Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae menang tiga acara sukan pantai

Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae menang tiga acara sukan pantai

LABUAN: Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) memenangi tiga acara di Karnival Sukan Pantai Antara Kolej Kediaman (SUKOL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2023 yang diadakan di Gelanggang Pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Wilayah Persekutuan Labuan pada 24 – 25 November 2023.

Tiga kemenangan yang diperolehi KKTPAR itu ialah Bola Tampar Pantai Lelaki (3 on 3), Bola Sepak Pantai Wanita (4 on 4) dan Bola Jaring Pantai Wanita (3 on 3).

Sementara itu, Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) memenangi satu emas menerusi acara Bola Sepak Pantai Lelaki (4 on 4).

Manakala kontinjen tuan rumah, Kolej Kediaman Alpha Beta (KKAB) UMSKAL turut membawa pulang satu emas menerusi acara Bola Tampar Pantai Wanita.

Tempat kedua Bola Sepak Pantai Lelaki (4 on 4) ialah Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae dan ketiga Kolej Kediaman Lestari Sandakan.

Bagi Bola Sepak Pantai Wanita (4 on 4), tempat kedua dimenangi Kolej Kediaman Alpha Beta UMSKAL dan ketiga Kolej Kediaman Tun Mustapha.

Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Alpha Beta UMSKAL masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga Bola Tampar Pantai Lelaki (3 on 3).

Manakala bagi Bola Tampar Pantai Wanita (3 on 3), Kolej Kediaman Non-Resident meraih tempat kedua dan ketiga Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.

Sementara itu, tempat kedua Bola Jaring Pantai Wanita (3 on 3) disandang Kolej Kediaman Alpha Beta UMSKAL dan Kolej Kediaman Tun Fuad di tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Turut menyampaikan hadiah Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Turut hadir Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin dan Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman.

Sebanyak lima acara dipertandingkan yang melibatkan 147 peserta yang mewakili 8 kontinjen iaitu KK Alpha/Beta UMSKAL, KK Tun Fuad, KK Tun Mustapha dan KK Antarabangsa Kingfisher.

Selain itu, KK Tun Pengiran Ahmad Raffae, KK 1 Borneo, KK Eco Park dan KK Lestari Sandakan.

Sementara itu, Ahmadi mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan sukan yang menjayakan karnival SUKOL 2023.

Tamat.

Lawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ke UMSKAL penuh bermakna

Lawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ke UMSKAL penuh bermakna

LABUAN: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Haji Mohammad Yusof Haji Apdal mengadakan Lawatan Rasmi ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 26 November 2023.

Ketibaan beliau di pekarangan Bangunan Podium, UMSKAL disambut mesra Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Sejurus tiba, beliau disambut dengan paluan kompang dan persembahan tarian oleh Kumpulan Taming Mas UMSKAL.

Haji Mohammad Yusof kemudiannya menandatangani buku pelawat dan menerima cenderamata daripada Datuk Dr. Kasim.

Selepas ucapan aluan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, Pengarah UMSKAL., Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal menyampaikan Taklimat Sejarah dan Perkembangan Semasa UMSKAL di Bilik Eureka, UMSKAL.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut mengadakan Sesi Ramah Mesra bersama pelajar dan kakitangan UMSKAL.

Hadir sama Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Dimetio Fernandez Anak Luat.

Dato’ Haji Mohammad Yusof turut meninjau pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan Anak Bulan.

Majlis itu penuh bermakna kerana ia merupakan julung kalinya Dato’ Haji Mohammad Yusof berkunjung ke UMSKAL.

Sesungguhnya warga UMSKAL sentiasa mengalu-alukan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan lagi.

Program lawatan pada hari ini amat bermakna kerana ini merupakan medium untuk warga UMSKAL beramah mesra dan bertemu dengan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dengan lebih dekat lagi sekaligus dapat memperkenalkan kampus cawangan UMS yang pertama telah dirasmikan pada tahun 1999.

Pada hari ini, satu detik bersejarah dilakar di UMSKAL. 

Kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di UMSKAL akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan dan diharap agar beliau akan terus memacu pertumbuhan universiti di Sabah terutamanya di UMSKAL.

Semoga kemesraan ini akan mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah sedia terjalin antara UMS dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pada ketika ini, UMSKAL mempunyai 232 orang kakitangan yang terdiri daripada 88 pensyarah di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB). serta 144 kakitangan pentadbiran.

UMSKAL mempunyai 2,066 orang pelajar yang berasal dari seluruh Malaysia iaitu 725 dari Semenanjung Malaysia, Sarawak (257), Sabah (1,018) dan W.P Labuan (66).

Tamat.

FKAL jalin kerjasama dengan Signature Trust Ltd dan Captegis Sdn Bhd

FKAL jalin kerjasama dengan Signature Trust Ltd dan Captegis Sdn Bhd

LABUAN: Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Tandatangan Surat Niat (LoI) dengan Signature Trust Ltd. dan Captegis Sdn.Bhd pada 8 November 2023.

Dekan FKAL, Professor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata LoI itu diwujudkan adalah untuk meningkatkan kerjasama akademik dengan kerjasama dalam industri.

Selain itu, akses kepada kepakaran industri dan pengetahuan yang diperoleh daripada kerjasama industri.

Pada masa sama, katanya, bertukar pengetahuan dengan kerjasama dalam industri.

Dr. Geoffrey berkata menerusi LoI itu ia dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran (kemahiran dan pengetahuan) dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

“LoI dapat mendedahkan pelajar kepada dunia kerjaya sebenar.

“Mendedahkan fakulti dan pelajar kepada masalah dunia sebenar yang praktikal.”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tandatangan Surat Niat Kerjasama di antara FKAL UMS bersama Signature Trust Ltd Dan Captegis Sdn. Bhd di Bilik Mesyuarat Kiansam, Bangunan Menara UMSKAL.

Professor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal mewakili FKAL, Signature Trust Ltd diwakili Pengarahnya, Jacy Lau Aik Fong manakala Business Development Manager Mahd Luqman Hakim Mahamad Shukri mewakili Captegis Sdn Bhd.

Turut hadir Pensyarah FKAL dan staf Signature Trust Ltd.

Tamat.

UMSKAL Johan Sepanduk 2023

UMSKAL Johan Sepanduk 2023

1 November 2023 (RABU) – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) memenangi tempat pertama Pertandingan Sepanduk Kategori Sekolah Menengah/IPT sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Dataran Labuan pada 21 Oktober 2023 (SABTU).

Tahniah dan terima kasih kepada semua peserta dalam kalangan kakitangan dan pelajar yang menyertai perarakan berkenaan.

Kontinjen Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) diketuai oleh Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid UMSKAL, Ustaz Mohd. Khairul Isham Abd. Latiff.

Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terbabit.

‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my