Sepasang anak-beranak mencipta legasi keluarga cemerlang apabila ayahnya berjaya menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) manakala anaknya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) ke-26 yang berlangsung baru-baru ini.

Dr. Azmi Abd Majid, 52, merupakan graduan PhD dalam bidang perbankan dan kewangan di bawah Fakulti Perniagaan Ekonomi Dan Perakaunan (FPEP), manakala anaknya Aleeya Balqis, 24, merupakan graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan dengan PNGK 3.83.

Azmi ketika berkongsi kejayaan mendapatkan PhD berkata, beliau mula menjadikan gelaran PhD sebagai cita-cita peribadi setelah mula beralih ke bidang akademik sebagai pensyarah pada tahun 2016 setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam industri kewangan dan perbankan sebelum itu.

“Saya percaya dengan memiliki PhD dapat meningkatkan keyakinan yang lebih sebenarnya dan juga memberi ruang untuk menerapkan pengalaman dalam konteks keilmuan yang lebih luas.

“Saya menekankan kepentingan keseimbangan terhadap tanggungjawab akademik dan keluarga.

“Apabila anak-anak sudah dewasa, saya dapat menfokuskan kepada penyelesaian tesis sepenuhnya walaupun umur meningkat naik.

“Ramai orang kata bila tua, kita perlu berehat, tetapi bagi saya, ia bergantung kepada motivasi, yang penting, mahu atau tidak mahu habiskan,” katanya.

Sebagai seorang ayah, Azmi sering berkongsi kata-kata motivasi di Facebook agar anak-anaknya dapat melihat dan mengambil inspirasi daripadanya, selain turut menasihati mereka supaya tidak menghadkan impian dan sentiasa bercita-cita tinggi, serta abaikan pandangan negatif orang lain dan terus fokus kepada matlamat yang ingin dicapai.

Nasihat tersebut turut mempengaruhi Aleeya Balqis, yang menyifatkan kejayaannya sebagai hadiah untuk ibu bapanya.

“Saya gembira dapat habiskan pengajian bersama ayah dan bangga dapat hadiahkan ijazah kelas pertama pada mereka.

“Nasihat ayah saya “belajar sebanyak mungkin” menjadi motivasi cemerlang dalam akademik sekali gus dapat memberikan keseriusan dalam akademik,” katanya.

Aleeya turut merancang mengikuti jejak ayahnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tingg.

“Saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama tetapi lebih spesifik iaitu terapi berbual.

“Minat saya lebih kepada bidang terapi dan saya ingin mendalaminya dengan lebih mendalam,” ujarnya lagi.

Kisah inspirasi Dr. Azmi dan Aleeya Balqis menjadi bukti bahawa sokongan keluarga memainkan peranan masing-masing dan dedikasi tersebut mampu menjadikan impian satu kenyataan dan membina generasi keluarga ke arah kecemerlangan.

 

(artikel disediakan Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap bidang perhutanan dan kelestarian alam sekitar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi pengiktirafan kepada lima graduan cemerlang Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) menerusi Anugerah Kelestarian Perhutanan.

FPT dalam satu kenyataan menyebut, lima pelajar dari lima program berbeza yang ditawarkan di FPT itu dipilih setelah memenuhi kriteria Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.50 ke atas, serta telah menyiapkan tesis berkaitan dengan bidang kajian pengurusan hutan.

Setiap penerima anugerah tersebut juga mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 hasil tajaan KTS Plantation Sdn. Bhd yang bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang pengurusan hutan lestari dan biodiversiti.

Salah seorang penerima, Cyril Ann Daniel, ketika ditemui media berkongsi, kajian berkaitan spesies orkid menerusi tajuk Morphological Study of Jewel Orchid Species at Mount Alab, Crocker Range Park, Sabah telah membolehkannya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

"Kajian ini merekodkan ciri-ciri morfologi tiga spesies orkid kecil yang terdapat di kawasan tersebut, serta memberikan pemahaman mendalam tentang flora tempatan," jelas Cyril Ann.

Mengulas lanjut, Cyril Ann yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan) turut menekankan sokongan keluarga sebagai pendorong utama dalam kejayaannya.

"Ibu bapa saya adalah inspirasi terbesar, dan saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk," katanya dengan penuh rasa syukur.

Cyril Ann yang bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang biodiversiti dan biosistematik di UMS, turut berkongsi minatnya terhadap kajian serangga mentadak di Sabah, yang kurang diberi perhatian berbanding rama-rama.

"Mentadak adalah spesies unik dan saya berharap kajian saya nanti dapat menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai spesies ini di Borneo," ujar Cyril Ann.

Cyril Ann menerima penganugerahan Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas di Dewan Bankuasi, UMS yang turut disaksikan oleh Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

(artikel disediakan Norfaizah Abdullah, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Seorang graduan Orang Kurang Upaya (OKU), membuktikan bahawa pendidikan adalah milik semua tanpa mengira kekurangan apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Konvokesyen kali ke-26 yang berlangsung meriah.

Man Chun Tang, 23, merupakan anak tunggal yang mengalami Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) membuktikan bahawa semangat tinggi dan keazaman kental mampu menepis segala cabaran.

Ditemui selepas Majlis Konvokesyen, penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah) itu berkata kelebihan dan kelemahan berbeza yang dimiliki oleh setiap individu bukan penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain walaupun kita berbeza dan ada kekurangan, kita masih boleh mendapat pendidikan yang sama seperti orang lain.

