JUMAAT, 4 NOVEMBER – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah menyempurnakan majlis perasmian serta penyerahan kunci Rumah Imam dan Bilal semalam.

Dalam ucapannya beliau mengharapkan agar rumah itu memudahkan petugas masjid melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap dan berkesan khususnya pada waktu malam dan hujung minggu seperti solat fardhu dan pengajian ilmu.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) kerana sentiasa memantau perkembangan projek yang berjaya disiapkan hanya dalam tempoh lima bulan berbanding jangkaan selama tujuh bulan,” katanya.

Datuk Harun turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bendahari, PIUMS dan kontraktor Mega Urus Enterprise atas penglibatan dalam menjayakan pembinaan rumah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UMS (PIUMS), Dr. Muhamad Suhaimi Taat melahirkan rasa berterima kasih kepada pihak pengurusan UMS sambil menyifatkan rumah itu memberi manfaat besar dan membolehkan kakitangannya nanti mudah menjalankan aktiviti pengimarahan masjid pada bila-bila masa diperlukan.

“Mereka akan bertanggungjawab dalam tugas-tugas sebagai Imam dan Bilal serta memantau aktiviti di masjid yang melibatkan kakitangan dan pelajar UMS serta masyarakat setempat,” katanya.

Untuk rekod, pihak pengurusan UMS telah memperuntukkan sebanyak RM599,430 bagi membina tiga unit rumah yang akan didiami tiga kakitangan PIUMS, iaitu Yusri Sumin, Nazry Petir dan Ainah Ramlan Angusa.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

 

 

 

 

 

 

 

 

JUMAAT, 4 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan Program Komuniti Sains dan Teknologi baru-baru ini di Sekolah Menengah St Peter Telipok.

Penyelaras Program, Dr Siew Nyet Moi berkata program itu dikelolakan para pelajar Program Pascasiswazah Sarjana Pengurusan Pendidikan Semester tiga, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), UMS.

Katanya, para fasilitator terdiri daripada 17 pelajar sarjana pendidikan dan seorang pelajar daripada program kedoktoran pengkhususan pendidikan sains serta 15 pelajar prasiswazah sains semester lima.

“Kesemua fasilitator ini bertindak sebagai penunjuk cara kepada 50 pelajar tingkatan empat jurusan sains dan sastera di sekolah berkenaan yang telah terlibat secara aktif dalam menjayakan program tersebut,” katanya.

Jelasnya, program yang dilaksanakan sehari di sekolah itu bertujuan memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dari aspek kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah serta menyokong pelajar sekolah untuk berfikir tentang masa depan demi kesejahteraan hidup masyarakat sekitarnya.

KHAMIS, 3 NOVEMBER - Hampir  500 kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) membanjiri Dewan Resital UMS bagi mendengar siri Syarahan Kinabalu 2016 daripada Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail.

Berlangsung pagi tadi, syarahan anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) turut dihadiri  oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin dan Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

Dalam syarahannya, Tan Sri Razali berkata, setiap orang perlu mempunyai sifat hormat menghormati yang tinggi dalam kalangan diri masing-masing.

“Kita perlu memahami dan menghormati hidup dalam kepelbagaian termasuk menghormati  golongan minoriti. Saya ingin mengambil contoh negara seperti Jepun yang begitu tinggi sahsiah jati diri terutama dalam mengamalkan budaya seumpama ini.

“Penduduk di Sabah rasanya arif tentang perkara ini kerana masyarakat disini lebih memahami hak-hak asasi manusia,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Profesor UMS, Prof. Dato’ Mohd. Hamdan Haji Adnan.

Foto:  Suzeanywati Gasinin

KHAMIS, 3 November - Seramai 38 orang rombongan yang terdiri daripada  pelajar program Pembangunan Belia dan Komuniti Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Kelab Pacuan Empat Roda WRS telah mengadakan ekspedisi ke Kg. Rundum Tenom, baru-baru ini.

Ekspedisi selama tiga hari itu mensasarkan golongan belia dan pelajar sekolah rendah sebagai peserta program.

Meskipun terpaksa merentasi perjalanan penuh mencabar selama hampir tujuh jam, ia tidak mematahkan semangat para pelajar UMS untuk terus berkongsi motivasi bersama golongan sasar.

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP, Dr. Getrude Cosmas, antara aktiviti yang dijalankan ialah perkongsian akademik, diskusi kelompok, sukaneka, hiking dan malam kebudayaan.

“Semasa dalam diskusi kelompok, pelajar program HA16 yang bertindak sebagai fasilitator sempat memberikan kata-kata motivasi dan perkongsian ilmu dengan para peserta program yang terdiri daripada pelajar SK Rundum,” ujarnya.

Tambah beliau,  program ekspedisi ke Kg Rundum ini merupakan kesinambungan daripada program Ekspedisi Belia ke Kg Buayan, Crocker Range yang telah diadakan pada tahun 2014.

Manakala pengarah program, Irich Joumi berkata program seumpama itu dapat membantu menerapkan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar program HA16 dan meningkatkan kemahiran seperti kerjasama dalam kumpulan, kepemimpinan, kawalan emosi dan interpersonal.

“Menerusi program ini juga, para pelajar juga dapat mengenali budaya seperti tarian, bahasa dan kehidupan komuniti Rungus,” jelasnya.

Rombongan turut berpeluang mengadakan aktiviti riadah ke air terjun di kg Rundum bersama dengan pelajar sekolah dan ahli WRS.

Sumber: FPP

RABU, 2 NOVEMBER - Sebanyak 105 kertas kerja dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Warisan dan Foklor Nusantara yang dianjurkan Unit Penyelidikan Warisan Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah seminar itu merupakan wahana bagi penerokaan tentang bagaimana masyarakat mencipta, memanfaat dan membuat rekontruksi sejarah dan warisan tanpa meminggirkan peranan identiti.

“Ia juga adalah refleksi tentang bagaimana aspek warisan berupaya menyumbang kepada kualiti kehidupan dan pembangunan mapan,” katanya dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Datuk Harun berkata, meraikan kesatuan dalam keragaman adalah sesuatu yang penting kerana hakikatnya segala sesuatu yang diciptakan Tuhan itu adalah simbiosis sifatnya.

“Semuanya saling bergantungan dan saling melengkapi. Harapan saya, semoga perkongsian dan diskusi ilmu ini kelak berupaya menterjemah penemuan kajian kepada penyelesaian masalah yang praktikal dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan manusia,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr Ismail Ibrahim; dan Pengerusi Seminar Antarabangsa Warisan dan Foklor Nusantara, Prof. Madya Dr. Low Kok On.

Seminar selama dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Foklor Malaysia dan Sekretariat Kearifan Tempatan, Universiti Sains Malaysia.