KHAMIS, 8 JUN – Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) hari ini telah mengadakan sesi taklimat berkaitan Fidyah Puasa dan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) bersama kakitangan Jabatan Canselori di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam PBNS, Mohd Arif Hairul menyentuh tentang hukum orang yang meninggalkan puasa dan tuntutan membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan, serta ganjaran amalan bersedekah bagi umat Islam.

“Hukum membayar fidyah adalah wajib bagi umat Islam, dan seseorang boleh dikenakan fidyah apabila dia meninggalkan puasa kerana keadaannya yang lemah atas faktor lanjut usia, sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan untuk sembuh tipis, ibu hamil atau menyusukan anak yang meninggalkan puasa hanya kerana khuatir keselamatan anaknya sahaja, dan orang yang berhutang puasa dan belum dijelaskan sehingga tiba Ramadan berikutnya.

“Kadar fidyah ialah satu mud atau secupak makanan asasi, dan di negeri Sabah nilai kadar semasa bagi bayaran fidyah adalah RM1.75 bagi sehari puasa yang ditinggalkan,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam agar mengamalkan amalan bersedekah, kerana keajaiban amalan bersedekah antaranya mampu meluaskan rezeki seseorang, menolak bala, memadam kemurkaan Allah s.w.t dan menolak daripada mati dalam keadaan tidak baik.

“PBNS mewujudkan Tabung KWAJ untuk tujuan tersebut, dan dengan sumbangan dana yang diberikan pelbagai bantuan dapat disalurkan seperti bantuan bencana alam,  bantuan kelengkapan masjid dan surau, bantuan madrasah, rumah anak yatim dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), bantuan perubatan dan susu formula, dan bantuan-bantuan am seperti bantuan fakir miskin, bantuan bagi menjana pendapatan dan sebagainya,” ujar beliau.

Lebih 20 kakitangan Jabatan Canselori hadir pada taklimat tersebut.

 

RABU, 7 JUN - Kelab Kebudayaan Jepun, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan Japanese Cultural Day (JCD) di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS. 

Timbalan Pengarah Program JCD, Tiong Su Ni berkata, acara itu dibuka kepada semua mahasiswa  UMS dengan pebagai pengisian termasuk jualan makanan-makanan Jepun, button badge rekaan sendiri, tayangan filem-filem Jepun, aktiviti rumah hantu, bengkel pemakaian yukata dan juga pameran barangan-barangan Jepun.

“JCD dilaksanakan sebagai satu usaha untuk mempromosi dan memberi pendedahan kepada para pelajar UMS terhadap budaya masyarakat Jepun.

“Ia kerana terdapat pelbagai budaya negara matahari terbit itu yang menarik dan mempunyai nilai yang baik untuk diteladani,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tion Su Ni, antara aktiviti tumpuan ialah bengkel pemakaian yukata yang memberi peluang untuk mahasiswa melihat dan memakai sendiri pakaian itu serta mengambil gambar kenang-kenangan.

“Pemakaian yukata sememangnya memerlukan pengetahuan dan teknik yang tertentu serta memerlukan masa yang lebih lama,” jelasnya sambil memaklumkan pakaian itu digunakan sejak era Heian lagi dan dikaitkan dengan keanggunan serta kecantikkan seseorang wanita.

“Program ini kami rancang sejak semester lepas dan persiapan dibuat sejak sebulan lalu.

“Walaupun masa persediaan yang singkat, saya amat gembira dengan kejayaan penganjuran aktiviti ini secara keseluruhan,” tambah Tion Su Ni.

 

Sumber: Kelab Budaya Jepun

RABU, 7 JUN -  Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan (PMPEP) menganjurkan program “Secretaries Day 2017” di Dewan Kuliah Pusat 2, baru-baru ini.

Program itu dihadiri 90 pelajar yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan, dan wakil-wakil daripada setiap program di Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan.

Program itu dijayakan oleh penceramah jemputan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Muhamad Jumrat Minsun.

