WP LABUAN, 21 MEI 2025 - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pinc Technology Sdn Bhd (PINC) menjalinkan kerjasama pintar menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi serta Pelancaran Program Marinehack 2025 yang diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), kelmarin.
Perjanjian Kolaborasi itu ditandatangani Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), UMS, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor bersama Pengarah Urusan PINC Technology Sdn Bhd, Josef Wong Ming Chong.
Dr. Kasim berkata usahasama ini bukan sekadar satu majlis tandatangan simbolik malah ia mencerminkan penyelarasan strategik antara dunia akademik dan industri, yang menekankan komitmen bersama terhadap inovasi, pembangunan mampan, transformasi digital dan pemerkasaan belia.
Katanya, dalam menghadapi era maritim yang semakin kompleks, kerjasama antara UMS dan PinC Technology Sdn. Bhd. ini dijangka menjadi pemangkin kepada impak yang bermakna dengan membolehkan pelajar membangunkan penyelesaian praktikal berasaskan teknologi untuk menangani cabaran dalam sektor maritim.
“Inisiatif ini menggabungkan pengetahuan akademik dengan kepakaran teknologi sebenar, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan Analitik Data Raya, sekali gus memperkasakan pelajar bukan sahaja untuk mencetus idea, malah menghasilkan prototaip, menguji dan menambah baik inovasi mereka selaras dengan keperluan semasa industri.”katanya berucap merasmikan majlis berkenaan.
Teks ucapan beliau dibacakan Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Turut hadir Penasihat PinC Technology Sdn Bhd, Dato’ Haji Baharin Dato’ Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Haji Mahmud dan Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr. Mohammad Fadhli Asli.
Hadir sama Timbalan-timbalan Dekan FKAL, Dr. Ricky Chia Chee Jiun. (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Alesia Sigang Gugkang (Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr Noor Hassanah Husin (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKAL.
MarineHack 2025, yang bertemakan “Menelusuri Masa Hadapan: Penyelesaian Pintar untuk Industri Maritim yang Mampan”, merupakan sebuah pertandingan hackathon peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk merangsang penyelesaian berfikiran ke hadapan dalam logistik maritim, keselamatan, pemantauan alam sekitar, dan kelestarian.
Inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 14 (Hidupan di Bawah Air).
Matlamat ini menekankan keperluan terhadap infrastruktur yang berdaya tahan, perindustrian yang mampan serta pemuliharaan ekosistem marin.
Inisiatif ini mengalu-alukan penyertaan pelajar universiti dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia, khususnya dari bidang pengkomputeran, kejuruteraan dan perniagaan, untuk melibatkan diri dalam kerja berpasukan secara pelbagai disiplin.
Menerusi program yang distrukturkan selama empat bulan, peserta akan menangani isu dunia sebenar seperti pengoptimuman laluan bagi mengurangkan pelepasan karbon, pengesanan pencemaran marin menggunakan data masa nyata, serta sistem keselamatan berasaskan IoT untuk kapal kecil dan pelabuhan.
MarineHack 2025 mewakili langkah berani ke arah pembinaan ekonomi maritim digital Malaysia dan penghasilan kumpulan bakat masa hadapan yang inovatif serta peka terhadap kelestarian alam sekitar.
Pengalaman luas anda, digabungkan dengan platform digital dan infrastruktur inovasi yang dimiliki, bukan sahaja akan meningkatkan mutu penganjuran hackathon ini, malah akan menjadi sumber bimbingan yang amat bernilai kepada peserta.
Usahasama ini lebih daripada sekadar kerjasama kerana ia merupakan misi bersama untuk membentuk generasi pemimpin dan peneraju perubahan dalam teknologi dan kelestarian maritim.
MarineHack 2025 terbuka kepada semua universiti di seluruh Malaysia dan anda akan bersaing dengan antara minda-minda muda yang paling cemerlang dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Sebagai universiti penganjur yang kini telah menjalani penjenamaan semula sebagai “The Brain of Borneo”, UMS berasa bangga menjadi fasilitator kepada platform yang tepat pada masanya dan berwawasan ini, sejajar dengan komitmen baharu UMS terhadap kepimpinan pemikiran, inovasi dan impak serantau.
UMS mengalu-alukan penyertaan semua universiti di Malaysia untuk bersama-sama menyokong dan mengambil bahagian dalam inisiatif kebangsaan ini, demi membentuk masa depan inovasi maritim negara.
UMS percaya MarineHack 2025 berpotensi untuk menjadi program perdana peringkat kebangsaan, yang memacu penglibatan rentas universiti, kerjasama antara disiplin dan sinergi antara industri serta akademia pada skala yang belum pernah disaksikan sebelum ini dalam ekosistem inovasi maritim.
Syabas Buat Penganjur.