RABU, 19 APRIL - Seramai 53 pelajar sekolah menyertai Program Pemantapan Jati Diri anjuran Kolej Kediaman Sri Angkasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kem Pinawantai, Kudat baru-baru ini.

Dengan tema “Move Ahead, Go Beyond”, program itu bertujuan untuk membuka minda para peserta agar sentiasa meletakkan sesuatu matlamat dalam hidup untuk terus maju ke hadapan.

Dalam masa yang sama, program itu juga bagi mengasah kemahiran insaniah mahasiswa yang terlibat sepanjang program itu berlangsung.

Beberapa aktiviti telah menjadi pengisian, antaranya Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang membabitkan penglibatan semua peserta dengan dipantau oleh fasilitator.

Sambutan yang diterima dalam kalangan peserta dari pelbagai sekolah di daerah itu amat memberangsangkan dan para guru pengiring juga menyokong penuh penganjuran program-program seumpama itu yang dilihat mampu membimbing pelajar dan memberi pendedahan kepada mereka terhadap dunia luar.

Program yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan penglibatan 25 warga Kolej Kediaman Sri Angkasa UMS termasuk dua felo sebagai pegawai pengiring.

 

Sumber:  Mardena Jiwan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar

 

 

 

         

 

 

 

 

RABU, 19 APRIL -  Seramai tiga pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewakili UMS ke Pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) 2017 peringkat kebangsaan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 Mei depan.

Kesemua mereka terpilih selepas mengungguli kategori masing-masing dalam pertandingan peringkat  UMS yang diadakan baru-baru ini.

Mereka adalah pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Saizal Pinjaman bagi kategori Sains Sosial;  Miron Gakim dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) bagi kategori Kejuruteraan, dan Birdie Scott Padam dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan bagi kategori Sains.

Saizal terpilih melalui pembentangan yang menarik berkaitan kajiannya yang memfokuskan terhadap faktor yang mempengaruhi kemeruapan pasaran saham di Malaysia dan teknik pengurusannya.

Miron pula mendapat perhatian dengan pembentangan yang jelas dan menyakinkan terhadap penyelidikannya yang berkaitan gas karbon dioksida dan bagaimana ia boleh menghasilkan produk yang mampu memberi kebaikan daripada sudut ekonomi. 

Sementara itu, Birdie Scott pula telah membentangkan penyelidikan mengenai potensi rumpai laut Sabah sebagai sumber prebiotik sekali gus mampu menyemarakkan industri rumpai laut di Sabah dan mengurangkan kebergantungan industri makanan kepada sumber prebiotik import. 

Terdahulu, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Rasid Haji Mail dalam ucapannya berkata, selain untuk menyuburkan budaya penyelidikan, pertandingan 3MT juga bertindak sebagai satu mekanisme untuk para pelajar pascasiswazah membiasakan diri dengan teknik pembentangan dalam sesi viva-voce mereka kelak.

“Pertandingan yang diadakan setiap tahun itu berupaya membentuk sikap positif pelajar pascasiswazah untuk menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Pertandingan 3MT adalah acara tahunan melibatkan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang memerlukan mereka menyampaikan hasil kajian PhD masing-masing tidak melebihi 180 saat menggunakan bahasa mudah difahami kepada para pendengar yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kajian yang mereka lakukan.

Pemenang di peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan peringkat dunia di Queensland Australia.

 

Sumber : Jakaria Dasan, Pusat Pengajian Pascasiswazah

 

 

RABU, 19 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi akan menganjurkan program Rentas Borneo dengan memilih Kg. Sg. Magandai, Kota Marudu sebagai destinasi pada tahun ini.

Rentas Borneo yang memasuki tahun keempat penganjuran merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMS yang menjelajah ke kampung-kampung di pedalaman Sabah menggunakan khidmat kenderaan pacuan empat roda daripada Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS.

Menurut Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, peserta dan sukarelawan Rentas Borneo kali ini akan berkampung di Sekolah Kebangsaan Magandai selama lima hari bermula pada 23 hingga 28 April ini.