“Mungkin kamu memiliki aras pemikiran yang sangat tinggi, manakala saya memiliki aras pemikiran yang sangat rendah atau sebaliknya tapi kita mempunyai matlamat yang sama,” luahnya.

Menurutnya UMS memberikan sokongan khas kepada pelajar-pelajar OKU, termasuk kemudahan yang mesra OKU, khidmat nasihat daripada Pusat Pengurusan OKU (PPOKU).

“Kami disediakan kolej kediaman dan van pengangkutan bagi memudahkan pergerakan.

“Selain itu sebagai pelajar OKU, kami ada kemudahan seperti kubikal di perpustakaan yang memudahkan kami membuat tugasan,” jelasnya.

“Manakala di fakulti pula pelajar OKU disediakan kemudahan seperti lif, parkir OKU, laluan ramp dan handrail banyak lagi bagi keselesaan pelajar-pelajar OKU,” tambahnya lagi.

Berkongsi lanjut, Man menyatakan bahawa beliau akan melakukan kerja separuh masa untuk menambah pengalaman dalam dunia pekerjaan.

“Selepas ini mungkin saya akan bekerja sebagai freelance dan separuh masa seperti menjalankan review mengenai kereta-kereta import, terpakai mahupun kereta baharu.

Selain tu saya juga mahu cuba virtual assistant services seperti pod poster, banner ataupun menu-menu restoran,” tambahnya.

Beliau juga berhasrat untuk menjadi seorang guru dan ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Semenanjung Malaysia.

 

(artikel disediakan Norsahirah Mohd Allawi, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Dugaan yang dihadapi oleh Shamsulmezah Shamsul, bekas pesakit kanser, tidak mematahkan semangatnya untuk mencapai kejayaan.

Kekuatan dan semangat dibuktikan apabila graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dinobatkan sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

Shamsulmezah, 24, yang berasal dari Tamparuli berjaya menamatkan pengajian dalam program Perhutanan Tropika Antarabangsa dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang 3.77.

Shamsulmezah berjuang melawan kanser ovari peringkat awal yang didiagnosis sewaktu semester keempat pengajiannya pada bulan Ogos 2023.

“Menerima anugerah ini adalah impian yang menjadi kenyataan.

“Ketika saya didiagnosis, saya hampir berputus asa, tetapi ibu bapa saya, terutama ibu, tidak pernah membiarkan saya menyerah.

“Mereka menjadi tulang belakang kekuatan saya,” katanya.

Shamsulmezah menambah, sokongan kuat daripada ibu serta bimbingan daripada pensyarah membolehkan beliau menyiapkan tesis yang bertajuk “Distribution Modelling of Graphium stratiotes (Papilionidae) and Delias eumolpe (Pieridae) in Sabah, Malaysia” meskipun berhadapan dengan kesan sampingan rawatan kemoterapi.

Beliau menunjukkan ketabahan luar biasa dengan mengimbangi antara rawatan dan tanggungjawab akademik.

“Saya sering belajar dari rumah kerana menghadiri kelas secara fizikal terlalu sukar, namun saya tidak pernah berhenti mencatat nota sendiri dan mengulang kaji dengan tekun, walaupun hanya mampu belajar sedikit demi sedikit.

“Ibu saya adalah penjaga utama ketika saya di hospital.

“Dia bukan sahaja menjaga saya, malah menemani saya menyiapkan tesis, walaupun perlu keluar pada waktu tengah malam untuk mencari tempat kerja yang sesuai,” katanya lagi.

Shamsulmezah merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang entomologi dengan hasrat menjadi penyelidik serangga, selain mahu terus menyumbang kepada ilmu perhutanan dan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia.

Shamsulmezah turut terpilih sebagai penerima Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas selepas sidang enam Majlis Konvokesyen UMS, yang disaksikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

 

(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Latihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)

 

Jessica Ching Ai Lyn, 24, graduan Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran (Asperger’s Syndrome) membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila meraih Ijazah Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-26 Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) itu meluahkan rasa lega dan gembira setelah selesai menamatkan pengajian.

Jessica menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan) dengan memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.84.

Menurutnya, ibu bapa merupakan sumber kejayaan dan susuk yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti sepanjang bergelar sebagai seorang pelajar prasiswazah.

Chua May Ling, ibu kepada Jessica berkata cabaran terbesar bagi anaknya adalah ketika ingin melakukan pembentangan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan.

“Cabaran utama bagi anak saya adalah apabila dia perlu membuat pembentangan dan menyampaikan idea secara lisan di hadapan pensyarah dan rakan.

“Dia menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan baik, apatah lagi bercakap di hadapan ramai orang,” katanya.

Ayah iaitu Ching Kok Hin berkata pada awalnya mereka sukar melepaskan anaknya sendirian di UMS kerana bimbang Jessica tidak dapat beradaptasi dengan baik.

“Bukan mudah bagi kami melepaskannya sendirian untuk menyambung pengajian, namun sebagai ibu bapa kami juga perlu membiarkannya untuk melihat sejauh mana dia boleh melangkah atas usaha sendiri.

“Kami juga melihat sokongan dan bantuan daripada para pensyarah terutamanya Dr Zaiton dari Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya UMS yang sentiasa membantu dalam pengurusan keperluan sepanjang berada di UMS.

 

“Fasiliti bagi pelajar kurang upaya yang terdapat di UMS juga sangat baik dan kemudahan ini dapat memberi keselesaan sepanjang proses pembelajaran,” ujarnya.

 

Graduan yang berasal dari Petaling Jaya itu menerima skrol ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim bertempat di Dewan Canselor UMS.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)