Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Penasihat Luar kongsi ilmu dengan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan

Penasihat Luar kongsi ilmu dengan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan

LABUAN: Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid telah menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Luar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) pada 11 Jun 2024 (Selasa).

Mereka ialah Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri Chik dan Ketua Kluster Ekonomi & Kewangan Islam, Pusat Kajian Pembangunan Lestari & Inklusif Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Shahida Shahimi.

Seorang lagi penasihat ialah dari pihak alumni iaitu Mohd Amir Masmud (Master in Islamic Finance).

Kunjungan penasihat-penasihat luar ini adalah bertujuan untuk menambahbaik kursus pascasiswazah yang ditawarkan di FKAL agar berdaya saing dengan kursus yang ditawarkan di peringkat global. 

Pada masa sama, Mohd Nazri Chik dan Prof. Madya Dr. Shahida Shahmi turut menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan dengan Kewangan Sosial (Social Finance) dan ‘ESG Integration in Islamic Banks Malaysia’ di FKAL Smart Classroom.

Turut hadir pada sesi perkongsian itu termasuk Prof. Madya Dr Rizal Hamid, Dekan FKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKAL, Dr Anath Rau Krishnan.

Hadir sama Penyelaras Pascasiswazah, Dr Andrew Saw Tek Wei dan pensyarah-pensyarah FKAL.

Dr Rizal berharap perkongsian ilmu itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada FKAL tetapi juga UMSKAL secara keseluruhannya.

“Pengetahuan dan pengalaman Penasihat Luar itu seharusnya dikongsi bersama pensyarah yang akhirnya memberi manfaat kepada FKAL dan UMSKAL,”katanya.

Penasihat Luar FKAL itu turut meninjau pemandangan menarik WP Labuan dan lokasi Balai Cerapan Anak Bulan di Tingkat 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Semoga Menjadi Kenangan Abadi.

Tamat.

UMS dan Neurogine lancar Inisiatif Hab Bakat Teknologi (UMS T2H) 2024

UMS dan Neurogine lancar Inisiatif Hab Bakat Teknologi (UMS T2H) 2024

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Neurogine Sdn Bhd mengumumkan pelancaran Inisiatif Hab Bakat Teknologi UMS (UMS T2H) 2024, yang bertujuan untuk memupuk inovasi teknologi dan mencungkil bakat kepimpinan generasi teknologi akan datang.

Inisiatif UMS T2H 2024 menunjukkan komitmen universiti untuk memajukan pendidikan dan kerjasama industri dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi blockchain.

Inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Neurogine Sdn Bhd, dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid berkata, "Inisiatif ini dibangunkan sebagai platform untuk menarik ahli teknologi masa depan dan pencetus inovasi.

Katanya, ia adalah ruang yang mana cita-cita mereka boleh dicapai, mereka akan dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan peluang untuk memberi impak yang berkekalan.

”Kami teruja untuk menyaksikan kejayaan inovasi daripada usaha dan kreativiti pelajar,”katanya dalam ucapan alu-aluannya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn pula berkata, “Neurogine komited untuk memupuk pemimpin masa depan dalam bidang teknologi, kewangan dan pemasaran.

”Kami juga teruja untuk menjadi sebahagian daripada UMS T2H 2024 dan mengambil peranan sebagai penaja utamanya.”

“UMS T2H 2024 selaras dengan nilai kami, terkandung dalam temanya, “Idea, Inovasi dan Inspirasi”.

Katany,a, Neurogine telah berada di barisan hadapan dalam inovasi, perintis tokenisasi pembayaran dan penyelesaian blockchain kewangan sejak 2020.

“Inisiatif ini akan menyokong dan memupuk minda yang cerah, memberi manfaat kepada golongan muda, untuk golongan muda dan disokong oleh industri.

“Kami sangat berharap kepada kejayaan UMS T2H 2024 dan kemunculan bakat masa hadapan,”katanya berucap pada majlis menandatangani surat penajaan dan penyerahan cek di Bilik Eureka, UMS Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL) pada 10 Jun 2024 (Isnin).

Sementara itu, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada penaja utama, Neurogine kerana telah menaja RM50,000 bagi menyokong pelaksanaan Inisiatif Hab Bakat Teknologi (UMS T2H) 2024.

Beliau juga mengumumkan dua agenda penting utama, iaitu penyiapan projek penyelidikan bertajuk "Meningkatkan Kesediaan Digital di Kalangan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana di Labuan: Kajian Mengenai Penggunaan Kod QR." Penyelidikan ini merupakan usaha kerjasama antara FKAL, Neurogine dan Dewan Perniagaan Labuan (LCC).

“Objektif utama kajian ini adalah untuk menilai tahap celik digital di kalangan PKS, meningkatkan kesediaan mereka untuk alam digital, dan mengenal pasti halangan yang menghalang peralihan mereka kepada landskap perniagaan yang lebih fokus secara digital. Dengan menggunakan metodologi tinjauan, kami mengumpul data berharga daripada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana dan merumuskan hipotesis untuk meneroka pengaruh keyakinan peribadi, inovasi teknologi, ketidakselesaan dan rasa tidak selamat terhadap penggunaan kod QR.

Selain itu, kami meneliti peranan pengaruh sosial sebagai faktor mediasi,”katanya.