Dalam ceramahnya Jumrat berkata, penganjuran “Secretaries Day 2017” amat bertepatan sebagai pendedahan kepada para mahasiswa tentang tugas-tugas setiausaha secara terperinci, selain meningkatkan keberkesanan dalam bidang penulisan.

Melalui program itu, para mahasiswa diberi peluang untuk menyuarakan persoalan mengenai kaedah penulisan surat-menyurat, minit mesyuarat, laporan dan kertas kerja yang betul di samping memastikan mereka memahami konsep dan format sebenar dalam pengendalian dokumen-dokumen rasmi seumpama itu.

Salah seorang mahasiswa yang hadir, Mohamad Afiq Mohd Yusri  berkata, perkongsian ilmu pada program itu sangat bermanfaat sebagai bekalan ke alam pekerjaan kelak.

“Program ini dapat memperbaiki dan memantapkan kemahiran para mahasiswa daripada melakukan kesilapan dalam bidang penulisan.

“Saya berharap program-program sebegini akan terus dianjurkan pada masa-masa akan datang untuk peluang bagi kami meningkatkan pengetahuan dan kemahiran insaniah,“ katanya yang juga pelajar Program Keusahawanan.

Terdahulu, Pengarah Program “Secretaries Day 2017”, Nursilah Haris juga memaklumkan, program itu mampu membantu meningkatkan imej dan reputasi PMPEP untuk melahirkan mahasiswa yang mahir dalam penulisan dokumen-dokumen rasmi.

 

Sumber : Najihah Mohamad Nasir (PMPEP)

 

SELASA, 6 JUN - Kelab Antropolgi dan Sosiologi (ANSOS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Hak Asasi Manusia dengan kerjasama Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Berlangsung selama lima hari, program itu merangkumi perkara hak kemanusiaan bersama Rohingya di Garden Knowledge Learning Center (GKLC) dan gelandangan di sekitar Pasar Seni.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sesi berasaskan pembelajaran dan pengajaran dengan kanak-kanak Rohingya dengan menggunakan modul yang bersesuaian seperti Modul Bahasa Melayu serta Modul Kebersihan.

Dalam pada itu, aktiviti yang dijalankan di Pasar Seni adalah memahami keadaan gelandangan melalui sesi temu ramah dan pengagihan makanan.

Program itu bertujuan mendidik mahasiswa mendalami isu gelandangan dan etnik Rohingya selain sebagai usaha menerapkan budaya memasyarakatkan ilmu untuk membantu masyarakat khususnya mereka yang kurang bernasib baik.

 

Sumber: ANSOS

 

SELASA, 6 JUN - Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang mengadakan lawatan penandaarasan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Rombongan tersebut diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Toantowee Haji Mohd Lotfie, bersama-sama tujuh pegawai daripada Bahagian Teknologi Maklumat, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Unit Korporat Pejabat SUK Pahang.

Lawatan sehari ke UMS itu bertujuan mendapatkan pandangan dan nasihat dalam membangunkan muzium dan galeri.

Ketibaan rombongan disambut Ketua Sektor Komunikasi Strategik, Jabatan Canselori, Che Hasruddin Che Hassan, dan beberapa pegawai daripada Pejabat Bahagian Perhubungan Korporat UMS.

Rombongan kemudiannya dibawa ke Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Canselori untuk sesi perbincangan dan taklimat ringkas yang disampaikan Kurator Jabatan Canselori, Mohd Hilmey Saili.

Semua ahli rombongan kemudian dibawa melawat ke muzium dan galeri yang terdapat di universiti, seperti Galeri Akademik dan Penyelidikan UMS (Bangunan Canselori), Muzium UMS (Bangunan Canselori), Galeri Borneensis (Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan), Akuarium dan Muzium Marin (Institut Penyelidikan Marin Borneo) dan Muzium Perubatan (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan).

Rombongan SUK Pahang turut berkesempatan menunaikan solat di Masjid UMS.

 

Sumber: Mohd Hilmey Bin Saili