Dibayangi Hegemoni: Venezuela dan Politik Kuasa di Amerika Latin 

 

 

Artikel oleh Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop, Pensyarah Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

 

 

Sekitar jam 2:00 pagi memasuki hari ketiga tahun baharu 2026, ibu kota Caracas dikejutkan oleh beberapa siri letupan dan bunyi pesawat terbang rendah di sebahagian ruang udara bandar, menandakan bermulanya operasi ketenteraan berskala besar Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela.

Operasi  ‘Absolute Resolve’ melibatkan lebih 150 pesawat tentera dan unit pasukan khas, dengan sasaran keatas kompleks ketenteraan utama seperti Fuerte Tiuna, pangkalan udara La Carlota, serta kawasan strategik lain di utara Venezuela.

Misi tersebut berakhir dengan penangkapan  Presiden Venezuela, Nicolás Maduro dan isterinya, Cilia Flores yang telah bawa keluar dari negara itu oleh pasukan tentera AS seawal 3.30 pagi waktu tempatan dan kini dijadualkan didakwa di mahkamah persekutuan di New York atas tuduhan narkotik dan keganasan.

Perkembangan ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara spontan malah telah dijangka ekoran meningkatnya keberadaan dan pergerakan armada tentera Amerika Syarikat di perairan Caribbean sejak September 2025 apabila USS Gerald R. Ford dikerahkan ke perairan tersebut. 

Senario yang pada awalnya dilihat sebagai operasi keselamatan maritim dan perang terhadap penyeludupan dadah ternyata satu rencana politik kuasa yang lebih besar dengan satu tujuan utama - menamatkan pemerintahan Presiden Nicolás Maduro, dan seterusnya menyusun semula keseimbangan kuasa di rantau tersebut yang dianggap sudah mula dilunakkan oleh keberadaan kuasa besar lain khususnya China dan Russia.

AS melihat pendekatan “speak softly, and carry a big stick” atau dikenali Big Stick diplomacy sudah tidak lagi relevan apabila berhadapan dengan dilema hegemon.  Kekalkan pengaruh atau berundur, ‘kill or perish’ merupakan persoalan dasar AS khususnya di Hemisfera Barat.

Dalam konteks ini, pentadbiran Trump sebenarnya beroperasi menerusi pendekatan realisme untuk tidak membiarkan negara yang mempunyai rizab minyak terbesar di dunia dikuasai oleh pesaing kuasa besar seperti China dan Rusia lantas menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Dalam teori hubungan antarabangsa, persoalan moral bukan lagi satu pertimbangan, tetapi persoalan kelangsungan hegemoni untuk kekal relevan dalam dunia multipolar semasa.

Dunia menyaksikan bagaimana sumber asli seperti minyak dan mineral telah ‘dipersenjatakan’ dan rejim-rejim yang tidak sehaluan dijadikan sasaran. Dalam situasi Amerika Latin, sekiranya eksploitasi dan pengkomersialan sumber tenaga serta mineral diberikan ruang, Amerika Syarikat hampir pasti melihat dirinya sebagai pihak yang paling berhak menjadi rakan kongsi terbesar, satu tuntutan realistik bukan sahaja berlandaskan faktor kedekatan geografi (geographical proximity) dan keupayaan ekonomi, tetapi juga logik hegemoni.

Bagi pemerhati hubungan antarabangsa, langkah terbaharu AS secara tidak langsung menggambarkan pengaktifan semula Doktrin Monroe yang mula diperkenalkan Presiden Monroe pada awal abad ke-19 untuk menghalang sebarang bentuk kolonialisasi dan campurtangan langsung atau tidak langsung kuasa asing di benua Amerika.

Operasi Absolute Resolve hanyalah permulaan kepada pendekatan komprehensif  Amerika Syarikat di Amerika Latin, bertujuan memastikan order dan kestabilan serantau terus memihak kepada kepentingan strategik negara Uncle Sam tersebut. Masa akan menentukan sasaran seterusnya. Namun, Panama jelas telah berada di bawah radar pentadbiran Trump, yang secara terbuka mengisytiharkan “We're taking' back the Panama Canal’ pada Mac 2025.

Selang beberapa hari, dunia akan mengetahui nasib Nicolás Maduro di hadapan sistem perundangan Amerika Syarikat. Perbicaraan serupa dilalui Jeneral Manuel Noriega (Panama), Juan Orlando Hernández (Honduras) dan Hugo Carvajal (Venezuela) bakal menyaksikan proses yang panjang dan berprofil tinggi.

Bagi rakyat Venezuela, pasca-Maduro dinanti dengan penuh harapan. Mampukah kerajaan baharu dengan sokongan AS mampu membawa Venezuela keluar dari krisis ekonomi dan kemanusiaan yang telah sekian lama membelenggu negara tersebut? Harapan itu wajar diraikan, tetapi sejarah juga mengajar kita untuk tidak bersikap optimis dengan menyangka kejatuhan seorang pemimpin akan membawa kestabilan yang dijanjikan.

Persoalan sebenar bukan lagi tentang Maduro atau Venezuela, tetapi tentang masa depan rantau Amerika Latin itu sendiri. Adakah ia akan menemukan keseimbangan baharu, atau bakal menjadi pentas persaingan kuasa besar yang akhirnya membawa luka lebih parah kepada tanah pejuang nasionalis Simon Bolivar. 

 

 

(Artikel ini ditulis berdasarkan pandangan akademik penulis sebagai pensyarah Kursus Politik Antarabangsa Amerika Latin dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Sabah atau mana-mana institusi berkaitan.)

Dibayangi Hegemoni: Venezuela dan Politik Kuasa di Amerika Latin 

06 Januari 2026

Artikel oleh Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop, Pensyarah Hubungan Antarabangsa,...

Komitmen Integriti Sebagai ‘Way Forward’ di Universiti Malaysia Sabah

05 Januari 2026

[ARTIKEL BIUMS Siri 1/2026] Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian...

Belanjawan Sabah 2026: Pencetus Pembangunan Mapan

02 Januari 2026

Artikel oleh Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, Naib Canselor...

Wabak Senyap di Poket Sendiri

22 Disember 2025

Kemajuan teknologi yang berkembang pesat pada masa kini telah membawa...