Pementasan ‘Muzikal 1963’ anjuran Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menggamit kenangan perjuangan pemimpin negeri memerdekakan Sabah.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, universiti berperanan sebagai medium dalam membantu negara menerapkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
“Pementasan ‘Muzikal 1963’ merupakan inisiatif UMS dalam membawa rakyat Sabah mengenang kembali perjuangan dan pengorbanan pemimpin dalam membangun negeri Sabah melalui pendekatan yang lebih mudah, interaktif, dan menghiburkan serta memberi impak melalui mesej dan pengajaran yang dimuatkan dalam pementasan malam ini.
“Secara peribadi, pementasan malam ini amat saya nantikan. Saya ingin melihat transisi era kemodenan negeri Sabah dari sudut yang berbeza.
“Ini mencerminkan demokrasi yang subur di negeri ini kerana rakyat Sabah sentiasa meraikan perbezaan. Ia juga memberi isyarat yang jelas bahawa semangat perpaduan di negeri ini amat jitu,” ujarnya ketika ditemui selepas pementasan selesai di Dewan Resital, UMS.
Tambah Rahman, pihaknya berharap pementasan muzikal ini akan mendapat sambutan di samping menyuntik semangat patriotik dalam jiwa masyarakat Sabah.
“Saya juga berharap agar pementasan ini memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kemerdekaan dengan menzahirkan rasa cinta kepada negeri dan negara ini.
“Di samping itu, ia juga diharap dapat menyuburkan ingatan kita mengenai perjuangan pemimpin terdahulu dalam membangunkan negeri kita,” katanya.
Pementasan “Muzikal 1963” berlangsung sehingga 23 September 2023 di Dewan Resital, UMS.
Hadir sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor; Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Haji Aliasgar Haji Basri dan Samasuddin Haji Yusop; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin serta Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md Dawam.



Universiti Malaysia Sabah (UMS) menambah sebanyak lapan buah bas baharu dengan kos pembelian sebanyak RM4.9 juta untuk kegunaan dan keselesaan warganya.
Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 3 Oktober 2023 hingga 2 Oktober 2025.
Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah menerima peruntukan pembelian kenderaan baru bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar khususnya di Sabah.
Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menganjurkan Program KPT Prihatin Madani bersama Sanjungan Budi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bagi rawatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas di Pusat Pendidikan Perubatan Desa (PPPD), Kudat, pada Rabu.