Dr Geoffrey juga mengumumkan satu lagi kerjasama penyelidikan yang penting antara FKAL dan Neurogine, yang memberi fokus terhadap keutamaan kualiti makanan di Malaysia Timur, bidang penyelidikan yang penting untuk industri makanan, kesihatan awam dan kepuasan pengguna.

Beliau juga menekankan bahawa penyelidikan itu menekankan kepentingan memahami keutamaan kualiti makanan dan bertujuan untuk memberikan pandangan yang boleh memberi manfaat kepada industri makanan di wilayah Borneo.

Melalui inisiatif ini, Neurogine telah menaja RM50,000 kepada FKAL UMS bagi merealisasikan pencarian hab bakat teknologi dan kemuncak inisiatif ini akan disampaikan kepada pemenang pada Disember 2024.

Pemenang UMS T2H 2024 akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, diikuti naib juara RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000.

Turut hadir Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Antarabangsa FKI, Dr Nooralisa Mohd Tuah dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKAL yang juga Ketua Sekretariat UMS T2H 2024Dr Noor Hassanah Husin.

Terima Kasih Neurogine Sdn Bhd.

Tamat.

Pengarah UMSKAL Terima Kunjungan Pegawai KUIPs 

Pengarah UMSKAL Terima Kunjungan Pegawai KUIPs 

10 JUN 2024 (ISNIN) - Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid telah menerima kunjungan hormat pegawai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di pejabatnya di Tingkat 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Tiga pegawai kanan KUIPs itu ialah Pengarah Canselori KUIPs, Muhammad Syazuwan Ahmad, Ketua Bahagian Pemasaran, KUIPs, Nur Syaedah Kamis dan Ketua Bahagian Kebitaraan Institusi, Azhan Taqiyyadin Arizan.

Muhammad Syazuwan berkata kunjungan hormat itu bertujuan untuk menjalinkan kerjasama bagi program UMSKAL dan KUIPs dengan potensi kolaborasi kepakaran akademik kedua-buah institusi.

Selain itu, jaringan strategik institusi dan penganjuran aktiviti secara bersama.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal berkata UMSKAL mengalu-alukan kerjasama antara kedua-dua pihak sama ada yang membabitkan pensyarah, pegawai, kakitangana mahupun pelajar dalam pelbagai bidang.

“UMSKAL berterima kasih kepada KUIPs yang sudi berkolaborasi kepakaran akademik kedua-buah institusi.

“Sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada UMSKAL dan KUIPs,”katanya.

Turut hadir Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Dr Ahmad Fadly Abd Rahman.

Delegasi KUIPs turut bergambar kenangan bersama Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Jemput Datang Lagi Ke UMSKAL.

Tamat.

Skuad Futsal UMSKAL Sedia Hadapi Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi Borneo 2024

Skuad Futsal UMSKAL Sedia Hadapi Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi Borneo 2024

PASUKAN Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sudah bersiap sedia menghadapi Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024.

12 pelajar yang terpilih menyarung jersi skuad futsal UMSKAL bersedia menggalas cabaran menghadapi lapan pasukan dari IPT Zon Borneo.

Mereka ialah Mohamad Shahril Iqmal Hippini (ketua pasukan), ⁠Mohd. Muadz Ahmad Jamizi, Muhammad Nur Irfan Afiq Hamden, ⁠Shoomaan S/O Kalaiahrasan, ⁠Mohamad Khairul Rizal dan ⁠Faiezal Anam.

Selain itu, ⁠Mohamad Ihsan Mohamad, ⁠Adzril Kamlan, ⁠Safwan Rahimie Roslan Penolong Ketua Pasukan), ⁠Hanif Qhuzairee Mohd Asri, ⁠Muhammad Afiq Dzikri Mohd Rizuan dan ⁠Nazerry Dennis.

Skuad UMSKAL diketuai Ketua Kontinjen, Dr Ahmad Fadly Abd Rahman yang juga Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL bersama Pengurus Pasukan, Mohd Nazri Mohd Ibrahim dan Penolong Pengurus, Jasri Japar.

Manakala Asmawi Awang dan Yusdi Lamat masing-masing bertindak sebagai Ketua Jurulatih dan Penolong Jurulatih di samping Muhammad Raffiezy Abdul Rashad sebagai Pegawai Perubatan.

Sementara itu, Dr Ahmad Fadly meminta semua pemain dan pegawai sentiasa menjaga nama baik UMSKAL sebelum, semasa dan selepas kejohanan itu.

“Sambil kita memburu kemenangan, jangan lupakan aspek disiplin dan semangat kesukanan,”katanya.

Asmawi pula meminta anak buahnya memenangi kesemua perlawanan bagi memudahkan laluan ke peringkat separuh akhir kejohanan tiga hari itu.

“Kita menyedari skuad UMSKAL akan menghadapi persaingan sengit daripada pasukan lain yang juga mengintai peluang layak ke pusingan seterusnya.

“Skuad UMSKAL perlu lebih garang menghadapi pasukan lawan sebelum berhasrat layak ke separuh akhir,”katanya.

Karnival Borneo Liga Futsal IPT 2024 akan diadakan di UMS, Kota Kinabalu pada 9 hingga 11 Jun 2024.

Selamat Berjuang.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my