengadakan sesi dialog awam MyRA bertajuk ‘6 Stars, The Quality of Being Wise’  oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Program tersebut diadakan bagi menetapkan hala tuju dan rangka kerja yang dapat membawa UMS meraih enam bintang pada penilaian MyRA menerusi penyelidikan, inovasi serta hubungan antarabangsa.

Menurut Rosalam, UMS harus memperbaiki mutu penyelidikan sedia ada dan memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Hasil penyelidikan dan inovasi yang kita hasilkan harus memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat dan pembangunan negara. Ia penting untuk mendapatkan trust (kepercayaan) daripada pihak kerajaan, industri dan masyarakat.

“Kita juga perlu memperbanyak lagi hubungan antarabangsa bersama rakan industri dan rakan universiti di luar negara. Ini selari dengan visi UMS untuk menjadi sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam yang diadakan bersama kakitangan dan para penyelidik UMS di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, baru-baru ini.

Tambah Rosalam para penyelidik UMS perlu menjadi barisan hadapan kepada msyarakat dengan mempraktikkan ilmu, pengalaman serta rasional dalam mencorakkan masa depan negeri ini dan Malaysia, secara amnya.

“Kita mahu bila orang awam dan pelajar datang ke UMS, mereka nampak masa depan yang lebih baik. Kita mahu para graduan kita dapat peluang kerjaya yang baik dan berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik.

“Kita semua perlu bersedia untuk berubah dan membawa UMS ke hadapan. Perubahan bukan hanya dari yang dahulu kepada akan datang tapi bagaimana memperbaiki apa yang telah kita hasilkan sebelum ini,” tambahnya. 

Pada dialog tersebut, Rosalam turun mengucapkan tahniah kepada para penyelidik UMS yang berjaya mendapat Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) bagi tahun 2022 daripada KPT.

Sebanyak 30 projek penyelidikan UMS berjaya mendapat geran FRGS dengan jumlah keseluruhan RM3,941,722.

 

KOTA KINABALU – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Seminar Eksplorasi Pengetahuan dan Tingkah Laku (SEPT-COVID19) 2022, hari ini.

Seminar tersebut bertujuan membincangkan dapatan kajian dan rumusan tentang perspektif dan tingkah laku masyarakat terhadap kehidupan semasa pandemik COVID-19.  

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institute Development Studies (IDS), Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, penyelidikan memainkan peranan penting dalam menambahkan pengetahuan sekali gus membimbing manusia untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

Katanya, penerokaan idea dan ilmu baharu daripada hasil penyelidikan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat khususnya di negeri Sabah.

“Kerajaan melalui agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri peka kepada ekosistem yang kondusif dalam menggalakkan lebih banyak penyelidikan bagi penghasilan pengkalan data khusus berkaitan dengan pandemik COVID-19.

“Saya percaya, terdapat cabaran berkaitan pasca pandemik melalui era endemik yang perlu ditangani oleh penyelidik-penyelidik bidang sains sosial dan kemanusiaan,” kata beliau.

Tambah Ramzah, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik di universiti dan masyarakat perlu dilaksanakan untuk meningkatkan keterlihatan maklumat berkaitan gaya hidup, persepsi dan maklum balas masyarakat terhadap dasar kerajaan terutama berkaitan dengan kesihatan awam dan perubatan secara umum.

“Saya menaruh sepenuh keyakinan dan impian bahawa acara hari ini akan dapat menggalakkan kerjasama, percambahan serta penggunaan ilmu oleh pelbagai pihak secara berterusan.

“Ini dapat dilakukan melalui perkongsian maklumat strategik agensi kerajaan, pengalaman orang awam dan amalan terbaik dalam kalangan penyelidik, kerjasama berterusan oleh ahli-ahli masyarakat dan juga semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Dekan FSSK Profesor Madya Dr. Asmady Idris berkata penganjuran seminar tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan situasi negara menuju ke arah fasa endemik.

“Seminar ini bukan sekadar untuk melihat dapatan kajian, malah ianya penting untuk membuka ruang perbincangan antara peserta dan menghasilkan satu dapatan secara ilmiah dan saintifik yang dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya.

Seminar yang dijalankan secara maya itu membentangkan 10 kertas kerja merangkumi pelbagai cabang bidang sains sosial dan kemanusiaan.