“Seramai 100 peserta dan sukarelawan akan mengikuti program ini dengan menggunakan sebanyak 30 buah kenderaan pacuan empat roda,” katanya yang juga Pengerusi Rentas Borneo.

“Banyak aktiviti bersama penduduk kampung akan dijalankan seperti pembinaan mini hidroelektrik, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian, demonstrasi cantuman pokok, sukaneka, demonstrasi makanan tradisi, motivasi, gamification bersama pelajar sekolah, gotong-royong dan banyak lagi,” jelasnya.

Tambah beliau, UMS telah beberapa kali menjalankan CSR di kampung ini dan Rentas Borneo kali ini akan dapat memberi peluang kepada para peserta untuk melihat perkembangan susulan daripada Eksplorasi Magandai yang telah dijalankan di SK Magandai sebelum ini.

Penganjur Rentas Borneo juga menjemput badan-badan korporat, persatuan, mahupun individu yang ingin menyalurkan sumbangan barangan keperluan seperti makanan, barangan mentah, pakaian, buku mahupun alat tulis, boleh berhubung dengan urusetia program di talian 019-8308820 atau 019-8305458.

Sekiranya ingin menyumbang dalam bentuk tunai, boleh disalurkan kepada akaun Maybank Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (560232123720).

RABU, 19 APRIL - Seramai 30 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sumbangan berbentuk Bantuan Pelajaran Yayasan Tunku Abdul Rahman (BPTAR) berjumlah RM90,000 daripada Yayasan Tunku Abdul (YTAR).

Majlis penyampaian bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Eksekutif YTAR, Jamhari Hasbullah kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali bertempat di Café De Sireh bangunan Canselori.

Jamhari berkata, bantuan tersebut dikhususkan untuk pelajar dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan bagi menampung kos sara hidup untuk dua semester semasa mengikuti pengajian sepenuh masa ijazah sarjana muda di IPTA.

“YTAR berperanan membantu para pelajar di 20 IPTA seluruh negara termasuk UMS sejak tahun 2010,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail berkata pelajar UMS banyak mendapat manfaat daripada bantuan pelajar YTAR setiap tahun dan yakin peluang tersebut memberi momentum yang sangat tinggi kepada pelajar untuk terus mencapai kejayaan.

“Pelajar yang menerima bantuan ini harus menggunakan tajaan ini sebaik-baiknya terutama dalam merancang penggunaannya terhadap keperluan sara hidup sepanjang berada di universiti,” tambahnya.

Beliau turut mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menyampaikan ucapan terima kasih kepada YTAR dan yakin kerjasama tersebut akan dapat diteruskan untuk membantu pelajar-pelajar di UMS yang memerlukan.

SELASA, 18 APRIL - Keutamaan pengambilan inspektor polis akan diberikan kepada pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) berdasarkan kemahiran yang diperolehi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Suksis lebih berkualiti dan lebih menghayati aspirasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi cabaran-cabaran masa kini dan pada masa hadapan.

“Kita akan mengadakan satu program khas untuk merekrut calon-calon inspektor dalam kalangan warga Suksis ini.

“Ia telah kita laksanakan sekali dan didapati berjaya, oleh itu kita akan meneruskan program khas berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bangunan Suksis UMS di sini, pada Isnin.

Tan Sri Khalid turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada UMS atas pembinaan bangunan Suksis yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keperluan para pelatih Suksis.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dalam ucapannya berkata, penubuhan Kor Suksis pada 9 Julai 2004 antara lain bertujuan sebagai sebuah badan yang menjalankan aktiviti kepolisan, memperkenalkan profesion kepolisan yang menjanjikan kerjaya menarik dan mencabar di samping memberikan pendedahan berkenaan bidang undang-undang dan penguatkuasaan.

“Selain itu, ia bagi menerapkan nilai disiplin kepolisan yang tinggi, mewujudkan kesedaran sivik dan sikap tanggungjawab terhadap agama, bangsa, dan negara serta membentuk kekuatan fizikal dan mental, sekali gus personaliti yang cemerlang,” katanya.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Pegawai-pegawai Utama UMS. Sehingga kini, seramai 650 pelatih Kor Suksis UMS telah ditauliahkan.