JUMAAT, 6 MEI - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi telah mengadakan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi melibatkan 48 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu dan SMK Langkon baru-baru ini.
Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program tersebut dikendalikan oleh pelajar-pelajar Program Pascasiswazah Sarjana Pengurusan Pendidikan untuk menyediakan sokongan kepada pelajar di kawasan luar bandar dengan mengikuti aktiviti-aktiviti reka cipta bagi menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif melalui konsep STEM.
“Pelajar Sarjana bertindak sebagai pelaksana, fasilitator dan penilai, manakala pelajar PhD dan prasiswazah menjadi pembantu fasilitator dan penilai kepada 10 kumpulan bagi dua aktiviti STEM yang telah dijalankan,” ujarnya.
Pada program tersebut, sebanyak dua aktiviti dijalankan melibatkan penyelesaian masalah dan pengetahuan sedia ada untuk menguji kreativiti para peserta.
“Aktiviti STEM pertama adalah berkisarkan Jambatan sungai Bandau, Kota Marudu yang kononnya telah runtuh akibat terlalu usang. Para pelajar bekerja dalam kumpulan berlima mengenalpasti masalah kehidupan seharian yang disebabkan oleh situasi tersebut dan mengemukakan ciptaan baru bagi mengatasi masalah tersebut.
“Manakala, aktiviti STEM kedua adalah berkisarkan fenomena El Nino yang melanda negara sekarang. Melalui aktiviti ini para pelajar menggunakan pengetahuan sedia ada dan pengalaman lepas mencipta sebuah prototaip berkonsepkan teknologi hijau bagi mengurang kesan El Nino terhadap persekitaran dan diri sendiri,” Tambah Dr. Siew
Beliau berkata, secara keseluruhannya program tersebut telah berjaya mencapai objektifnya apabila para pelajar menyatakan program tersebut mampu mendorong mereka untuk berfikir di luar kotak bagi mengeluarkan idea yang sesuai bagi menyelesaikan masalah dikemukakan.
Turut hadir, wakil daripada SMK Kota Marudu, Yusniza Azali dan SMK Langkon, Pang Poon King.
Sumber: FPP



KHAMIS, 5 MEI – Tiga kata kunci, iaitu Inovatif, Relevan dan Lestari harus dipegang dalam melaksanakan segala perancangan dan tadbir urus universiti seiring ke arah kecemerlangan.
KHAMIS, 5 MEI - Bagi menyokong kelestarian eko kampus, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah meneruskan Program Berbasikal mengelilingi kawasan UMS bermula pada bulan Februari lalu sehingga kini.
RABU, 4 MEI - Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan yang bermula kelmarin terus berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk urus niaga jual beli pelbagai produk dan makanan.
RABU, 4 MEI – Seramai 52 pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, baru-baru ini.