RABU, 20 NOVEMBER - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan “Disability Awareness Training (DAT)” yang diadakan di Bilik Mesyuarat Wan Rafaei, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) baru-baru ini.

Menurut Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, program latihan itu antara lain bertujuan untuk  menunjukkan kesedaran kepada masyarakat tentang halangan-halangan persekitaran dan sikap yang dialami oleh orang kelainan upaya (OKU) sepanjang mereka berada di institusi atau di mana-mana sahaja serta cara-cara yang boleh dikenal pasti bagi mengatasi halangan-halangan tersebut.

“Latihan seperti ini sangat penting kerana dapat memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengenali OKU dengan lebih mendalam melalui komunikasi yang inklusif dan bukan bersifat eksklusif.

“Latihan sebegini juga memberikan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam tentang konsep ketidakupayaan kepada masyarakat umum agar mereka tidak menghakimi golongan OKU tanpa sebab,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris, program ini juga memberi peluang kepada golongan OKU dan bukan OKU untuk mengetahui tentang perundangan yang menyokong OKU sekiranya hak mereka dicabuli oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Program sehari itu disampaikan oleh  konsultan Syarikat Inspirize Consulting PLT, Fariz Hj Abd Rani yang juga merupakan pengerusi kepada Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu, dan dihadiri oleh pensyarah dari beberapa buah fakulti di UMS, pelajar pascasiswazah dan prasiswazah di UMS.

SELASA, 19 NOVEMBER - Kelab Silat Cekak Pusaka Hanafi (SCPH) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut sama menjayakan penganjuran Karnival Etnik Seni Budaya Sabah dan Kejuaraan Wajadiri SSCPH Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Sekolah 2020 yang diadakan di The Oval, Imago baru-baru ini.

Menurut kenyataan daripada Kelab SCPH UMS, penyertaan kelab itu dalam karnival tersebut adalah sebagai satu langkah dalam Karnival Seni Budaya Etnik Sabah dan Kejuaraan Wajadiri SCPH Peringkat IPT dan Sekolah 2020 yang bakal diadakan di Dewan Canselor UMS pada 9 hingga 11 April tahun hadapan.

 “Selain UMS, program ini turut mendapat penyertaan dari Badan-Badan Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi seperti UiTM, sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu dan orang awam yang berkunjung ke pusat beli-belah tersebut.

“Melalui program ini juga diharap masyarakat khususnya dapat disatukan melalui aktiviti kebudayaan dan silat,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, Phoong Jin Zhe juga mendapat sokongan penuh dari pihak Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sebagai rakan strategik Kejuaraan Wajadiri SCPH Peringkat IPT dan Sekolah 2020.

 

ISNIN, 11 NOVEMBER - Seramai 32 mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Program Bakti Siswa dan Kem Motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston, Beaufort, baru-baru ini.

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, program itu antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara warga kampus dengan masyarakat selain berkongsi ilmu dan mendedahkan konsep tanggungjawab sosial kepada para pelajar yang terlibat.

"Program yang dianjurkan bagi membentuk mahasiswa menjadi warga yang sentiasa peka untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat dan pastinya akan melahirkan siswa yang bersifat holistik.

"Ia turut dijayakan  kira-kira 50 orang pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat sekolah terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian program tersebut.

Program tiga hari itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N27 Lumadan, Matbali Musah.

Dalam ucapannya Matbali berkata, kehadiran mahasiswa UMS akan menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar SMK Weston untuk menyusul ke UMS suatu hari nanti.

"Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan terhadap usaha-usaha murni dari mahasiswa-mahasiswa UMS yang berjaya menganjurkan program seumpama ini di SMK Weston," ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu Pengetua SMK Weston, Beaufort, Awang Besar Suran; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah) Dr. Arif @ Kamisan Pusiran; dan Timbalan Pengarah Program Bakti Siswa dan Kem Motivasi 2019,  Johamir Johari.

 

KHAMIS, 14 NOVEMBER – Lebih 100 pelajar tahun tiga program Hubungan Industri, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Bengkel Penulisan Ilmiah baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung di Makmal Pengajaran 3, Fakulti Psikologi dan Pendidikan itu melibatkan penyampaian ceramah oleh Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare.

Menurut Dr. Muhammad Idris, bengkel itu sangat penting kepada para pelajar sebagai persediaan mereka dalam penulisan ilmiah yang menjadi syarat mereka untuk bergraduasi.

“Bengkel ini sangat penting kepada para pelajar kerana mereka akan dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran penyelidikan dalam penulisan latihan ilmiah dan pada masa yang akan datang,” katanya.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu antara lain memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran menganalisis data menggunakan perisian IBM SPSS Statistics serta proses penyelidikan kuantitatif dan kualitatif.

 

 

ISNIN, 11 NOVEMBER – Seramai 33 pelajar Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program komuniti Mahasiswa Perintis Komuniti Sejahtera di Kampung Marak Parak, Kota Marudu baru-baru ini.

Menurut Ketua Program Kerja Sosial UMS, Dr Peter Voo, program tersebut diadakan bertujuan untuk menerapkan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat kepada masyarakat khususnya penduduk Kampung Marak Parak, Kota Marudu.

“Melalui program ini diharap dapat menarik minat golongan muda di kampung ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak terutamanya penduduk Kampung Marak Parak yang menerima pelajar dari UMS untuk menjayakan program ini,” katanya dalam satu majlis di kampung tersebut.

Dalam pada itu, Penyelia Kemajuan Masyarakat N5 Tandek, Jamil Majingkin memberi penghargaan kepada pihak UMS atas segala komitmen dan usaha untuk menjayakan program komuniti kerja sosial di kampung tersebut.

“Program sebegini mampu memberikan impak positif bukan saja kepada penduduk kampung Marak Parak malah dapat diluaskan ke kampung yang terdapat dalam kawasan Kota Marudu pada masa akan datang,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu Ketua Kampung Marak Parak, Motis Budan; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jenny Elda Egul; Pensyarah Program Kerja Sosial, Wanda Kiyah Anak George Albert; dan Pengarah Program Kugan Singh.